Thursday, March 28, 2024
HomeAgamaIbadatTeks Khutbah Hari Raya Aidilfitri 2021 Bacaan Di Rumah

Teks Khutbah Hari Raya Aidilfitri 2021 Bacaan Di Rumah

Teks khutbah hari raya ini sebagai contoh dan panduan buat kaum bapa dan lelaki sekalian untuk dibacakan pada hari raya Aidilfitri ini.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan mula berkuat kuasa pada 12 Mei – 7 Jun 2021. Antara SOP ialah Solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau dibenarkan dengan kehadiran jemaah tidak melebihi 50 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan lebih 1,000 jemaah dan 20 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan kurang daripada 1,000 jemaah. Had bilangan jemaah yang sama terpakai bagi solat fardu lima waktu dan solat Jumaat.

Walaupun membaca khutbah hari raya adalah sunat sahaja, namun inilah peluang keemasan buat kita untuk membaca khutbah bersama ahli keluarga di rumah. 

Untuk panduan solat sunat Hari Raya Aidilfitri, boleh membacanya di sini.

Sedikit peringatan buat anda semua, sebelum menunaikan solat hari raya, adakah anda dan sekeluarga sudah membayar zakat fitrah? Eloklah dibayar dahulu zakat fitrah sebelum tunaikan Solat Aidilfitri. Sekarang ini zakat fitrah boleh dibuat secara online. Mudah dan cepat.

Panduan Asas Khutbah Aidilfitri

Secara asasnya, syarat khutbah hari raya adalah sebagaimana khutbah Jumaat iaitu:

  1. Khatib hendaklah berdiri jika mampu.
  2. Di antara 2 khutbah diselangi dengan duduk. Bagi mereka yang tidak mampu berdiri iaitu yang membaca dalam keadaan duduk, hendaklah diam seketika selepas habis khutbah pertama.
  3. Berbeza dengan solat Jumaat, khutbah Hari Raya dibaca selepas solat Hari Raya.
  4. Khatib hendaklah suci daripada hadas kecil dan besar.
  5. Rukun khutbah dibaca dalam bahasa arab.
  6. Berturut-turut di antara khutbah pertama dan kedua (maksudnya tidak ada jarak waktu yang terlalu panjang di antara 2 khutbah.

Rukun Khutbah 

Khutbah pertama

  • Memuji Allah dengan mengucap “Alhamdulillah“.
  • Berselawat ke atas nabi “Allahumma solli ‘ala Saidina Muhammad wa ‘ala ali Saidina Muhammad”.
  • Berpesan kepada makmum untuk bertakwa; “Marilah kita semua meningkatkan taqwa kita kepada Allah”.
  • Membaca sepotong ayat al-Quran yang lengkap; contohnya “Qul hu Wallahu Ahad, Allahus Somad, Lam Yalid Walam Yulad, Wa lam Yakunlahu Kufuwan Ahad

*Setelah habis khutbah pertama khatib perlu duduk sekejap.

Khutbah Kedua

  • Memuji Allah dengan mengucap “Alhamdulillah”.
  • Berselawat ke atas nabi “Allahumma solli ‘ala Saidina Muhammad wa ‘ala ali Saidina Muhammad”.
  • Berpesan kepada makmum untuk bertaqwa; “Marilah kita semua meningkatkan taqwa kita kepada Allah”.
  • Membaca 1 potong ayat al-Qur’an yang lengkap. Contohnya:
  • Membaca doa untuk kesejahteraan seluruh umat Islam; “Ya Allah selamatkan kami daripada wabak COVID-19 yang melanda negara. Ya Allah selamatkan kami semua di dunia dan akhirat.

*Disunatkan bertakbir membaca “Allahu Akbarsebanyak 9 kali di awal khutbah pertama dan 7 kali “Allahu Akbar” pada awal khutbah kedua.

TEKS KHUTBAH HARI RAYA AIDILFITRI LENGKAP

(TAJUK: COVID-19 MENCABAR KEUPAYAAN KITA YANG SEBENAR)

Khutbah Pertama

WAHAI AHLI KELUARGAKU YANG DIRAHMATI ALLAH,

Marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah dengan sebenar-benar takwa. Mudah-mudahan kita mendapat rahmat dan keampunan Allah.

Alhamdulillah segala puji bagi Allah, setelah sebulan kita berpuasa di bulan Ramadhan, hari ini 1 Syawal kita meraikan hari raya Aidilfitri sebagai tanda kemenangan, memuji dan mengagungkan kebesaran Allah S.W.T. 

IBU AYAH, ABANG, KAKAK DAN ADIK-ADIK SEKALIAN (*boleh diubah mengikut kesesuaian)

Tahun ini merupakan tahun kedua kita merayakan Idul Fitri dalam suasana kita masih diuji dengan wabak COVID-19 yang melanda negara.

Dengan kes yang masih lagi tinggi dan suasana Perintah Kawalan Pergerakan, ia amat merisaukan dan mencabar kita dari segi keupayaan ekonomi, pendidikan, kesihatan, kekeluargaan dan sebagainya.

