Friday, July 26, 2024
HomeTokohSejarah Raja Laut Yang Perlu Kita Ketahui

Sejarah Raja Laut Yang Perlu Kita Ketahui

Baru-baru ini kecoh apabila DBKL ingin menukar Jalan Raja Laut 1 kepada Jalan Palestin sebagai simbolik sokongan Malaysia terhadap perjuangan rakyat negara Asia Barat itu.

Pun begitu, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menerusi ciapannya di Twitter meminta Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk mencari jalan lain yang lebih sesuai bagi tujuan tersebut. 

Ini kerana Raja Laut membawa sejarah tersendiri kepada bangsa Melayu di Kuala Lumpur yang dahulunya berada dalam wilayah Selangor. 

Raja Laut yang cukup sinonim dengan Jalan Utama di Kuala Lumpur pastinya mempunyai sejarahnya yang tersendiri sehingga diabadikan menjadi sebuah jalan. 

Siapa Raja Laut?

Laman Facebook Royal Selangor Office dalam satu hantarannya di Facebook menyatakan Raja Laut sebenarnya adalah seorang pembesar di Negeri Selangor.

Beliau dilahirkan pada tahun 1850 dan merupakan putera kedua Sultan Selangor ke-3, Almarhum Sultan Muhammad Shah Ibni Almarhum Sultan Ibrahim Shah, dan juga anak saudara kepada Sultan Selangor ke-4, Sultan Abdul Samad Ibni Almarhum Tengku Abdullah.

Almarhum mendapat nama gelaran ‘Laut’ kerana dikatakan dilahirkan ketika bondanya berada di perairan sekitar Lukut.

Almarhum tersohor sebagai ketua masyarakat Melayu di Kuala Lumpur pada tahun 1880 dan antara individu yang telah menyelesaikan banyak masalah yang timbul pada ketika itu.

Sumber Photo: Royal Selangor Office

Almarhum yang tinggal di Kampung Rawa, pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Negeri Selangor dan bertindak sebagai hakim dan penghulu di Kuala Lumpur.

Beliau turut menjadi pengasas kepada penubuhan Kuala Lumpur Sanitary Board pada tahun 1890.

Almarhum juga bertanggungjawab menubuhkan Sekolah Melayu pertama di Kuala Lumpur, di mana Almarhum telah menghantar putera tunggalnya, Raja Alang ke sekolah berkenaan.

Pada tahun 1898, Almarhum dimasyhurkan sebagai Raja Muda Selangor dan berpindah menetap di Batu Road (kini Jalan Tuanku Abdul Rahman).

Pelantikan Almarhum itu dibuat selepas Raja Muda Sulaiman dimasyhurkan sebagai Sultan Selangor ke-5 bergelar Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa.

Bagaimanapun, Almarhum tetap menggunakan gelaran ‘Raja Muda Laut’ sehingga tahun 1903.

Apabila Kesultanan Selangor mengurniakan gelaran Tunku Mahkota untuk Almarhum sebagai pewaris takhta kepada Tengku Musa Eddin Ibni Sultan Alaeddin Sulaiman Shah, Raja Muda Laut tetap mengekalkan gelaran ‘Raja Muda’ sehingga kemangkatan Almarhum pada 9 Jun 1913.

Kubur Raja Laut 1Kubur Raja Laut
Sumber Photo: Royal Selangor Office

Almarhum dimakamkan di Tanah Perkuburan Kampong Gonggang (kini dikenali sebagai Tanah Perkuburan Jalan Ampang) Kuala Lumpur.

Sebagai tanda penghargaan dan mengingati jasa dan bakti Almarhum, nama Raja Laut diabadikan sebagai nama sebatang jalan di Kuala Lumpur yang bersambung dengan Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Nota : Pada tahun 1974, DYMM Sultan Selangor ke-8, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj telah berkorban menyerahkan kawasan Kuala Lumpur kepada Kerajaan Persekutuan untuk dijadikan ibu negara Malaysia. Ketika itu, Kuala Lumpur telah bersetuju agar sejarah-sejarah berkaitan negeri Selangor tidak dipadamkan sebagai mengenang budi dan jasa Baginda.

Sumber: Facebook Royal Selangor Office


Baca Juga:


Jom sertai Channel Telegram TheInspirasi untuk lebih banyak tips-tips, perkongsian dan artikel menarik

Channel Rasmi Telegram TheInspirasi https://t.me/theinspirasimy
Klik SINI untuk join

JANGAN LUPA LIKE PAGE THEINSPIRASI

RELATED ARTICLES

Most Popular