Friday, March 28, 2025
HomeArtikelSenarai Peribahasa Ayam dalam Masyarakat Melayu

Senarai Peribahasa Ayam dalam Masyarakat Melayu

Artikel ini akan menyenaraikan peribahasa yang menggunakan perkataan “ayam” dalam masyarakat Melayu.

Ini kerana, binatang yang bernama ayam cukup dekat dengan hati orang Melayu bahkan semua bangsa suka kepada ayam terutamanya dagingnya yang boleh dibuat bermacam-macam masakan.

Bagi masyarakat Melayu, ayam yang selain dijadikan makanan, ia  juga menjadi alat ungkapan dalam pemikiran peribahasa atau kata bidalan yang mempunyai maksudnya yang tersendiri. 

BACA JUGA: Senarai Peribahasa Kerjasama dan Perpaduan di Malaysia

Pada tahun 90-an, Jalil Hamid pernah menyanyikan lagu “Ayam” yang sangat popular sehingga kanak-kanak pun boleh menyanyikannya. Jalil Hamid melalui lirik lagu ini hanya menggunakan tema ayam dan menghuraikan lagu tersebut sehingga menjadi huraian yang panjang, daripada jenis ayam, petua dahulu kala dan juga termasuklah peribahasa di dalamnya. 

Oleh itu, dalam kehidupan sehari-harian daripada awal pagi, hinggalah nak tidur, anda boleh melihat pelbagai peribahasa yang menggunakan perkataan ayam. Ada yang anda pernah dengar dan mungkin tidak pernah dengar. 

Penggunaan istilah ayam dalam peribahasa Melayu membawa pelbagai maksud. Ada yang positif, ada juga yang membawa maksud negatif.

Jom kita tengok, peribahasa yang menggunakan perkataan Ayam yang meliputi simpulan bahasa, bidalan, pepatah, perumpamaan dan seumpamanya.

1. Ayam Beroga Itu, Kalau Diberi Makan di Pinggan Emas Sekalipun ke Hutan Juga Perginya

Maksudnya: Walaupun hidup senang di negeri asing, ingat juga akan negeri sendiri. ayam beroga = ayam hutan

Peribahasa ini seakan hampir sama maksud dengan “Hujan Emas di Negeri Orang, Hujan Batu di Negeri Sendiri; Baik Lagi di Negeri Sendiri.

2. Bagai Ayam disambar Helang

Maksudnya: Orang yang hilang secara tiba-tiba. 

Gambaran dalam peribahasa ini adalah orang yang tiba-tiba hilang tanpa sebarang khabar atau berita.

3. Seperti Ayam Berak Kapur

Maksudnya: Wajah yang pucat kerana menghidap penyakit 

Peribahasa ini memberi gambaran kepada wajah seseorang yang kelihatan pucat disebabkan mengalami sesuatu penyakit.

4. Kalau Kucing Keluar Tanduk, Barulah Ayam Boleh Bersusu

Maksudnya: Sesuatu yang mustahil

Sesuai dengan maksud peribahasa ini iaitu sesuatu yang mustahil pada hukum akal di mana kucing tidak akan pernah bertanduk, begitu juga ayam yang tidak pernah bersusu. Ini adalah gambaran terhadap sesuatu yang mustahil akan berlaku.

5. Bagai Ayam Bertelur di Padi

Maksudnya: seseorang yang hidup senang dan mewah

Ada hubungkait peribahasa ini dengan satu lagi peribahasa yang berhubungan iaitu “bagai ayam bertelur di atas padi, mati kelaparan” yang memberi erti; orang yang menderita kesusahan di tempat yang mewah

6. Ajak-Ajak Ayam

Maksudnya: Ajakan yang tanpa bersungguh-sungguh

Peribahasa ini selalu dan biasa kita dengar dalam ungkapan seharian yang dikaitkan dengan ketidakikhlasan dalam menjemput seseorang atau mempelawa seseorang. Biasanya peribahasa ini digunakan dalam mengajak seseorang untuk makan atau jemput ke sesuatu majlis. Ia juga dikaitkan dengan ayat pemanis mulut.

7. Ayam Baru Belajar Berkokok

Maksudnya: Baru cukup umur

8. Ayam Jalak

Maksudnya: Orang yang berani

Peribahasa ini merujuk kepada jenis ayam Jantan jalak yang digunakan untuk bersabung disebabkan keberaniannya dalam menghadapi musuh .

9. Ayam Tambatan

Maksudnya: Orang penting dan harapan di dalam sesuatu pertandingan.

