Friday, October 4, 2024
HomeArtikelEkonomi Dari Perspektif Islam: 5 Prinsip Yang Perlu di Amalkan

Ekonomi Dari Perspektif Islam: 5 Prinsip Yang Perlu di Amalkan

Ekonomi dari sudut Islam berkait rapat dengan ajaran Islam yang lain. Sama seperti pentingnya hukum ibadah solat, puasa, dan hukum perbuatan yang lainnya, begitu juga Islam mempunyai sudut pandang tersendiri berkenaan ekonomi.

Seperti yang pernah ditegaskan oleh seorang penulis dan pakar motivasi Islam, “Islam adalah ajaran tentang cara hidup yang mengajar kita bukan sahaja hubungan untuk mendekatkan diri dengan tuhan, namun ia meliputi hubungan dengan alam semesta, dan hubungan dengan kepelbagaian cara ekonomi dan sistem politik. “, Dr Tareq Al Suwaidan,

Oleh itu, semua perbuatan Muslim berkait rapat dengan prinsip agama. Islam merupakan agama Rahmatun lil A’lamin yang bermaksud rahmat untuk seluruh alam. Seperti yang disebutkan dalam Al-Quran, Surah al-Anbiya ayat 107, Islam merupakan ajaran Nabi Muhammad yang berupa hidayah, kebaikan dan keadilan untuk seluruh alam tanpa mengecualikan bangsa, agama dan rupa.

Ekonomi Islam adalah percaturan dan bentuk ekonomi yang ditadbir dan diurus sila oleh pemerintah Islam dan prinsip yang berlandaskan Tauhid sebagaimana yang diringkaskan dalam rukun Iman dan rukun Islam.

Ekonomi Islam atau nama lainnya Ekonomi Syariah merupakan istilah yang sering digunakan untuk menggambarkan sistem ekonomi berdasarkan al-Quran dan hadis. Menurut seorang pakar; “Sains Ekonomi Islam adalah pengetahuan dan aplikasi ajaran syariah dan peraturan yang menghalang ketidakadilan dalam mencari dan membelanjakan sumber, sentiasa mengutamakan kepuasan dan kebaikan kepada orang ramai dan memberi kebebasan kepada mereka untuk menunaikan ibadah dan menjalankan tanggungjawab kepada tuhan dan masyarakat.”, S.M. Hasanuzzaman.

Penggunaan istilah Ekonomi Islam masih diperdebatkan hingga ke hari ini. Kata seorang Intelektual Islam, Tariq Ramadhan menyebutkan bahawa apa yang dimaksudkan dengan Ekonomi Islam adalah etika dan prinsip dalam ekonomi.

Namun, untuk beberapa cara, ramai orang yang enggan mengikut etika Islam dalam menguruskan ekonomi kerana sering dianggap tidak sesuai, tidak relevan atau ketinggalan zaman mungkin disebabkan etika dalam Ekonomi Islam yang sering disalah anggap seterusnya menerima persepsi yang buruk.

Prinsip-prinsip Ekonomi Islam

1.     Keadilan dan Keseimbangan

Salah satu ciri asas ekonomi dalam Islam adalah keadilan dan keseimbangan. Firman Allah SWT yang bermaksud;

Dan janganlah kalian mendekati harta anak yatim kecuali dengan cara yang terbaik sehingga mencapai kematangannya. Dan sempurnakanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil. Kami tidak memberatkan sesorang dengan kewajipan kecuali sesuai [dengan] kesanggupannya. Dan apabila anda memberi keterangan, hendaklah kamu nerlaku adil, sekalipun orang itu ada hungan kerabat(dengan kamu). Dan perjanjian Allah hendaklah kamu sempurnakan. Dengan demikian itu, Dia mengarahkan kamu bahawa kamu supaya beringat(mematuhiNya).“, (Al-Quran, Al-An’am: 152).

Ayat al-Quran di atas menjelaskan bahawa prinsip Ekonomi Islam mestilah mengikut standard sukatan dan timbangan yang betul. Sebagai contoh untuk sudut pandang yang kecil, apabila berlakunya proses jual beli dalam apa jua perniagaan, bilangan dan ukurannya mestilah tepat dan betul seterusnya harga atau nilai yang dibayar juga mestilah sesuai dengan barang yang diniagakan dan mengikut persetujuan kedua belah pihak.

2.    Keuntungan Yang Adil

Prinsip Ekonomi Islam yang kedua ialah keuntungan yang adil ataupun “Equally profitable”. Ekonomi Islam mengetengahkan prinsip keuntungan yang adil yang memberi maksud dalam urus niaga ekonomi yang melibatkan pembeli dan penjual, tidak boleh ada diantara salah seorang mengalami kerugian atau berbeza keuntungan.

Untuk itu, setiap urus niaga Ekonomi dalam Islam dikawal selia untuk mempunyai kesepakatan dan persetujuan terlebih dahulu, supaya tiada pihak sama ada pembeli atau penjual yang mungkin akan teraniaya.

Prinsip ini akan mengelakkan transaksi yang berlaku daripada dianiaya sama ada masalah dari sudut barang yang diniagakan, nilai wang yang ditukarkan mahupun bilangan atau ukuran barang yang tidak memuaskan.

Maka dari itu, kepentingan urusan jual beli adalah untuk memilih dan membuat persetujuan harga terlebih dahulu sebelum melakukan transaksi pertukaran nilai seperti yang dimaksudkan oleh prinsip Ekonomi Islam yang mementingkan keuntungan yang adil untuk kedua belah pihak.

3.     Tidak Berlaku Penindasan Dalam Ekonomi Islam

Prinsip Ekonomi Islam yang seterusnya ialah urus niaga yang berlaku tidak seharusnya memberi tekanan kepada golongan yang miskin atau mereka yang tidak berkemampuan.

