Sunday, October 6, 2024
HomeArtikelPendidikan Seksual Terhadap Kanak-Kanak: Peranan Ibu Bapa

Pendidikan Seksual Terhadap Kanak-Kanak: Peranan Ibu Bapa

Menurut “United Nation Children’s Fund (UNICEF)”, sebanyak 1 daripada 10 kanak-kanak berusia bawah 20 tahun mengalami penderaan seksual. 

Gangguan seksual merujuk kepada sebarang bentuk perlakuan orang dewasa yang memaksa, memujuk, mengugut atau menggunakan tipu helah untuk memperdaya kanak-kanak sama ada melalui sentuhan fizikal ataupun perlakuan tanpa melibatkan sentuhan fizikal seperti memaksa kanak-kanak menonton pornografi ataupun memaksa mereka menuturkan perkataan-perkataan lucah. 

Kanak-kanak adalah insan kecil yang masih bertatih dalam mengenal dunia. Mereka masih lagi mentah dalam mengenal baik buruk sesuatu perbuatan dan perlu dibimbing dengan penuh teliti agar mereka dapat melangkah kedunia ini dengan penuh cermat lagi bijaksana. 

Sebelum isu ini menjadi ibarat cendawan tumbuh selepas hujan, seluruh masyarakat tuntasnya ibu bapa wajar mencari solusi dalam mendepani masalah ini.

Menurut Mohd Fairuz Abu, seorang penceramah bebas, pendidikan seksual wajar diberikan oleh ibu bapa kepada anak-anak sejak diusia kecil lagi. 

Oleh itu, bagaimakah caranya untuk ibu bapa mengajar pendidikan seksual terhadap anak-anak? 


1. Ajarakan perbezaan sentuhan selamat dan sentuhan tidak selamat kepada anak-anak

Sentuhan selamat merujuk kepada sentuhan yang boleh membuatkan sesorang berasa selamat dan selesa. Manakala, sentuhan tidak selamat pula didefinisikan sebagai suatu sentuhan yang menyebakan seseorang berasa tidak selesa dan kebiasaannya boleh menimbullkan perasaan malu, sedih dan takut dalam diri seseorang. 

Oleh itu, amatlah penting bagi ibu bapa untuk sentiasa memantau emosi anak-anak agar sebarang emosi negatif dapat dikenal pasti dan diambil tindakan dengan lebih awal. 

Namun, perlu diingatkan, dalam usaha untuk memantau emosi anak-anak, hubungan yang erat hendaklah terlebih dahulu dipupuk agar anak tidak segan dan selesa untuk meluahkan isi hati mereka.

Anak-anak juga perlu diberitahu berkenaan anggota badan yang boleh dan tidak boleh disentuh. Sebagai contoh, kawasan mulut, dada dan alat kemaluan adalah sama sekali dilarang untuk disentuh kecuali oleh diri sendiri dan ibu bapa (sekiranya kanak-kanak masih kecil). 

Untuk itu, perbuatan “sexual grooming” oleh manusia durjana dapat dielakkan. Sexual grooming merujuk kepada perbuatan di mana pemangsa membina kepercayaan yang mendalam antara mangsa, dan setelah kepercayaan dibina, pemangsa mula menormalisasikan perbuatan seksual ke atas mangsa. 

Sekiranya, anak-anak tidak didedahkan berkaitan sentuhan selamat dengan lebih awal, sudah tentu anak-anak akan merasakan perbuatan tersebut adalah suatu perkara yang normal dan ditunjukkan sebagai tanda kasih sayang.

2. Mendidik anak-anak supaya meminta izin sebelum memasuki bilik ibu bapa

Dalam Surah An-Nur ayat ke-58, Allah berfirman yang bermaksud “Hai orang-orang yang beriman, hendaklah budak-budak (lelaki dan wanita) yang kamu miliki, dan orang-orang yang belum baligh di antara kamu, meminta izin kepada kamu tiga kali (dalam satu hari) iaitu: sebelum sembahyang subuh, ketika kamu menanggalkan pakaian (luar)mu di tengah hari dan sesudah sembahyang Isya’. (Itulah) tiga ‘aurat bagi kamu. Tidak ada dosa atasmu dan tidak (pula) atas mereka selain dari (tiga waktu) itu. Mereka melayani kamu, sebahagian kamu (ada keperluan) kepada sebahagian (yang lain). Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayat bagi kamu. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”

Daripada ayat ini, dapatlah disimpulkan, menurut pandangan Islam, terdapat tiga waktu utama di mana anak-anak perlu meminta izin sebelum memasuki bilik ibu seperti waktu Subuh, antara waktu Zohor dan Asar, dan antara waktu Maghrib dan Isyak. 

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, larangan ini adalah kerana pada waktu-waktu yang dinyatakan tersebut, seseorang sedang berehat dan dalam keadaan tidak menutup aurat. Oleh itu, adalah dibimbangi anak-anak akan telihat aurat ibu bapa. Hikmah larangan ini adalah anak-anak akan dididik akan batas aurat antara ibu bapa dan had batasan ketika di dalam rumah.


3. Memisahkan tempat tidur anak perempuan dan lelaki

Menurut Hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud, “Perintahkan anak-anak kamu untuk menunaikan solat ketika mereka berusia tujuh tahun, dan pukullah mereka ketika mereka berusia sepuluh tahun, dan pisahkan tempat tidur di antara mereka.”


