Dalam suasana yang berbeza menyambut bulan puasa pada tahun ini, Perdana menteri muncul di kaca TV memberi Perutusan Khas bersempena sambutan Ramadhan dan Perintah Kawalan Pergerakan.
Walaupun PM mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan lagi 2 minggu sehingga 12 Mei 2020, namun ucapan beliau penuh inspirasi dan titipan nasihat.
Ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan kegusaran rakyat dalam menyambut Ramadhan pada tahun ini yang pasti mempunyai hikmahnya tersendiri.
Berikut merupakan beberapa petikan daripada ucapan dan nasihat beliau yang penuh inspirasi.
Jihad Kita Melawan Covid-19
Sauadara-saudari yang saya kasihi,
Ramadan kali ini tidak kurang istimewanya. Malah, bagi saya ia lebih istimewa buat kita semua.
Sejak lebih sebulan yang lalu, kita berjihad melawan COVID 19. Sepertimana ibadat puasa, kita dikehendaki berjihad melawan hawa nafsu. Kita lalui satu tempoh yang banyak menguji kesabaran dan daya ketahanan kita.
Kita menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang kita suka. Kita tak keluar berjalan-jalan, kita tak menonton wayang bersama kawan- kawan, kita tak pergi melancong, kita tak makan di restoran kesukaan kita.
Bagi yang minat bersukan, mungkin dah lama anda tak main bola, tak main badminton, tak main bowling, tak berjogging, tak kayuh basikal. Anda cuma duduk di rumah sahaja. Ini satu jihad dan pengorbanan yang besar.
Tetapi, pengorbanan yang anda lakukan ini telah membuahkan hasil. Pertamanya, anda dan keluarga terselamat daripada jangkitan COVID 19. Keduanya, anda juga menyelamatkan orang lain daripada terkena jangkitan. Ketiganya, anda semua menyumbang kepada usaha membendung penularan wabak COVID 19 dalam masyarakat dan negara kita.
Kita Akan Menang
Saudara-saudari yang saya kasihi sekalian,
Kita masih belum menang dalam perang menentang COVID 19. Tetapi saya yakin insyaAllah kita akan menang.
Yang penting ialah jihad dan istiqamah. Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, tingkatkan jihad kita memerangi COVID 19. Teruslah istiqamah dengan usaha kita.
Tak mengapa Ramadan kali ini kita tak pergi ke bazar Ramadan. Tak makan nasi beriyani, murtabak atau juadah kuih-muih yang kita suka. Yang penting kita selamat daripada wabak COVID 19.
Kita lihat secara positif. Mungkin inilah peluang yang Allah berikan kepada kita untuk mengamalkan sebenar-benar ibadah puasa. Kita berbuka puasa dan bersahur sekadarnya.
Makan masakan isteri kita dan tidak membazir. Kalau masakan tak jadi pun tak apa. Boleh post dalam grup Facebook ‘Masak Apa Tak Jadi Hari Ni’.
Tak mengapalah kita tak dapat mendirikan solat terawih secara berjemaah di masjid. Mungkin ini peluang yang Allah s.w.t. berikan kepada kita untuk berjemaah bersama keluarga di rumah. Jika tidak sekarang, bila lagi. Kita jadi imam, anak dan isteri jadi makmum. InsyaAllah, ganjaran pahala dan barakah yang kita terima tidak kurang besarnya.
Harapan agar Covid-19 Agar Segera Berakhir
Apa yang penting, kita lalui jihad ini bersama-sama. Seperti bulan Ramadan, di akhirnya adalah kemenangan buat kita semua dalam melawan hawa nafsu. Kita berdoa ke hadrat Allah s.w.t, mudah-mudahan di akhir jihad kita melawan COVID 19, kita juga akan diberikan kemenangan, kesihatan dan keselamatan daripada wabak penyakit ini.
Mudah-mudahan bulan Ramadan yang mulia ini akan membawa rahmat kepada kita semua. Banyakkan berdoa kepada Allah, mohon pertolongan daripada-Nya, insyaAllah kita semua akan dilindungi daripada sebarang musibah, amin ya rabbal alamin.
Kepada frontliners yang akan berpuasa dalam keadaan menjalankan tugas, saya harap anda terus tabah. InsyaAllah, pengorbanan anda semua akan diberikan ganjaran oleh Allah s.w.t.
Buat seluruh rakyat Malaysia, pastikan kita terus berada di rumah dan mengamalakn langkah-langkah kebersihan dan penjagaan diri sebagaimana yang disarankan oleh KKM. Semoga wabak ini segera berakhir dan kita dapat menjalani kehidupan kita seperti sedia kalan
BACA juga tentang Inspirasi Dr Noor Hisham Abdullah yang boleh kita contohi.
JANGAN LUPA LIKE PAGE THEINSPIRASI