Monday, April 29, 2024
HomeKehidupanSURI HATI?

SURI HATI?

Naluri untuk berpasangan tentu lah perkara yang normal. Seorang anak muda pasti ada hati dengan seorang anak gadis. Jangan ada hati kepada yang sama jenis, sudahlah!

Ada kala saya sengaja bertanya ciri-ciri gadis idaman anak-anak teruna di rumah. Tetapi pertanyaan itu tidak berlaku secara langsung. Contohnya, jika sedang menonton televisyen, ada adegan memaparkan pelakon remaja perempuan yang manis wajahnya, saya buat-buat bertanya,”Abang, Angah, cantik kan budak perempuan ni?”

Kalau mereka bersetuju,  mereka berdua akan mengangguk saja, kalau mereka tidak bersetuju, pasti mereka terutamanya Angah akan mencebik mulut sambil memberi komen yang laser. “ macam tu  mana cantik Ibu, pakai make up macam wayang cina.”

Demikianlah perbualan kami anak-beranak. Abang agak pemalu untuk memberitahu ciri-ciri gadis idaman hati, berlainan dengan Angah, rasa-rasa hampir 100 kriteria sang puteri impian. Bermula dengan raut wajah, dia mahukan yang manis macam gula baru lah sepadan dengan dirinya yang ada tahi lalat di dagu.

Angah mendambakan gadis berkulit cerah walaupun kulitnya sendiri tidak secerah mana. Bertudung atau tidak, dia tidak kisah sangat kerana katanya selepas kahwin nanti dia akan menyuruh si gadis memakainya. Saya mengusik dengan berkata, “macam dia mau ikut cakap Angah?”. Dengan yakin Angah menjawab, “Mesti la kena ikut Ibu, isteri solehah kot”.

Memang lucu berborak dengan Angah. Dia kelakar dan tidak serius. Ada sahaja bahan gurauannya. Namun di sebalik jenaka, saya rasa dia serius mahukan seorang calon isteri yang solehah walaupun duit simpanan untuk meminang pun masih tiada! Calon pun belum ada sebenarnya.

Saya pun menggunakan kesempatan itu untuk menasihatinya bahawa perempuan yang baik adalah untuk lelaki yang baik. Sekiranya Angah impikan seorang gadis solehah, Angah pun perlu berusaha menjadi pemuda yang soleh. Semua orang boleh bermimpi. Mimpi yang indah-indah, terjemahkan dalam doa kepada Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Allah pasti tidak akan menghampakan setiap permintaan hambaNya.

Jika permintaan itu dimakbulkan, kita perlu bersedia dengan kehidupan seterusnya. Sekiranya kita diuji dengan sesuatu yang tidak menyenangkan, wajarkah kita menyesali dengan doa yang termakbul itu? Apa yang kita hajati, Allah perkenankan. Bila diuji , kita perlu menerimanya dengan redo.  Setiap yang berlaku pasti ada hikmah yang tersembunyi.

RELATED ARTICLES

Percaturan Hidup

Doa Ibu

Mencari Mood?

Most Popular