Sumbangan Penting Umar Abdul Aziz Dalam Bidang Ilmu Hadis

0
1975
Sumbangan Umar Abdul Aziz Dalam Bidang Hadis

Gelaran sebagai Khalifah Al-Rasyidin kelima adalah suatu sandaran yang sinonim kepada Umar Abdul Aziz disebabkan keadilan dalam pemerintahannya. Kerajaan Umayyah yang ketika itu kehilangan seorang nahkoda berwibawa untuk memimpin Islam terubat dengan perlantikan Umar sebagai Khalifah kelapan dalam Dinasti Ummayyah.

Umar bin Abdul Aziz bin Marwan bin Hakam bin Harb bin Ummayah lahir pada tahun 62 Hijrah ketika zaman permerintahan Yazid Bin Muawiyah. Imam al-Dhahabi menyatakan bahawa Umar Abdul Aziz lahir di Kota Madinah meskipun beberapa tokoh sejarawan mengatakan beliau lahir di Mesir.

Beliau merupakan anak kepada Ummu Asim iaitu cucu kepada Umar Ibnu Khattab. Sejarawan menyatakan bahawa Umar Abdul Aziz lahir sebagai seorang Khalifah yang berada pada landasan Islam yang sebenar adalah hasil daripada doa Umar Ibnu Khattab yang selalu berdoa agar dikurniakan keturunan dan zuriat yang menguatkan Islam. 

Umar Abdul Aziz hidup dalam keadaan yang mewah pada zaman mudanya kerana beliau merupakan anak kepada Gabenor Mesir. Masyarakat pada ketika itu dapat mengenal pasti beliau disebabkan pakaian dan wangian yang digunakan adalah yang terbaik pada ketika itu. Meskipun demikian, beliau tidak pula ternoda dengan kemewahan namun khuysuk dalam menuntut ilmu sehingga menjadi orang yang berintelektual dalam pelbagai bidang keilmuan Islam. 

Perkahwinan beliau dirancang oleh Khalifah Abdul Malik bin Marwan yang bertindak menjodohkan anaknya, Fatimah Binti Abdul Malik. Beliau berkahwin pada usia 24 tahun sebelum menjawat jawatan Gabenor di Madinah. Perlantikan beliau sebagai Khalifah berlaku adalah hasil daripada wasiat Khalifah Sulayman bin Abdul Malik.

Tatkala beliau diumumkan untuk menjawat jawatan tertinggi tersebut di Masjid Syam, beliau telah bertindak untuk menarik diri. Umar meminta agar jawatan tersebut disyurakan kembali dan diberikan kuasa  umat Islam dalam suatu ungkapan masyhur yang dinukilkan oleh Ibnu Kathir:

“Wahai manusia, untuk tanggungjawab khalifah ini adalah tanpa pengetahuanku, tanpa pula permintaan dan tidak pula melalui syura di kalangan pemimpin Islam. Oleh itu, mulai waktu ini aku menarik diri daripada lantikan ini. Mulai saat ini pilihlah sesiapa untuk menjadi pemimpin kamu dan menjalankan tanggungjawab untuk kamu sesiapa yang kamu hendaki.”

Gempak-gempita teriakan kaum Muslimin ketika itu mahukan beliau untuk terus memegang jawatan tersebut. Suasana yang bingit jelas kedengaran. Teriakan demi teriakan disuarakan oleh Umat Islam yang menginginkan Umar menjadi pemimpin mereka. Perlantikan ini juga didokong oleh sekumpulan Umat Islam yang sebelum ini bangkit menentang kerajaan Umayyah.

Al-Suyuti meriwayatkan bahawa ketika itu majoriti Umat Islam menyokong kepimpinan Umar melalui satu pernyataan yang terkenal;

“Sesungguhnya kami semua memilih engkau untuk memimpin kami, bertanggungjawab untuk menjalankan urusan negara yang bererti urusan kami dan sesungguhnya kami redha engkau menjadi pemimpin kami.”

Sokongan dan dokongan bertali arus menyebabkan beliau tidak dapat menolak jawatan tersebut. Maka bermulalah episod ketegasan beliau dalam mewujudkan sebuah pemerintahan Islam dalam konteks yang sebenar. Keadilan, kemakmuran dan keamanan dapat dirasai ketika itu oleh segenap lapisan masyarakat di bawah kepimpinannya.