Prinsip ini menjelaskan bahawa kesepakatan pertukaran nilai dalam urus niaga tidak boleh membebankan dengan nilai pertukaran yang tidak wajar.

Golongan yang mempunyai kuasa untuk mengawal urus niaga atau ekonomi tidak seharusnya membuatkan orang ramai mengalami tekanan dan kesukaran untuk memenuhi keperluan hidup.

Perkara ini disebutkan di dalam Surah al-An’am di atas. Wujudnya segolongan manusia yang mengambil kesempatan untuk melakukan transaksi dengan nilai yang tidak wajar dalam apa jua urusan perniagaan seperti contoh nilai faedah dalam hutang yang tinggi, atau nama lainnya ialah “riba”.

Ini bukan sahaja membebankan mereka untuk membayar hutang dan melunaskan faedah, namun ia menambah lagi beban kerana mereka juga perlu berusaha untuk memenuhi asas keperluan hidup yang lain.

Maka dari itu, Islam mewujudkan Infaq, sedekah dan zakat sebagai beberapa inisiatif untuk menstabilkan Ekonomi Islam dan prinsip keadilan dalam keuntungan. Selain itu, prinsip ini juga bukan sahaja membantu mengurangkan golongan yang miskin, malah akan memberi kebaikan kepada orang ramai dengan ekonomi yang stabil dan sesuai pada tahap kemampuan semua pihak.

Dengan peningkatan taraf hidup individu, secara tak langsung akan membantu memajukan ekonomi dengan cara yang lebih baik tanpa berlaku penindasan kepada mana-mana pihak.

4.   Ekonomi Islam Menekankan Ketelusan dan Keterbukaan

Seterusnya prinsip Ekonomi Islam yang keempat ialah ketelusan dan keterbukaan. Prinsip ini juga sangat ditekankan sebagai seorang Muslim untuk sentiasa berlaku jujur dan jelas dengan setiap perbuatan.

Sebagai contoh, jika berlaku urus niaga, kedua belah pihak penjual dan pembeli perlu sama-sama jelas dengan keadaan dan nilai barang yang akan ditransaksikan. Kesemua ciri ciri barang atau perkara yang diniagakan termasuk kelebihan dan kekurangannya meskipun terdapat sebarang kecacatan padanya dan nilai yang perlu ditransaksikan pada penjual mestilah dijelaskan dengan terang oleh penjual dan difahami dengan betul dan dipersetujui oleh pembeli tanpa berlaku rahsia atau sebarang penipuan dalam perbincangan.

Kesan daripada ketidakjujuran atau rahsia yang disembunyikan boleh menjadi sebab berlakunya kerugian sama ada dari sudut penjual ataupun pembeli. Semestinya, sikap tidak jujur akan menyebabkan kesukaran untuk berlakunya urusan niaga pada masa akan datang, secara tak langsung ia akan menyukarkan kemajuan ekonomi untuk berkembang.

5.     Urusniaga Mestilah Mempunyai Rekod Dan Transaksi

Akhir sekali, prinsip Ekonomi Islam yang seterusnya ialah sebarang bentuk urus niaga mestilah mempunya rekod atau resit sebagai bukti. Firman Allah dalam Surah al-Baqarah, Ayat 282 yang berkamsud; “Wahai orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu, maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu.

Dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar). Dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah ia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah ia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu.

Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi surat itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil (benar); dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu.

Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika seorang dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu lupa maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi. Dan janganlah saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi.

Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya. Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu.

Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya. Dan adakanlah saksi apabila kamu berjualbeli. Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan.

Dan kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu. Oleh itu hendaklah kamu bertakwa kepada Allah; dan (ingatlah) Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu; dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

Dalam perenggan di atas menjelaskan bahawa dalam urusan niaga atau sebarang transaksi ekonomi, mestilah mempunyai rekod dan penulisan.

Selain untuk menggalakkan sikap jujur dan amanah antara penjual dan pembeli, ini juga bertujuan agar urusan niaga dapat dilaksanakan dengan sesuai dan tidak dilupakan. Jika berlaku dalam urusan niaga, terdapat pihak yang tidak berpuas hati atau lupa dengan urus niaga yang telah dipersetujui dan dilakukan, rekod dan penulisan akan menjadi bukti agar kedua dua belah pihak tidak teraniaya dan terbela nasibnya.

Jika tiada rekod yang sah, maka ia akan jadi konflik dan masalah yang sukar untuk diselesaikan dengan adil kerana tiada bukti yang jelas yang boleh digunakan untuk menentukan kebenaran.

Sebagai kesimpulannya, prinsip dan ciri-ciri Ekonomi dalam Islam adalah berbeza dengan apa yang diamalkan oleh kapitalis yang hanya mementingkan keuntungan tanpa memikirkan keadilan.

Maka sebab daripada itu, prinsip Ekonomi Islam ini sangatlah penting untuk diketengahkan dan diamalkan untuk menjaga kepentingan dan kebaikan semua orang kerana kesan daripada ekonomi bukan sahaja kepada penjual, malah kepada pengguna atau pembeli seterusnya pada pergerakan ekonomi secara keseluruhan.

Penulis; Nurul Aqilah pelajar, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.

Takaful ialah satu pelan insurans yang memiliki ciri patuh Shariah. Ini bermaksud di bawah Takaful, terdapat banyak produk patuh Shariah yang lain seperti Takaful perubatan, Takaful kenderaan, dan banyak lagi. Istilah Takaful juga merujuk kepada konsep insurans Islamik yang berasaskan kerjasama bersama, di mana segala risiko dan dana dikongsi bersama. 

RELATED ARTICLES

Most Popular