Peribahasa ini selalu digunakan oleh murid-murid sekolah dalam pembelajaran bagi menggambarkan tentang orang yang sangat diharapkan dalam sesuatu kumpulan untuk sesuatu pertandingan.

10. Ayam Terlepas, Tangan Bau Tahi

Maksudnya: Seseorang yang membuat sesuatu kejahatan namun tidak mendapat apa-apa hasil melainkan mendapat malu semata-mata.

Peribahasa ini merujuk kepada sindiran terhadap sesuatu perbuatan jahat yang dilakukan oleh seseorang yang tidak mendapat apa-apa kejayaan atau manfaat sebaliknya hanya mendapat malu.

11. Bagai Ayam Mengeram Telur

Maksudnya: Keelokan muka perempuan / muka merah

Perbahasa “Ayam Mengeram Telur” menggambarkan terhadap kecantikan atau seri wajah seorang wanita yang elok rupa parasnya.

12. Cakar Ayam

Maksudnya: Tulisan yang sangat buruk atau tidak cantik

Peribahasa ini sering digunakan terhadap tulisan seseorang yang buruk atau cincai yang adakalanya sukar untuk dibaca. Namun begitu, istilah Cakar Ayam ini juga digunakan untuk makanan atau Kuih tradisional melayu Cakar Ayam yang sangat sedap.

13. Celaka Ayam, Padi Masak Makan Ke Hutan

Maksudnya: Bernasib malang

Terdapat pelbagai peribahasa yang menggambarkan tentang nasib malang seseorang. Peribahasa yang menggunakan istilah ayam ini jarang digunakan. Kebanyakkan kita selalu menggunakan peribahasa yang popular iaitu Yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula berciciran. Ada satu lagi peribahasa yang mirip menggambarkan nasib malang ini, tetapi ia digambarkan malang yang menimpa bertalu-talu iaitu sudah jatuh ditimpa tangga.

14. Hangat-Hangat Tahi Ayam

Maksudnya: Tidak bersungguh-sungguh membuat perkara ataupun seseorang yang hanya bersungguh-sungguh pada awal sahaja, lama kelamaan dia akan merasa bosan dan meninggalkan perkara tersebut.

Peribahasa ini sering juga digunakan dalam kehidupan bagi menempelak atau perli seseorang yang hanya bersungguh-sungguh atau berkobar-kobar dipermulaannya. namun apabila terdapat sesuatu kesusahan atau kepayahan dipertengahan jalan, dia meninggalkan perkara tersebut tadi. 

15. Ibu Ayam

Maksudnya: Perempuan yang menjaga pelacur untuk mendapatkan wang

Peribahasa/bidalan  ini mempunyai maksud yang agak negatif di mana Ibu Ayam digambarkan seorang perempuan yang menjadi orang tengah untuk perkhidmatan pelacur atau seks dengan tujuan mendapatkan wang.

16. Berkaki Ayam

Maksudnya: Tidak memakai kasut ketika berjalan

Peribahasa ini selalu diumpamakan untuk seseorang yang tidak memakai kasut ketika berjalan atau keluar rumah.

17. Lena Ayam

Maksudnya: Belum tidur dengan lena

Gambaran peribahasa ini untuk orang yang tidak tidur dengan sepenuhnya. (belum cukup nyenyak tidur). Sama dengan peribahasa tidur-tidur ayam iaitu tidur yang mudah terjaga.

18. Rabun Ayam

Maksud Rabun Ayam ialah orang yang tidak nampak pada waktu malam

Bermaksud: Penglihatan yang rabun atau tidak jelas ketika waktu malam

Peribahasa ini merujuk kepada seseorang yang menghadapi masalah penglihatan ketika malam 

19. Penyu Bertelur Beratus-Ratus Senyap, Ayam Bertelur Sebiji Riuh Sekampung

Maksudnya: Keuntungan yang diperolehi oleh orang kaya sedikit pun tidak menjadi sebutan orang, tetapi keuntungan yang diperolehi oleh  orang yang miskin walaupun sedikit maka riuhlah orang memperkatakannya.

Dewan Bahasa dan Pustaka menggunakan istilah lain yang hampir sama ayatnya “Penyu itu bertelur beribu-ribu, seorang pun tidak tahu; ayam bertelur sebiji, pecah khabar sekampung.”


20. Ayam Ditambat Disambar Helang, Padi Ditanam Tumbuh Lalang

Maksudnya: seseorang yang bernasib malang atau nasib yang buruk. Keadaan ini diumpamakan seorang suami / isteri atau tunangan yang diambil orang.