Arahan Mengumpulkan Hadis

Hadis seperti mana yang diketahui merupakan tunjang kepada ilmu Islam serta menjadi panduan kedua terpenting selepas al-Quran. Para sahabat sebelum itu tidak pernah menulis hadis di sebarang lembaran adalah hasil daripada tegahan baginda S.A.W. Tegahan itu menurut Mohd. Muhiden B. Abd. Rahman adalah pada situasi dan keadaan tertentu yang didasari kepada kebimbangan bahawa kemungkinan untuk hadis bercampur-aduk dengan al-Quran sangat tinggi. 

Tambah beliau, “Apabila keadaan mengizinkan, misalnya wujud keadaan di mana hadis tidak bercampuraduk dengan al-Qur’an dan adanya jaminan bahawa para sahabat tidak akan mengabaikan al-Qur’an sebagai kitab rujukan utama mereka, maka mereka mengizinkan untuk menulis hadis malah mengalakkan umat Islam yang lain melakukannya.”

Kata Imam Nawawi; “Ulama salaf telah berselisih pendapat mengenai penulisan hadith, sebahagian melarangnya dan sebahagian yang lain mengharuskannya. Maka kemudian mereka bersepakat mengharuskannya”

Namun penulisan mereka tidak berada dalam bentuk yang formal yakni tidak sampai kepada tahap pembukuan. Maka disinilah Umar Abdul Aziz melihat keperluan yang amat besar bagi membukukan hadis. Kebimbangan untuk kehilangan tradisi ilmu yang menjadi sumber agama mendorong beliau untuk mengeluarkan arahan bagi pembukuan hadis dengan segera. 

Satu demi satu para Huffaz Hadis pergi menghadap ilahi manakala yang lain pula berada di pelosok empayar Islam menambah kembimbangan tersebut. Kebimbangan yang sama dirasakan oleh Umar al-Khattab ketika para penghafal al-Quran meninggal dalam siri peperangan riddah. Kini, perasaan bimbang terpancar pula di wajah cicitnya, Umar Abdul Aziz.

Pada tahun 99H, Umar Abdul Aziz telah memerintahkan para ulama hadis  untuk mencari hadis nabi. Tatkala itu, beliau sedar bahawa para perawi  yang mengumpulkan hadis dan menghafalnya semakin berkurang jumlahnya kerana meninggal dunia. Maka, bermulalah tindakan drastik diambil untuk mengumpul dan membukukan  hadis dari para perawinya, kerana mudharat yang besar sekiranya hadis-hadis itu lenyap bersama para penghafalnya.

Arahan  rasmi secara drastik dikeluarkan Umar Abdul Aziz terhadap Abu Bakr bin Hazm (m. 117H) yang juga merupakan gabenor di Madinah untuk bertindak segera bagi mencapai tujuan murni itu. Ini terutamanya pengumpulan hadis daripada Amrah bin Abdul Rahman adalah sangat penting kerana beliau merupakan muhaddis masyhur di Madinah ketika itu serta merupakan antara periwayat hadis terbanyak daripada Aisyah R.A.

Maka, Umar menulis surat kepada Abu Bakr bin Hazm; 

“Umar bin Abdul Aziz menulis kepada Abu Bakr bin Hazm: Perhatikanlah apa  yang dapat diperoleh dari hadis baginda lalu tulislah. Ini kerana aku takut akan  lenyap ilmu tersebut disebabkan meninggalnya ulama dan jangan diterima selain hadis  baginda dan hendaklah disebarkan ilmu dan diadakan majlis ilmu supaya orang yang tidak  mengetahuinya dapat mengetahuinya.”

Selain daripada Abu Bakr bin Hazm, Umar Abdul Aziz turut mengeluarkan arahan kepada Abu Bakar Muhammad bin Muslim bin Ubaidillah  bin Syihab Al-Zuhri. Maka bermulalah penulisan al-Zuhri bagi tujuan pembukuan dan kebanyakkan sejarawan mengatakan bahawa al-Zuhri adalah ulama pertama yang memulakan dan menyelesaikan usaha tersebut.  

Ini diakui sendiri oleh beliau bahawa; “Tidak ada seorangpun yang membukukan ilmu sebelumku”. Al-Zuhri  juga pernah berkata,  “Kami  diperintahkan  Umar bin Abdul Aziz untuk menghimpunkan hadis. Kami pun menuliskannya pada naskhah demi naskah, lalu dikirim ke seluruh wilayah kekuasaan Islam masing-masing satu naskah.”

