Teks Khutbah Raya Aidiladha 2020 Bacaan Di Rumah

0
2506
Teks Khutbah Raya Aidiladha 2020 Bacaan Di Rumah

Teks khutbah raya Aidiladha ini adalah teks yang ringkas sesuai untuk bacaan di rumah dalam suasana PKPP di mana sesetengah tempat masih terhad untuk pergi solat di Masjid atau surau bagi solat secara berjemaah melebihi kapasiti yang ditetapkan.

Teks ini sesuai dijadikan panduan buat kaum bapa dan lelaki sekalian untuk dibacakan pada hari raya korban atau hari raya haji tahun ini.

Walaupun membaca khutbah hari raya adalah sunat sahaja, namun inilah peluang keemasan buat kita untuk membaca khutbah bersama ahli keluarga di rumah. 

Sebagaimana Aidilfitri sebelum ini, hari raya korban tahun ini juga adalah istimewa buat kita kerana dapat membaca khutbah hari raya ahli keluarga atau sanak saudara di rumah. Marilah sama-sama kita manfaatkan peluang ini untuk solat hari raya dan membaca khutbah ini.

Panduan Asas Khutbah Raya Aidiladha

Secara asasnya, syarat khutbah hari raya adalah sebagaimana khutbah Jumaat iaitu:

  1. Khatib hendaklah berdiri jika mampu.
  2. Di antara 2 khutbah diselangi dengan duduk. Bagi mereka yang tidak mampu berdiri iaitu yang membaca dalam keadaan duduk, hendaklah diam seketika selepas habis khutbah pertama.
  3. Berbeza dengan solat Jumaat, khutbah Hari Raya dibaca selepas solat Hari Raya.
  4. Khatib hendaklah suci daripada hadas kecil dan besar.
  5. Rukun khutbah dibaca dalam bahasa arab.
  6. Berturut-turut di antara khutbah pertama dan kedua (maksudnya tidak ada jarak waktu yang terlalu panjang di antara 2 khutbah.

Rukun Khutbah 

Khutbah pertama

  • Memuji Allah dengan mengucap “Alhamdulillah“.
  • Berselawat ke atas nabi “Allahumma solli ‘ala Saidina Muhammad wa ‘ala ali Saidina Muhammad”.
  • Berpesan kepada makmum untuk bertakwa; “Marilah kita semua meningkatkan taqwa kita kepada Allah”.
  • Membaca sepotong ayat al-Quran yang lengkap; contohnya “Qul hu Wallahu Ahad, Allahus Somad, Lam Yalid Walam Yulad, Wa lam Yakunlahu Kufuwan Ahad

*Setelah habis khutbah pertama khatib perlu duduk sekejap.

Khutbah Kedua

  • Memuji Allah dengan mengucap “Alhamdulillah”.
  • Berselawat ke atas nabi “Allahumma solli ‘ala Saidina Muhammad wa ‘ala ali Saidina Muhammad”.
  • Berpesan kepada makmum untuk bertaqwa; “Marilah kita semua meningkatkan taqwa kita kepada Allah”.
  • Membaca 1 potong ayat al-Qur’an yang lengkap. Contohnya:
Surah al-Ikhlas
  • Membaca doa untuk kesejahteraan seluruh umat Islam; “Ya Allah selamatkan kami daripada wabak COVID-19 yang melanda negara. Ya Allah selamatkan kami semua di dunia dan akhirat.

*Disunatkan bertakbir membaca “Allahu Akbar” sebanyak 9 kali di awal khutbah pertama dan 7 kali “Allahu Akbar” pada awal khutbah kedua.

TEKS KHUTBAH HARI RAYA AIDILADHA LENGKAP

(TAJUK: MENGHARGAI PENGORBANAN BARISAN HADAPAN NEGARA)

Khutbah Pertama

This image has an empty alt attribute; its file name is ZLF15ZeAOC5GWOSYYCM5-AcfsLrhlVE7kH-YNUEu6Xl84owf6ZKFrdsL7NTPML6MaZqftKP9QRNEri8PpydBlJQ8bfFdhy7AN8K1wNBrTVxnYMtE2NUq2ns9Nsms_HsXA8CYG19w

WAHAI AHLI KELUARGAKU YANG DIRAHMATI ALLAH,

Marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah dengan sebenar-benar takwa. Mudah-mudahan kita mendapat rahmat dan keampunan Allah.

Alhamdulillah hari ini kita menyambut hari raya Aidiladha dengan penuh rasa kesyukuran kerana dikurniakan nikmat kesihatan yang baik untuk sama-sama lagi kita berkumpul pada pagi yang penuh keberkatan ini.

IBU AYAH, ABANG, KAKAK DAN ADIK-ADIK SEKALIAN (*boleh diubah mengikut kesesuaian)

Aidiladha juga dikenali sebagai Hari Raya Korban kerana memperingati perjuangan dan pengorbanan Nabi Ibrahim serta anak baginda  Nabi Ismail Alaihi al-Salam.

Marilah kita mengambil iktibar tentang kisah pengorbanan Nabi Ibrahim yang telah menerima arahan daripada Allah untuk menyembelih anak kandungnya sendiri  Nabi Ismail sebagai satu  cerminan sifat ketakwaan dan ketaatan baginda berdua kepada Allah SWT.

Di atas ketaatan dan keimanan tersebut, akhirnya, Allah menggantikan Nabi Ismail dengan seekor binatang sembelihan yang lain. 

Jelaslah pengorbanan yang dilakukan oleh baginda berdua mempunyai makna yang sangat besar dan perlu dihayati oleh kita pada hari ini terutamanya dalam kehidupan seharian di mana kita semakin sibuk mengejar duniawi demi kelangsungan hidup.

