Uniknya Warisan dan Budaya di Sarawak

2909
Uniknya Warisan dan Budaya di Sarawak

Tahukah anda, Sarawak Bumi Kenyalang merupakan sebuah negeri Malaysia yang terletak di barat laut Borneo dan negeri jirannya pula adalah Sabah yang terletak di timur laut Borneo. Ibu kota Sarawak adalah Kuching. Sarawak terdiri daripada 11 daerah iaitu Samarahan, Serian, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Miri, Bintulu, Betong, Kapit, Limbang dan Mukah. 

Masyarakat di Sarawak adalah seperti di negara Jepun di mana penduduknya ramah-tamah dan mesra. Di Sarawak, terdapat kata-kata yang dapat memberi semangat kepada kita semua iaitu Agi Idup Agi Ngelaban merupakan bahasa Iban yang bermaksud selagi nyawa di badan, selagi itu bersedia berjuang dan berkorban. Kata-kata ini dapat memberikan contoh yang terbaik kepada kita semua agar kita berjuang demi tanah air yang tercinta. 

Di Sarawak, kita juga mempunyai hari kemerdekaan tersendiri iaitu Sarawak Day yang disambut pada 22 Julai setiap tahun dan cuti umum khas bagi negeri Sarawak sahaja. 

Antara kata-kata yang memberi semangat kepada masyarakat di negeri Sarawak pada 22 Julai ini ialah Sarawak for Sarawakian. Proud to be Sarawakian. 

Sebagai anak Sarawak, saya berasa sangat berbangga menjadi anak Sarawak. Di sini, saya akan kongsikan serba sedikit tentang keunikan warisan dan budaya di Sarawak. Malahan, saya juga ingin berkongsi kepada anda semua tentang makanan yang popular, tempat bersejarah di Sarawak , kraftangan dan alat muzik yang terdapat di Sarawak.

 Jadi, apakah warisan dan budaya yang unik yang terdapat di negeri Sarawak?

Adakah anda bangga menjadi anak Sarawak?Are you proud to be Sarawakian?

Jom, mari kita lihat apakah warisan dan budaya yang unik yang terdapat di Bumi Kenyalang ini.

Sejarah Ringkas Awal Sarawak 

Nama asal Sarawak diambil daripada Sungai Sarawak. Sarawak telah ditubuh pada tahun 1841 oleh James Brooke. Pada tahun 1839, Gabenor Sarawak, Rajah Muda Hasim menghantar surat kepada James Brooke. Beliau meminta bantuan daripada James Brooke untuk membantu menenangkan keadaan Sarawak yang kacau bilau. 

Pejuangan Dayak menentang penjajah Brunei terbukti hebat manakala James Brooke yang mempunyai angkatan perang yang lengkap dan beberapa kali cuba menenangkan pejuang Dayak. Sebagai balasan, James Brooke telah dilantik menjadi gabenor Sarawak pada 24 September 1841 dan seterusnya Rajah pada 18 Ogos pada tahun berikutnya.

    James Brooke, King of Sarawak
    James Brooke, King of Sarawak. Kredit Gambar

Jepun menyerang Sarawak pada tahun 1941 dan menguasainya sepanjang Perang Dunia Kedua. Pada masa kekalahan Jepun pada tahun 1945, Sarawak ditadbir oleh British Borneo Civil Affairs Unit yang dikawal oleh tentera Australia. Ianya kemudian diserahkan kepada kerajaan British  pada 1 Julai 1946. Sepanjang pemerintahan British, Sarawak ditadbir oleh Pejabat Tanah Jajahan di London.

Sepanjang tiga tahun pertama, rakyat Sarawak hanya diiktiraf sebagai Subjek British, penentangan demi penentangan dilakukan oleh Rakyat Sarawak yang mahukan sama ada berkerajaan sendiri dengan Merdeka ataupun mahukan rejim Brooke memerintah semula. 

