Daging Kultur: Apa Muslim Perlu Tahu? | Kecanggihan teknologi diakui apabila wujudnya idea-idea praktikal. Pada hari ini, plant-based meat atau daging berasaskan tumbuhan adalah produk makanan yang tidak asing dalam dunia teknologi makanan dan telah pun dikomersilkan di pasaraya dunia termasuk di Malaysia.
Semakin ramai mengenalinya, semakin ramai juga memilihnya. Tahukah anda mengenai daging kultur? Bagaimanakah daging ini dihasilkan dan persoalan utamanya, adakah ia boleh diambil komuniti Islam atau tidak?
Penghasilan Daging Kultur
Daging kultur merupakan daging yang dihasilkan di makmal dengan menggunakan sel stem spesifik binatang yang kemudiannya diletakkan di dalam media nutrien yang spesifik pada keadaan yang optimum sesuai untuk pertumbuhannya.
Idea daging kultur telah ada sejak penemuan teknologi pengkulturan sel tisu lagi namun idea ni tidak menjadi keutamaan para saintis. Namun, sejak beberapa tahun yang lepas, penyelidikan daging kultur bergiat dengan rancak dan kini pada tahun 2021, Israel telah berjaya dalam pembuatan pencetakan daging kultur menggunakan pencetak 3D disebabkan teknologi sains ini!
Banyak alasan mendukung kajian pengkulturan daging. Antaranya, faktor populasi manusia dunia yang meningkat, pertambahan permintaan daging dan isu pencemaran alam sekitar yang berkait dengan haiwan ternakan termasuk isu kebajikan haiwan itu sendiri.
Daging kultur pertama yang dihasilkan adalah pada tahun 2013 di makmal penyelidikan di sebuah negara Barat. Dari segi nutrisi dan rasa, daging kultur dikatakan mempunyai nutrisi yang setanding daging ternakan tipikal serta rasa yang identikal.
Kualiti daging juga dapat dijaga dan sebenarnya lebih baik dari aspek keselamatan daging itu sendiri berbanding dengan daging asal haiwan ternakan.
Agama Islam adalah agama yang tegas dan hadir dengan hukum tertentu untuk setiap perkara kehidupan. Sejajar dengan perkembangan teknologi saban hari, apa sahaja penemuan terbaru dari ahli sains perlu diverifikasi sama ada mengikut syariat Islam atau sebaliknya untuk mengelakkan Muslimin dari terus jahil dalam kehidupan beragama.
Hal ini menjadi lebih mendesak apabila ia merupakan suatu yang praktikal. Sekiranya suatu perkara itu tidak dijelaskan dalam mana-mana mazhab (fuqaha’), kesepakatan (ijtima’) ulama moden merupakan asas penentuan hukum perkara tersebut.
Status halal daging kultur juga tidak terkecuali dari perbincangan ulama Islam pada hari ini melihat kepada proses pengkulturan daging itu sendiri serta sumber sel stem daging tersebut.
Adakah Terdapat Fatwa Berkaitan Daging Kultur?
Walaubagaimanapun, sehingga hari ini fatwa khusus bagi daging kultur masih tidak lagi diperoleh dengan yakin. Terdapat dua pendapat iaitu pendapat pertama menyatakan hukum penghasilan daging kultur itu adalah harus. Pernyataan ini diqiyaskan dengan penghasilan produk yogurt.
Adapun yang kedua, memilih pendekatan tawaqquf disebabkan kurangnya lagi penyelidikan berkaitan daging kultur dengan jelas.
Banyak persoalan mengenai status sel stem yang masih kabur. Perkara sebegini telah meletakkan inovasi daging kultur dalam situasi syubhah. Sabda Rasulullah menerusi Sahih Bukhari dan Muslim, sekiranya berhadapan dengan situasi ketidakpastian, baginda menyarankan umat Islam untuk mengelakkan perkara tersebut keseluruhannya.
Umumnya, pengkulturan daging ialah pencerapan sel stem haiwan yang kemudiannya akan melalui proses kompleks untuk sel itu terus membiak. Sekiranya sumber sel tersebut datang dari haiwan yang disembelih mengikut syariat Islam, maka daging itu adalah halal, sebaliknya bagi haiwan yang tidak disembelih mengikut syariat Islam, maka sumber sel stem itu dinisbatkan haram dan daging hasil pengkulturan itu juga haram.
Meskipun begitu, masih banyak penyelidikan yang perlu dibuat sebelum sesuatu fatwa dapat dikemukakan dan buat masa ini, masih terdapat perbezaan pendapat bagi para alim ulama dalam isu ini.
Malaysia juga masih belum mengeluarkan fatwa mengenai daging kultur sementelah ia masih belum dikomersialkan secara meluas kepada orang awam.
Maka apakah kata akhirnya? Buat masa ini, saya berpandangan bahawa sebaiknya Muslim bertindak berhati-hati dalam menelaah pendapat mengenai hukum daging kultur.
Sekiranya tidak yakin atau tidak pasti, elok saja dihindari secara keseluruhannya sehingga proses pembiakan atau pengkulturan daging dapat dibuktikan dengan lebih mendalam lagi.
Wallahualam.
Penulis; Nurul Alya Zahra bt Azmi, Pelajar Bioteknologi Makanan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
Rujukan
Chriki, S., & Hocquette, J. F. (2020, February 7). The Myth of Cultured Meat: A Review. Frontiers in Nutrition, Vol. 7, p. 7. https://doi.org/10.3389/fnut.2020.00007
Fraeye, I., Kratka, M., Vandenburgh, H., & Thorrez, L. (2020). Sensorial and Nutritional Aspects of Cultured Meat in Comparison to Traditional Meat: Much to Be Inferred. Frontiers in Nutrition, 7, 35. https://doi.org/10.3389/fnut.2020.00035
Hamdan, M. N., Post, M. J., Ramli, M. A., & Mustafa, A. R. (2018). Cultured Meat in Islamic Perspective. Journal of Religion and Health, 57(6), 2193–2206. https://doi.org/10.1007/s10943-017-0403-3
Hamdan, M. N., Ramli, M. A., & Ab Rahman, A. (2019). Penggunaan Sel Stem dalam Pengkulturan Daging: Analisis Menurut Perspektif Hukum Islam. Journal of Fatwa Management and Research, 8–24. https://doi.org/10.33102/jfatwa.vol18no1.2
Hossain, M. S. (2019). CONSUMPTION OF STEM CELL MEAT : AN ISLAMIC PERSPECTIVE Mohammad Shahadat Hossain * PENGAMBILAN DAGING YANG DIHASILKAN DARI SEL INDUK ( STEM CELLS ): SUATU PERSPEKTIF ISLAM Stem cell meat is a new invention in the field of food and beverage . It is a kind. 27(June), 233–257. https://doi.org/10.31436/iiumlj.v27i1.384
Susulan isu daging kartel yang tular baru-baru ini, kerajaan boleh membangunkan semula Pusat Fidlot Negara (NFC) bagi menampung keperluan daging yang semakin tinggi di pasaran Malaysia.