Wabak Covid-19 yang melanda dunia pada hari ini merupakan suatu ujian besar bagi kita semua. Ini kerana, virus COVID-19 ini adalah suatu pandemik yang menakutkan. 

Jutaan kematian yang dilaporkan sejak wabak ini melanda menunjukkan bahawa wabak ini tidak mengira bangsa, kulit, rupa mahupun status ekonomi.

Sesungguhnya ujian yang datang ini tidak lain dan tidak bukan semata-mata untuk menguji hambanya agar kita menghadapi dengan tenang dan sabar.

Dalam Surah al-Taghabun, ayat 11, Allah berfirman:

Maksudnya:

Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

AHLI KELUARGAKU YANG DIKASIHI,

COVID-19 ini sebenarnya mencabar kita dari segi keupayaan mematuhi arahan pihak berkuasa dalam mendepani wabak ini.

Kepatuhan kita dalam menjaga penjarakan sosial dan menerima program vaksinasi merupakan antara ikhtiar kita dalam usaha menangani wabak ini.

Sesungguhnya Islam amat menitik beratkan kesihatan dan menolak kemudaratan dengan meletakkan beberapa prinsip asas mendepani penyakit. 

Apabila seseorang ditimpa penyakit, Islam memberi penekanan kepada kepentingan merawat selain reda dengan takdir ALLAH SWT serta tuntutan merawat penyakit yang tidak boleh diabaikan.

Oleh itu hendaklah kita mematuhi setiap arahan dan langkah yang disarankan oleh Kerajaan Malaysia bagi memastikan wabak ini dapat dibendung sepenuhnya.

Apabila kita bersatu padu tanpa mengira pangkat dan usia, sudah pasti kejayaan akan menjadi milik kita bersama.

IBU AYAH, ABANG, KAKAK DAN ADIK-ADIK SEKALIAN (*boleh diubah mengikut kesesuaian)

Sebagai umat Islam, perlunya kita bermuhasabah dengan mengambil pengajaran dan hikmah daripada musibah COVID-19 ini. 

Apa yang berlaku dalam setiap kehidupan kita bukanlah sesuatu yang sia-sia. Sebaliknya ia penuh dengan hikmah yang perlu dihayati bersama.

Adalah sesuatu yang amat merugikan jika seorang Muslim hanya beranggapan bahawa virus COVID-19 ini adalah jangkitan penyakit semata-mata. Ia sebenarnya memperlihatkan kepada manusia bahawa hanya Allah yang mempunyai kuasa untuk menghidupkan sesuatu, mencipta, mematikan dan melenyapkan segala benda.

Sebagai hamba pula, kita perlu berusaha sedaya upaya untuk mengelak daripada wabak ini serta usaha yang berterusan dengan memohon doa kepadaNya.

Kesabaran dan kepatuhan inilah merupakan cabaran kita yang sebenarnya.

AHLI KELUARGAKU YANG DISAYANGI,

Kita masih belum menang melawan wabak COVID-19, oleh itu hendaklah sama-sama kita terus membantu barisan hadapan negara dalam memerangi wabak ini.

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Serumpun bak serai, sesusun bak sirih.

This image has an empty alt attribute; its file name is image-1.png

Selepas habis khutbah pertama* khatib hendaklah duduk sebentar. Bagi khatib yang membaca khutbah dalam keadaan duduk hendaklah diam buat seketika

Khutbah Kedua

AHLI KELUARGAKU SEKALIAN,

“Marilah kita bersama-sama mempertingkatkan ketakwaan kita kehadrat Allah S.W.T, mudah-mudahan kita beroleh rahmat daripadaNYA.

Marilah sama-sama kita menadah tangan dan berdoa;

“Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim”,

“Engkau ampunilah dosa-dosa kami”,

“Engkau rahmatilah diri kami, keluarga kami, negara kami serta seluruh umat Islam di dunia”.

“Ya Allah! Selamatkan kami semua dari Corona Virus. Ya Allah! Selamatkan kami semua di dunia dan akhirat.”

“Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim

“Engkau berilah kekuatan, kecekalan dan kesabaran kepada kami untuk menghadapi dugaan-Mu yang berat ini,

“Kami bermohon kepada-Mu Ya Allah “Lindungilah kami “Selamatkanlah kami “Sejahterakanlah hidup kami.”

Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

*Selesailah khutbah hari raya yang penuh bermakna ini.


Teks khutbah ini disediakan oleh Dr Basri Husin.

Untuk sebarang pertanyaan boleh hubungi di Facebook BASRI HUSIN.

Teks dalam format pdf diletakkan di channel Telegram TheInspirasi untuk tujuan keselarasan. Sila lihat pada pin post channel tersebut.

Channel Rasmi Telegram TheInspirasi https://t.me/theinspirasimy
Jom sertainya sekarang. Klik SINI untuk join

Baca juga panduan untuk solat hari raya ini sekiranya anda masih belum tahu cara-cara untuk solat Hari Raya Aidilfitri di rumah.

Adakah anda berasa gemuruh dan gementar untuk membaca khutbah ini pada hari raya nanti? Baca tips dan petua ini untuk menjadikan bacaan khutbah anda lancar.


JANGAN LUPA LIKE PAGE THEINSPIRASI

RELATED ARTICLES

Most Popular