Peristiwa terbesar yang berlaku pada masa itu ialah pembunuhan Duncan Steward iaitu Gabenor Sarawak yang kedua di Sibu oleh seorang anak muda belasan tahun bernama Rosli Dhoby. Pembunuhan ini berlaku pada 3 Disember 1949.

Rakyat Sarawak telah diberi taraf pemerintahan sendiri dengan perlantikkan Stephen Kalong Ningkan sebagai Ketua Menteri Sarawak yang pertama pada 22 Julai 1963. Pada 16 September 1963, Persekutuaan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura telah digabungkan dalam persekutuaan Malaysia walaupun dibantah oleh sebahagian penduduk pada mulanya. Oleh itu, 16 September diistiharkan sebagai Hari Malaysia dan diberi cuti umum bagi seluruh Malaysia pada setiap tahun.

Etnik dan Budaya di Sarawak

Sarawak mempunyai pelbagai etnik yang paling banyak di Malaysia selain terdiri daripada kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India. Etnik Di Sarawak terbahagi kepada 4 mengikut kawasan penempatan iaitu persisiran pantai, lembah sungai, daerah pendalaman dan kawasan tanah tinggi. 

Antara kumpulan etnik di Sarawak adalah Iban, Bidayuh, Melanau, Orang Ulu iaitu Penan, Kayan, Kenyah, Kelabit, Lun Bawang, Kedayan, Bisaya dan sebagainya. 

Dengan etniknya berbeza, bahasa dan budaya untuk setiap etnik ini juga berbeza. Contohnya etnik Bidayuh. Etnik Bidayuh ini mempunyai bahasa yang berbeza kerana mengikut daerahnya yang berbeza. Jikalau etnik Bidayuh dari daerah Bau kata makan, mereka maksudkan man manakala etnik Bidayuh Serian pula mereka maksudkan ma-an.

Di Sarawak, perayaan yang disambut oleh etnik Iban dan Bidayuh adalah pesta musim menuai atau dikenali sebagai hari Gawai Dayak yang disambut pada 1 dan 2 Jun pada setiap tahun. 

Selain itu, Sarawak juga diraikan dengan meriahnya melalui sambutan hari Krismas yang disambut pada 25 Disember pada setiap tahun. 

Bagi memeriahkan sambutan Hari Gawai, Dayak dan Krismas ini, masyarakat Sarawak mengadakan rumah terbuka di mana ramai saudara-mara dan kawan-kawan mereka datang berkunjung ke rumah terbuka. 

Malahan, saudara-mara dan kawan-kawan mereka yang datang berkunjung bukanlah etnik Iban dan Bidayuh sahaja tetapi dikunjungi oleh bangsa lain iaitu Melayu, Cina, India dan sebagainya tanpa mengira bangsa, adat dan budaya. Begitulah uniknya masyarakat Sarawak apabila mereka mengadakan majlis rumah terbuka pada musim perayaan.

                   Perayaan Gawai Dayak di Sarawak : Kredit Gambar

                Perayaan Krismas Di Sarawak. Kredit Gambar

Di Sarawak, terdapat tarian-tarian yang unik yang dipersembahkan oleh etnik Iban iaitu Tarian Ngajat. Tarian Ngajat terdiri daripada 9 tarian iaitu Ngajat Induk, Ngajat Bebunoh, Ngajat Lesong, Ngajat Semain, Ngajat Bemayah, Ngajat Pua Kumbu, Ngajat Kuta, Ngajat Ngalu Temuai dan Ngajat Ngemai Antu pala. Tarian Ngajat ini dimainkan pada hari Gawai Dayak dan dipersembahkan oleh penduduk rumah panjang atau dikenali sebagai rumah panjai di Sarawak.

     Tarian Ngajat yang dipersembahkan oleh penduduk rumah panjai di Sarawak. Kredit Gambar

Pada perayaan musim menuai ini, terdapat aktiviti yang menarik di rumah panjai iaitu kumang gawai. Kumang gawai adalah Pertandingan Ratu Cantik yang ditandingi oleh penduduk gadis Iban di rumah panjai. 