Sayugialah bahawa arahan Khalifah menjadi pencetus kepada perkembangan ilmu Hadis. Namun demikian, beliau bukan sahaja mengarahkan untuk mengumpul hadis, malah melakukan usaha ke arah pendisiplinan imu Hadis sebelum membukukannya sahaja. Akan tetapi beliau juga telah memberikan peruntukan kewangan yang besar bagi memenuhi aspirasi murni ini.

Umar Abdul Aziz melihat bahawa usaha ini adalah satu keperluan yang fundamental. Maka selayaknya diberikan peruntukan gaji dan elaun kepada ilmuan lslam. Ini merupakan salah satu cara bagi kerajaan Islam menzahirkan ucapan “terima kasih”  atas sumbangan para ilmuwan Islam ketika itu. 

Khalifah juga menghantar Yazid bin Malik dan Harith bin Muhammad ke beberapa daerah bagi menyampaikan serta mengajar disiplin ilmu agama terutamanya ilmu Hadis kepada masyarakat. Usaha ini adalah sangat penting bagi memastikan umat Islam tidak hidup dalam ketidakfahaman terhadap mereka yang memungkinkan eksploitasi golongan yang salah untuk memesongkan mereka.

Khalifah juga memperuntukan gaji dan elaun bagi menghargai sumbangan ikhlas mereka. Yazid mengambil bayaran tersebut tetapi Harith mengambil sikap menolak diatas alasan beliau tidak memerlukan upah terhadap pengetahuan yang disampaikan olehnya.

Sesungguhnya usaha dan sumbangan Umar bin Abdul Aziz telah membawa kepada perkembangan seterusnya iaitu merancakkan perbahasan ilmu Hadis selepas zamannya. Namun demikian, pembukuan hadis yang diarahkan oleh beliau terhadap Syihab al-Zuhri dan Abu Bakr b Hazm tidak sempat dirasmikannya oleh kerana beliau meninggal dunia akibat diracun oleh kaum kerabatnya.  

Beliau menghembuskan nafas terakhir pada 25 rejab 101 H di Dir Sim’an ketika berusia 36 Tahun 6 bulan. Sesungguhnya usaha beliau memelihara hadis telah merancakkan perkembangan disiplin ilmu ini sehingga melahirkan ribuan tokoh dalam bidang Hadis.

Rujukan

  • Ahmad [email protected], “Omar Ibn Abdul Aziz, Khalifah Pemerintahan Bani Umayyah Yang Bertaraf Mujaddid : Analisa Peranan Tajdidnya”, Jurnal Al-Tamaddun 1 (2005): 91-13
  • Ajid Thohir. Perkembangan Peradaban Di Kawasan Dunia Islam. Jakarta: PT Raja Grafindo Persada, 2004.
  • Ali Muhammad As-Sallabi. The Rightly-Guided Caliph & Great Reviver, Umar Ibn Abdul Aziz: Indicators of Renewal & Guided Reformation on The Prophetic Pathhttps://futureislam.files.wordpress.com/2014/04/umar-bin-abd-al-aziz.pdf
  • Hepi Andi Bastoni. Sejarah Para Khulafa. Jakarta: Pustaka Al-Kautsar, 2008.
  • Ibnu Kathir. Al-Bidayah wa Al-Nihayah. Beirut: Maktabah Al-Maa’rif, 1966.
  • Muhammad Khudri. Muhadharat Tarikh Al-Umam Al-Islamiyyah: Al-Daulah Al-Ummawiyyah. Beirut: Darul Ma’rifah, 1997.
  • Mohd. Muhiden B. Abd. Rahman. “Sejarah Penulisan Dan Pembukuan Hadith:
  • Satu Sorotan,” Jurnal Usuluddin 19 (2004): 115-138.
  • Saifuddin Zuhri Qudsy. Umar Bin Abdul Aziz Dan Semangat Penulisan Hadis.
  • https://www.researchgate.net/publication/322546275_Umar_Bin_Abdul_Aziz_dan_Semangat_Penulisan_Hadis

Artikel ini ditulis oleh Annuar Ramadhan Bin Kasa (A.R Kasa)

Penulis merupakan Pelajar di Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur

Facebook: Melankolia Philosophia

HANTAR ARTIKEL

Sekiranya anda berminat untuk
menjadi penulis di laman web
ini, klik sini untuk maklumat
selanjutnya.

BACA JUGA: Ibnu Firnas : Manusia Pertama Yang Terbang Diinspirasikan Daripada Burung

BACA JUGA: Biografi Ringkas Imam al-Ghazali: Tokoh Yang Disegani Dunia Islam dan Barat