Sunday, June 26, 2022
HomeArtikelKepimpinan Rasulullah s.a.w: Cerminan Buat Ummat

Kepimpinan Rasulullah s.a.w: Cerminan Buat Ummat

Mengikut Kamus Dewan, pemimpin ialah orang yang memimpin, membimbing, menuntun, mengepalai dan melatih. Sarjana Barat ada mengatakan bahawa kepimpinan adalah sebuah proses yang mana individu mempengaruhi sekumpulan individu lain yang memiliki tujuan bersama.

Sememangnya seorang pemimpin harus memiliki pengaruh dalam persekitarannya agar dia mampu untuk memberikan perintah dan instruksi kepada orang yang dipimpinnya.

Dalam terminologi bahasa Arab ia disebut sebagai khalifah, imam, qa’id, ra’i, rais dan sayyid. Islam mendefinisikan pemimpin sebagai orang-orang yang dipertanggungjawabkan dengan urusan umat Islam secara umum seperti khalifah, ketua tentera, kadi, menteri dan lain-lain orang yang bertanggungjawab dengan pengurusan negara Islam.

Jika kita meneroka ke seluruh dunia, kita akan dapati perbezaan terma yang digunakan bagi pemimpin sesebuah negara itu yang mempunyai bidang kuasa yang sama. 

Kehidupan beragama khususnya Islam sangat menitikberatkan perkara ini. Hal  ini berdasarkan Hadith Nabi SAW:

إِذَا خَرَجَ ثَلَاثَةٌ فِي سَفَرٍ فَلْيُؤَمِّرُوا أَحَدَهُمْ

Maksudnya: “Apabila tiga orang keluar musafir maka hendaklah mereka melantik seorang di antara mereka sebagai ketua”. (Riwayat oleh Abu Dawud: 2608. Hukum Hadith: Hasan Shahih menurut Nasiruddin Albani).

Menurut hadith ini, Ibn Taymiyyah berpendapat bahawa melantik pemimpin adalah sebesar-besar kewajipan dalam Islam dan perkara ini jelas menunjukkan kepada kita pentingnya kepimpinan itu walaupun hanya ke atas tiga orang yang keluar untuk bermusafir. Pemimpin yang dipilih mestilah didasari kepada beberapa kriteria dan syarat yang telah ditetapkan oleh Islam iaitu berlandaskan al-Quran dan al-Hadith Nabi SAW.

Antara kriteria yang perlu ada pada pemimpin ialah sifat keinsanan yang tinggi dalam mengurus tadbir sesuatu perkara. Sebagai seorang manusia kita perlu meletakkan sepenuh keyakinan bahawasanya Allah SWT mencipta alam sejagat ini berlandaskan Sunnatullah bermula daripada semulia-mulia kejadian manusia hinggalah seseni kejadian iaitu zarah-zarah.

Insan ataupun manusia ini menduduki tempat yang sangat tinggi di sisi Allah SWT iaitu sebaik-baik kejadian “Ahsan al-Taqwim” dengan kurniaan hidayah dan petunjuk kepada mereka.

Penciptaan manusia sebagai insan fitrah sejak lahir lagi perlu disusun mengikut landasan al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Oleh itu, Islam sangat menuntut hambanya mengabdikan diri sepenuh penghambaan kepada Allah SWT tanpa berbelah bagi.

Firman Allah SWT yang bermaksud;

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” (Surah al-Dhariyat ayat 56).

Setiap pemimpin mesti menghormati hak dan pandangan orang lain, menerima pendapat orang lain secara terbuka dan tidak mempunyai sifat mementingkan diri sendiri. Dengan ini, segala konflik politik dapat diminimumkan dan para pemimpin akan lebih berintergriti dan saling berkerjasama demi menjaga maslahat sejagat.  

Selain itu, antara kriteria lain pemimpin adalah melaksanakan prinsip al-syura dalam pengurusan. Syura ialah mesyuarat untuk mencapai keputusan menurut suara terbanyak.

Kepentingannya telah dinyatakan secara jelas dalam nas al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w serta menjadi pengamalan para sahabat. Hal ini juga dapat disaksikan melalui kisah Saidina Abu Bakar yang diangkat sebagai khalifah setelah kewafatan Rasulullah berasaskan kepada kesepakatan musyawarah atau syura dalam kalangan pemimpin utama antara orang yang dekat dengan Rasulullah s.a.w. Para sahabat yang dengan rapat Rasulullah SAW bermesyuarah dan menyatakan Abu Bakar merupakan tokoh yang paling sesuai pada ketika itu untuk meneruskan perjuangan Rasulullah s.a.w.

Dengan pengamalan konsep syura dalam kehidupan manusia akan memberikan nilai tambah dan manfaat yang baik. Dalam syura akan mengembangkan lagi proses input dan output yang memuaskan semua pihak. Natijahnya tidak akan ada lagi isu ketidaktelusan dalam penentuan sesuatu keputusan kerana ianya adalah keputusan bersama.

Firman Allah S.W.T

وشاورهم في الأمر

Maksudnya: “Dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam menghadapi sesuatu perkara.” (Surah Ali- ‘Imran: 159).