Tidak dinafikan juga, gadis Sarawak mempunyai kecantikan tersendiri atau natural berbanding gadis Korea Selatan yang menjalani pembedahan plastik. Dayung Sangon adalah bermaksud gadis cantik dalam bahasa Bidayuh daerah Bau manakala Dayung Timenggen pula dalam bahasa Bidayuh daerah Serian. Dalam bahasa Iban pula, gadis cantik bermaksud Indu Bajik.

Pertandigan Ratu Cantik atau dikenali sebagai Kumang Gawai di Sarawak. Kredit Gambar

Makanan Popular di Sarawak

Tidak jauh ketinggalan, makanan merupakan topik utama bagi masyarakat di Sarawak.Terdapat pelbagai jenis makanan yang sedap, menyelerakan dan popular yang boleh didapati di Bumi Kenyalang ini. Antaranya ialah Laksa Sarawak, Ayam Pansuh, Kek Lapis Sarawak ( Sarawak Layered Cake), Mi Kolo, Tempoyak, Sagu dan sebagainya.

Ayam Pansuh atau dikenali sebagai Manok Pansuh adalah makanan tradisi masyarakat di Sarawak terutamanya kaum Iban dan Bidayuh. Ayam Pansuh ini adalah hidangan daging ayam dimasukkan ke dalam buluh dan dipenuhi dengan air, perasa dan juga daun ubi kayu. 

Makanan ini lazimnya dihidangkan pada perayaan Gawai, Dayak dan Krismas tetapi makanan ini juga boleh dihidangkan semasa majlis kenduri, makanan tengah hari atau malam. 

Kek lapis merupakan kek yang sangat terkenal dengan jenis yang pelbagai warna-warni. Kek ini biasanya dihidangkan pada musim perayaan seperti Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Krismas dan Gawai Dayak. Kesimpulannya, makanan yang popular di Sarawak ini telah menarik perhatian para pelancong yang melancong ke Bumi Kenyalang ini.       

             Antara makanan yang popular di Sarawak

 Mi Kolo. Kredit Gambar

Sagu. Kredit Gambar

Ayam Pansuh atau dikenali sebagai Manok Pansuh. Kredit Gambar
Laksa Sarawak. Kredit Gambar
Kek Lapis Sarawak. Kredit Gambar
Tempoyak. Kredit Gambar

Tempat Bersejarah di Sarawak

Terdapat beberapa tempat bersejarah yang menjadi tumpuan bagi para pelancong dan menarik di Sarawak. Antara tempat bersejarah yang menarik di Sarawak adalah History Walk. 

History Walk boleh didapati di sepanjang laluan pejalan kaki di Sungai Sarawak atau dikenali sebagai Waterfront Kuching. Selain itu, tempat bersejarah yang boleh didapati di Sarawak adalah Muzium Sejarah Cina. 

Muzium Sejarah Cina dibina pada tahun 1912 sebagai rumah mahkamah yang mengendalikan pentadbiran undang-undang, adat yang berhubung kait dengan perkahwinan dan penceraian, pembahagian harta dan lain-lain khusus untuk masyarakat Cina di Sarawak. 

Seterusnya, bangunan Astana juga merupakan tempat bersejarah yang terletak di Seberang Sungai Sarawak atau dikenali sebagai Waterfront. Pada tahun 1870, Charles Brooke telah membina bangunan Astana ini dan memberi kepada isterinya yang bergelar The Ranee Margaret sebagai hadiahnya.

Tambahan pula, bangunan bersejarah yang ditinggalkan oleh keluarga Brooke ialah Bangunan Square Tower, Kuching. Ianya terletak di Waterfront dan menjadi tumpuan para pelancong yang datang ke Sarawak. Oleh kerana reka bentuknya segi empat, ianya digelar sebagai Square Tower. 

Fort Margherita juga adalah salah satu bangunan bersejarah dan sebuah bangunan kubu lama yang ditinggalkan oleh Keluarga Brooke. Fort Margherita ini terletak di seberang Waterfront dan bersebelahan di Bangunan Astana.