Pengorbanan bukanlah suatu perkara yang mudah dilakukan, ia memerlukan iltizam serta kesungguhan dalam diri dan jiwa seseorang.

AHLI KELUARGAKU YANG DIKASIHI,

Ketahuilah bahawa dunia masih lagi  berhadapan dengan ancaman pandemik Covid-19. 

Kebanyakan negara luar masih mencatatkan kes COVID-19 yang tinggi. Hampir berjuta-juta orang telah dijangkiti virus COVID- 19 di seluruh dunia dengan lebih ratusan ribu kematian telah dicatatkan.

Walaupun kes COVID-19 masih kekal rendah di negara kita, namun, kita perlu berwaspada agar tidak berlaku gelombang kedua yang menyebabkan PKP terpaksa dilaksanakan semula. 

Sekiranya ini berlaku, sia-sialah usaha gigih kita selama ini untuk tempoh PKP 3 bulan sebelum ini  terutamanya kerja keras petugas barisan hadapan yang banyak berkorban dalam mendepani penularan wabak koronavirus (Covid-19). 

Pengorbanan mereka sangatlah tinggi dan wajar dihargai. Mereka bukan sahaja sanggup mempertaruhkan nyawa demi memikul amanah yang diberi, malah mereka juga juga komited dalam melaksanakan tugas mereka hanya untuk memastikan keselamatan dan kesihatan kita berada dalam keadaan yang terjaga sejak dari awal negara diserang wabak berbahaya.

Oleh yang demikian, marilah sama-sama kita juga berkorban sedikit masa dan tenaga dengan sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Kerajaan bagi memastikan rantaian virus covid-19 ini berakhir sepenuhnya.

Allah berfirman dalam surah al-Syarh ayat 5 dan 6:

Maksudnya:

“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.

IBU AYAH, ABANG, KAKAK DAN ADIK-ADIK SEKALIAN (*boleh diubah mengikut kesesuaian)

Saya ingin mengingatkan kita semua bahawa kita masih lagi berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan atau PKPP. 

Oleh itu ini, hendaklah kita  sentiasa memakai pelitup muka ketika keluar dari rumah, menjaga penjarakan sosial, sentiasa membasuh tangan, elakkan tempat sesak, jangan berjabat tangan dan lain-lain lagi.

Ini bagi memastikan kita berada dalam keadaan yang selamat ketika berada di luar rumah atau tempat awam. 

Kita harus ingat bahawa  pandemik COVID-19 masih lagi belum berakhir. Jadi sama-samalah kita beristiqamah agar kita berjaya melawan wabak COVID-19 sepenuhnya. 

AHLI KELUARGAKU YANG DISAYANGI,

Pada hari Raya Aidiladha ini, marilah sama-sama kita memperbanyakkan takbir, tasbih dan tahmid sebagai tanda kemenangan, memuji dan mengagungkan kebesaran Allah S.W.T.

Selain daripada itu juga marilah sama-sama kita berazam untuk meninggalkan perkara-perkara yang menimbulkan kemurkaan Allah seperti perkara maksiat, perkara-perkara mungkar, sifat sombong dan sebagainya.

This image has an empty alt attribute; its file name is image-1.png
This image has an empty alt attribute; its file name is kdC87Oll5Qg6jkidHMpUO476a2dnTlwnyVC7GBVkw8CW3D8grZ_j2CwTcj2vt1l88luL601nU3BymuDJw5jx5ogBktxZ9ZkHuDC2GaPw0grpzTT41NOcBB2P-dx4HRyqhha6k2ho

Selepas habis khutbah pertama* khatib hendaklah duduk sebentar. Bagi khatib yang membaca khutbah dalam keadaan duduk hendaklah diam buat seketika

Khutbah Kedua

This image has an empty alt attribute; its file name is WQAfpPzwDZAH3veJ2VRQLPXCrsmxukaFUjTAMOYD-Ngj4HymckZaQtyy5rGepQIf9uGZRbNfv0H7AtJlgqo27BsjrE4GYXgojrU-529OSsGeXzN9UWeds3I8UD4ZE0DwIusp-XAw

“Marilah kita bersama-sama mempertingkatkan ketakwaan kita kehadrat Allah S.W.T, mudah-mudahan kita beroleh rahmat daripadaNYA.

AHLI KELUARGAKU SEKALIAN,

Marilah sama-sama kita menadah tangan dan memohon doa;

“Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim”,

“Engkau ampunilah dosa-doa kami”,

“Engkau rahmatilah diri kami, keluarga kami, negara kami serta seluruh umat Islam di dunia dan akhirat”.

“Ya Allah Kau hilangkanlah wabak Corona Virus di negara kami dan juga di negara-negara lain di dunia ini. Ya Allah selamatkan kami semua di dunia dan akhirat.”

“Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim”

“Engkau berilah kekuatan, kecekalan dan kesabaran kepada kami untuk menghadapi dugaan-Mu ini,

“Kami bermohon kepada-Mu Ya Allah “Lindungilah kami “Selamatkanlah kami “Sejahterakanlah hidup kami.”

Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

*Selesailah khutbah Raya Aidiladha pada tahun ini.

Teks khutbah ini disediakan oleh Dr Basri Husin.

Untuk sebarang pertanyaan boleh hubungi di Facebook BASRI HUSIN.


Adakah anda berasa gemuruh dan gementar untuk membaca khutbah ini pada hari raya nanti? Baca tips dan petua ini untuk menjadikan bacaan khutbah anda lancar.

Jom sertai Channel Telegram TheInspirasi untuk lebih banyak tips-tips, perkongsian dan artikel menarik

Channel Rasmi Telegram TheInspirasi https://t.me/theinspirasimy
Klik SINI untuk join


JANGAN LUPA LIKE PAGE THEINSPIRASI

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here