Hal ini juga dapat dilihat apabila Saidina Umar Ibn al-Khattab telah membentuk Khalifah (sistem kepimpinan) yang merupakan urusan terbesar berdasarkan syura. Menurut Dr. Yusuf al-Qardhawi, Islam mendidik seseorang individu Muslim sekiranya hendak melaksanakan sesuatu urusan penting dan di dalamnya masih terdapat banyak perbezaan pandangan dan pendapat sehingga membuatkan individu tersebut dalam keraguan sama ada melaksanakan atau sebaliknya. Maka adalah disarankan agar merujuk dua kaedah dalam rangka untuk memperolehi keputusan yang benar serta muktamad. Iaitu pertamanya, jalan yang bersifat rabbani dan yang keduanya yang bersifat insani (bermusyawarah).

Di samping itu, sebagai seorang pemimpin perlulah mempunyai prinsip menyeru kepada amar makruf dan nahi mungkar. Amar makruf nahi mungkar adalah ajaran yang diturunkan Allah SWT dalam kitabnya dan para Rasul sebagai utusanNya dalam membawa ajaran itu.

Istilah amar ma‘ruf dapat didefinisikan sebagai suatu ajakan atau perintah ke arah melaksanakan amalan yang baik. Manakala nahi mungkar ialah menyatakan sesuatu larangan terhadap masyarakat umum agar menjauhi segala kemaksiatan atau perkara-perkara yang negatif yang boleh mengakibatkan kehidupan umat tidak tenteram dan aman.

Justeru Allah SWT telah berfirman dengan memerintah agar umat manusia sentiasa menyeru ke arah kebaikan dan mencegah segala larangan sama ada dalam al-Quran atau Sunnah Rasulullah SAW:

 “Dan hendaklah ada antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” (Surah Ali- ‘Imran: 104)

Rasulullah s.a.w bersabda:

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَتَأْمُرُنَّ بِالمَعْرُوفِ وَلَتَنْهَوُنَّ عَنِ المُنْكَرِ أَوْ لَيُوشِكَنَّ اللَّهُ أَنْ يَبْعَثَ عَلَيْكُمْ عِقَابًا مِنْهُ ثُمَّ تَدْعُونَهُ فَلَا يُسْتَجَابُ لَكُمْ

“Hendaklah kamu melaksanakan amar ma‘ruf nahi munkar atau Allah akan bertindak tegas akibat dari dosa-dosa kamu, apabila kamu berdoa nescaya Allah tidak akan menerimanya.” (Riwayat oleh Imam al-Tirmidhi: 2169 Hukum Hadith: Hasan menurut Nasiruddin al-Bani). 

Oleh itu, setiap pemimpin perlu menanam sifat dan sikap seperti yang ditunjukkan oleh junjungan besar nabi Muhammad SAW sebagai da‘ie dan pemimpin yang berkaliber dengan sanggup berkorban harta, jiwa dan tenaga demi menegakkan kebenaran dan membasmi kepalsuan.

Sukalah saya untuk memetik kata-kata Ibn Taymiyyah iaitu individu yang ingin melaksanakan nilai amar ma‘ruf dan nahi munkar tersebut perlulah mempunyai kefahaman yang mapan serta kesabaran yang tinggi, bersopan-santun dan lemah lembut dengan berprinsipkan keimanan dan keyakinan yang sebenar kepada Allah SWT dan Rasul-Nya.

Akhir sekali, pergabungan antara sifat-sifat tersebut secara tidak langsung akan melahirkan individu yang progresif. Rasulullah merupakan role model bagi sekalian alam kerana seluruh hidupnya adalah syariat. Kata Sheikh Shalih bin Fauzan al-Fauzan antara ciri khas Ahlu Sunnah wal Jamaah ialah beramal sesuai dengan al-Quran dan Sunnah Rasulullah dan Ahlu Sunnah istiqamah berada di atas al-Quran dan Sunnah serta beramal sesuai dengan amalan generasi terbaik daripada kalangan sahabat, tabi’in dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik dalam rangka pengamalan. 

Rujukan

  • Al-Qur’an al-Karim
  • Musnad al-Imam ahmad
  • Sunan al-Tirmidhi
  • Kamus Dewan Edisi Keempat
  • Taqi al-Din Ahmad b. Taymiyyah (2000), al-Siyasah al-Syar’iyyah fi Islah al-Ra’I wa Ra’iyyah.
  • Mohamad Kamil Hj. Ab Majid, Mat Zain Ab. Ghani, Hasan Jali(2010), Ibnu Taimiyyah Perjuangan dan Pemikirannya Memurnikan Islam.
  • Hasan Al-Banna Mohamed, Ab Mumin Ab Ghani, Siti Arni Basir(2015), Nilai-Nilai Sistem Pengurusan Kualiti Islam Berasaskan Al-Quran Dan Integrasi Ilmu Saintifik.

Artikel ini ditulis oleh Arif Hilmi.

Penulis merupakan Mahasiswa di Jabatan al-Qur’an dan al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur

HANTAR ARTIKEL

Sekiranya anda berminat untuk
menjadi penulis di laman web
ini, klik sini untuk maklumat
selanjutnya.

BACA JUGA: Kisah Inspirasi Imam Tirmidzi Yang Boleh Dijadikan Tauladan Buat Penuntut Ilmu Masa Kini

BACA JUGA: Sumbangan Penting Umar Abdul Aziz Dalam Bidang Ilmu Hadis


RELATED ARTICLES

Most Popular