Gambaran peribahasa ini merujuk kepada seseorang yang bernasib malang apabila pasangannya diambil oleh seorang. Hampir sama peribahasa ini dengan Tanam padi tumbuh lalang, ayam ditambat disambar elang.

21. Tuah Ayam Nampak di Kaki Tuah Manusia Tiada Siapa Yang Tahu 

Maksudnya: Tidak ada orang yang tahu nasib orang lain.

Peribahasa ini menggambarkan tentang untung, nasib, rezeki, habuan, ganjaran, balasan atau  durian runtuh kepada seseorang yang tidak diketahui oleh orang lain melainkan Allah semata-mata. Ramai orang menggunakan peribahasa ini untuk mencuba sesuatu samaada dalam pertandingan, mencari rezeki, percubaan dan seumpamanya.

22. Ayam Berinduk, Sirih Berjunjung 

Bermaksud: Setiap yang lemah harus mendapat bantuan dan perlindungan

Peribahasa ini agak jarang digunakan dalam kehidupan seharian. Namun gambaran kepada pepatah ini seperti induk ayam (ibu ayam) yang mengajari anak-anaknya mencari makanan serta sirih yang hidup subur disebabkan ada junjungan yang kuat menaunginya.

23. Musang Berbulu Ayam 

Maksudnya: Orang jahat yang menyamar atau berlakon sebagai orang yang baik

Terdapat beberapa peribahasa lain yang seakan sama maksudnya dengan peribahasa di atas iaitu musuh dalam selimut dan api dalam sekam. 

24. Anak Ayam Kehilangan Induk 

Peribahasa Anak Ayam kehilangan induk

Maksudnya: kehilangan tempat bergantung

Peribahasa ini adalah gambaran kepada seseorang yang kehilangan tempat bergantung seperti seorang anak yang kematian ibubapanya, rakyat yang kehilangan pemimpin dan lain-lain lagi.

25. Asal Ayam Pulang Ke Lumbung, Asal Itik Pulang Ke Pelimbahan 

Maksudnya: Tabiat seseorang yang tidak akan berubah

Tabiat yang dimaksudkan di sini adalah tabiat negatif seseorang yang sukar untuk diubah atau ditukar. Ia sudah menjadi kebiasaan dalam kehidupan sehari-harian. Hampir sama dengan peribahasa ini adalah “Asal Ayam Hendak Ke Lesung, Asal Itik Hendak ke Pelimbahan.

26. Ayam Hitam Terbang Malam 

Maksudnya: Perbuatan jahat yang sukar diketahui kerana tiada bukti yang kukuh dan nyata. 

Peribahasa ini adalah gambaran kepada kelicikan seseorang yang melakukan kejahatan sehingga sukar diketahui dan dibuktikan. Ayam hitam yang terbang pada waktu malam memang sukar dikesan oleh mata kasar.

27. Ayam Itik Raja Pada Tempatnya

Maksudnya: Seseorang yang berkuasa di tempat masing-masing.

Peribahasa ini adalah gambaran kepada setiap masyarakat atau kaum yang mempunyai ketua masing-masing yang amat berpengaruh kepada orang sekelilingnya.

28. Ayam Laga Sekandang 

Bermaksud: Pergaduhan atau perkelahian sama ahli keluarga atau teman seperguruan. 

Sapinah Hj Said dalam “Kamus Peribahasa Melayu (2013) memberi maksud yang lebih terperinci iaitu “Orang yang bersanak-saudara apabila berkelahi tidak perlu dicampuri kerana mereka akan berbaik semula nanti”. Contoh ayat yang boleh digunakan adalah; Perbalahan antara Samad dan Mat Zin tidak perlu tidak perlulah dicampuri kerana ayam laga sekandang.

29. Ayam Putih Terbang Siang

Maksudnya: Perkara jelas dan nyata yang mudah dilihat

Peribahasa ini berlawanan dengan peribahasa “Ayam Hitam Terbang Malam”. 

30. Carik-carik Bulu Ayam, Lama-lama Bercantum Juga 

Maksudnya : Perbalahan atau perselisihan antara ahli keluarga yang bersifat sementara sahaja. Akhirnya mereka akan berbaik-baik semula.

Peribahasa ini selalu digunakan bagi menggambarkan tentang perselisihan dalam sesebuah keluarga yang akhirnya mereka akan bersatu kembali. Terdapat peribahasa yang sama dengan maksud peribahasa ini iaitu “Air Di Cincang Tidak akan Putus” gambaran terhadap eratnya perhubungan kekeluargaan walaupun berlakunya perselisihan dan perbalahan.