Hadis ini menuntut supaya diasingkan tempat tidur anak lelaki dan anak perempuan ketika mereka mencapai usia 10 tahun. 

Walaubagaimanapun, Dato’ Dr Haji Mohd Fadzillah Kamsah menyatakan, pemisahan tempat tidur bukan sahaja perlu dilakukan antara anak lelaki dan perempuan, malah ibu bapa juga perlu menghindari anak-anak daripada tidur bersama mereka.Ini adalah bertujuan bagi menjaga keharmonian dan maruah sesama keluarga. 

Di samping itu,  secara tidak langsung dapat mendidik anak akan batas pergaulan antara ahli keluarga supaya tidak berlaku perkara negatif seperti sumbang mahram sesama ahli keluarga.

4. Mendidik anak-anak agar tidak terpengaruh dengan media massa

Penggunaan media massa seperti Instagram, YouTube, tiktok  bukanlah satu perkara yang asing kepada segenap masyarakat baik yang berusia mahupun yang muda. 

Dalam laporan akhbar ‘BBC News’, mereka mendapati terdapat  komen-komen berbaur lucah dilontarkan oleh kanak-kanak berusia dalam lingkungan 9 tahun di aplikasi tiktok. 

Meskipun aplikasi-aplikasi ini menetapkan had umur 13 tahun dan ke atas penggunanya, namun, syarat-syarat ini mudah sahaja diabaikan oleh para pengguna. Oleh itu, kerisauan terhadap penggunaan tiktok dan lain-lain media massa oleh anak-anak bukanlah satu kerisauan yang tidak berasas. 

Tambahan pula, media-media ini bebas memaparkan aksi-aksi lucah dan tidak sopan tanpa disekat. Intihanya, menjadi peranan ibu bapa untuk memastikan anak-anak menggunakan kemudah telefon pintar secara bijaksana.

5-Berhati-hati dalam memilih rakan di media sosial

Dr Anayasmin Azmi, seorang pakar pedatrik, dalam coretan muka bukunya menasihatkan untuk ibu bapa agar lebih peka terhadap penggunaan aplikasi-aplikasi games oleh anak-anak. 

Beliau turut berkongsi pengalamannya bertemu seorang gadis perempuan berusia 8 tahun mengadakan interaksi secara video call dengan lelaki berusia 20-an yang tidak dkenali. 

Menurut gadis tersebut, dia mengenai lelaki tersebut ketika bermain video games secara atas talian. Hal ini menunjukkan, kanak-kanak sangat terdedah kepada risiko gangguan seksual dan menjadi mangsa eksploitasi oleh golongan yang tidak bertanggungjawab.

Untuk ibu bapa yang masih tertanya-tanya, bilakah waktu yang sesuai untuk mula mengajar pendidikan seks kepada anak-anak, Dr Abdullah Nasih Ulwan dalam karyanya Tarbiyatul Aulad mencadangkan 5 fasa utama. 

Fasa pertama adalah ketika anak-anak mencapai usia 2-6 tahun, mereka patut diajar tentang konsep kebersihan, penggunaan nama alat sulit yang betul dan pendedahan kepada konsep aurat dan malu. 

Seterusnya, fasa kedua, ketika berusia 7-9 tahun pula adalah fasa di mana mereka perlu diajar aspek batas pergaulan dan batas penglihatan sepertimana yang telah dinyatakan di atas. 

Fasa ketiga, adalah ketika mereka berusia 10-13 tahun. Beikut merupakan fasa perallihan bagi mereka di mana ada antara mereka yang sudah mencapai sudah mencapai akil baligh.Oleh itu, pada fasa ini mereka perlu diberitahu tentang wujudnya nafsu dan cara mengendalikannnya. 

Seterusnya, ilmu tentang perhubungan seksual yang sesuai seperti hubungan seks yang boleh menyebabkan kehamilan dan penyakit-penyakit berkaitan dengannya wajar diberitahu kepada mereka ketika mereka mencapai usia 14-16 tahun (Fasa keempat). 

Fasa terakhir ialah fasa kelima, iaitu ketika mereka berusia 16 tahun dan ke atas, berikut merupakan fasa dimana mereka mula cenderung untuk mempunyai pasangan hidup. Pada fasa ini mereka perlulah diingatkan bahawa perhubungan seks hanya boleh dilakukan selepas berkahwin.

Kesimpulannya, ibu bapa perlu sedar zaman ini bukanlah zaman lampau di mana anak-anak kecil bebas bermain layang-layang di sawah. Zaman ini merupakan zaman yang sangat mencabar dalam mendidik anak-anak. 

Terdapat banyak pengaruh negatif yang dapat mempengaruhi anak-anak. Berilah didikan yang sewajarnya kepada anak sebelum mereka dididk oleh gajet-gajet yag medampingi mereka saban waktu. Ingatlah, anak merupakan satu anugerah dan juga amanah. Luangkan masa untuk menjiwai dan mendidik anak-anak. Jangan sampai kesibukkan ibu bapa dalam bekerja menyebakan anak-anakk terkorban menjadi mangsa manusia durjan di luar sana. 

Penulis; Nik Maisarah Bt Nik Ahmad, pelajar Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan, USIM

Ketahui jenis-jenis gangguan seksual dan cara untuk melaporkannya

RELATED ARTICLES

Most Popular