31. Bagai Ayam Dimakan Tungau

Maksudnya:  – Orang yang pucat lagi kurus sebab menghidapi penyakit

Peribahasa ini menggambarkan keadaan seseorang yang kurus kering serta pucat lesi kerana berpenyakit

32. Ibarat Memperlapang Kandang Musang, Mempersempit Kandang Ayam 

Maksudnya- Memberi kesempatan kepada orang jahat untuk melakukan kejahatan 

Gambaran kepada peribahasa ini adalah, sengaja memberi kesempatan kepada orang yang jahat untuk melakukan kejahatan atau perkara yang tidak elok. Dalam masa yang sama tidak memberi peluang kepada orang yang baik untuk menunjukkan kebaikan

33. Ayam di Kepuk Mati Kelaparan, Ttik di Air Mati Kehausan 

Maksudnya: Seseorang yang menderita kesusahan walaupun mempunyai banyak wang atau berpangkat tinggi

Peribahasa ini hampir sama dengan Ayam Bertelur di Atas Padi Mati Kelaparan yang menggambarkan walaupun mempunyai kekayaan yang melimpah ruah, tetapi hidup tidak bahagia ataupun hati gelisah. *Kepuk adalah tempat menyimpan padi yang berbentuk bulat dan dibuat drpd kulit kayu. (DBP) ia juga sinonim dengan jelapang, kapuk, berembau, baluh.

34. Ayam Tak Patuk, Itik Tak Sudu 

Maksudnya: Sesuatu yang tidak berharga atau seseorang yang sangat hina. 

Peribahasa ini memberi gambaran kepada keadaan seseorang yang sangat hina dalam masyarakat. Penggunaan istilah ayam tak patuk kerana kebiasannya ayam akan mematuk dan makan apa sahaja walaupun makanan tersebut atau rosak. Begitu juga itik yang akan menyudu apa sahaja walaupun sudah tidak elok lagi. Sekiranya ayam tak patuk atau itik tak sudu menggambarkan makanan tersebut sangatlah tidak berharga sekali.

Ayat contoh: Peniaga itu memerhatikan dan mengkaji   keperluan mereka kerana tidak mahu barangan yang dijual olehnya diibaratkan ayam tak patuk itik tak sudu.

35. Bagai Menggantang Anak Ayam

Maksudnya melakukan sesuatu yang susah.

Agak jarang kita gunakan peribahasa ini dalam kehidupan. Namun gambaran kepada peribahasa ini adalah sesuatu perbuatan atau pekerjaan yang susah untuk dilaksanakan umpama menggantang anak ayam.

36. Menyembelih Ayam Dengan Pisau, Menyembelih Orang Dengan Kapas 

Maksudnya: Dalam menangangi karena manusia, perlu menggunakan pendekatan yang lemah lembut dan sopan santun berbanding dengan cara yang kasar.

Peribahasa ini juga boleh merujuk kepada seorang yang mengampu yang menggunakan pendekatan lemah lembut dan memujuk dengan puji-pujian. (http://prpm.dbp.gov.my/)

37. Mulut Bagai Ekor Ayam di Hembus 

Maksudnya: Seseorang yang tidak henti-henti bercakap atau tidak boleh duduk diam.

Gambaran peribahasa ini merujuk kepada seseorang yang suka sangat bercakap atau boleh juga diumpamakan dengan mulut becok.

38. Ayam Menang, Kampung Tergadai 

Maksudnya: Kemenangan atau keuntungan yang tidak membawa banyak manfaat. 

Peribahasa ini merujuk kepada kemenangan yang sedikit tetapi terpaksa menangggung beban yang besar pula.

39. Ayam Dapat Musang Pun Dapat

Maksudnya:  Pencuri yang ditangkap dengan barang-barang yang tidak hilang. 

Gambaran peribahasa ini merujuk kepada sesuatu barang yang hilang yang dicuri oleh pencuri di mana kedua-duanya dapat dijumpai dalam masa yang sama. Hal ini bukan sahaja barangan yang terselamat bahkan pencuri juga diberkas.

40. Ayam Yang Tangkas di Gelanggang. 

Maksudnya orang yang pandai berkata-kata di dalam majlis. 

Peribahasa ini merujuk kepada seorang yang memang pandai berkata-kata atau berucap dalam sesebuah majlis.


Kesimpulannya, terdapat banyak lagi peribahasa Melayu yang menggunakan istilah ayam dalam kehidupan seharian. Ini adalah sebahagian daripada apa yang digambarkan dalam masyarakat. Ada peribahasa yang menggambarkan sikap positif dan ada juga menggambarkan sikap negatif. 

RUJUKAN:



RELATED ARTICLES

Most Popular