Bangunan bersejarah ini dibina pada tahun 1879 oleh Charles Brooke dan diberi nama sebagai Fort Margherita sempena nama isterinya, Margaret Alice Lili de Windt, yang dikahwininya di Highworth, Wiltshire pada 28 Oktober 1869. 

Kubu ini sangat unik kerana seni binanya dalam bentuk gaya sebuah istana kota Inggeris dan direka khas untuk melindungi Kuching daripada serangan lanun. Ianya juga dikenali sebagai Muzium Polis pada tahun 1971 dan diserah balik kepada kerajaan negeri Sarawak.

 Antara bangunan bersejarah di Sarawak

Bangunan Astana yang terletak di seberang Waterfront. Kredit Gambar

 

Bangunan Muzium Cina. Kredit Gambar
Fort Margherita terletak di seberang Waterfront dan bersebelahan di Bangunan Astana. Kredit Gambar
History Walk yang terdapat di sepanjang laluan pejalan kaki di Waterfront. Kredit Gambar

Square Tower di Watefront, Kuching. Kredit Gambar

Alat Muzik dan Kraftangan Sarawak

Antara alat muzik yang paling popular di Sarawak adalah Sape. Sape adalah alat muzik jenis kordofon yang berasal dari kaum Orang Ulu iaitu Kenyah dan Kayan yang tinggal di pendalaman Borneo. 

Pada abad -21 ini, Sape perlahan-lahan menjadi alat sosial bagi mengiringi tarian atau sebagai bentuk hiburan. Sape bukan saja terkenal di Sarawak, tetapi Sape ini juga terkenal sehingga ke peringkat antarabangsa.

Alat muzik Sape yang terdapat di Sarawak. Kredit Gambar

Selain itu, terdapat pelbagai jenis kraftangan yang menarik yang boleh didapati di Bumi Kenyalang ini iaitu Beg Manik Sarawak. Beg Manik Sarawak dihasilkan oleh kaum Kenyah/Kayan. Kegunaan beg manik ini adalah untuk mengangkat bayi. 

Selain Beg Manik, terdapat juga Beg Tradisional Sarawak yang dihasilkan oleh Orang Ulu yang tinggal di pendalaman Borneo. Kegunaan beg tradisional ini adalah untuk membawa barang peribadi mereka ketika ke hutan, ladang dan juga ke pekan.

Tambahan pula, tenunan kain pua atau dikenali sebagai Pua Kumbu yang sangat popular di Sarawak adalah tenunan yang dihasilkan oleh wanita Iban. Kain tenunan Pua Kumbu ini berwarna kemerah-merahan, hitam atau coklat tua. Tenunan Pua Kumbu sekarang dijadikan sebagai skirt Pua Kumbu dan harganya mencecah ratusan di pasaran. 

Anyaman tikar juga adalah salah satu kraftangan yang terdapat di Sarawak. Antara tujuan anyaman tikar ini dihasilkan adalah untuk menjemur padi dan menjadi alas ruang tamu. Pada zaman moden ini, anyaman tikar ini dijadikan sebagai alas ruang tamu dengan citarasa yang cukup mewah. 

Terabai atau dikenali sebagai Perisai  adalah salah satu lambang kepahlawanan orang Iban dan Orang Ulu di Sarawak pada suatu ketika dahulu. Tujuannya alat pertahanan ini adalah digunakan semasa bertempur dengan musuh pada suatu ketika dahulu dan kini, alat pertahanan ini dijadikan sebagai perhiasan yang cantik di rumah.

Beg Manik yang terdapat di Sarawak. Kredit Gambar
Anyaman tikar yang terdapat di Sarawak. Kredit Gambar
Terabai atau perisai lambang kepahlawanan di Sarawak. Kredit Gambar

Beg Tradisional. Kredit Gambar

Tenunan kain Pua Kumbu di Sarawak. Kredit Gambar: Google

Jadi, ini adalah informasi yang anda boleh pelajari serba sedikit tentang keunikkan warisan dan budaya di Sarawak. Selain itu, kita haruslah memupuk perpaduan kaum di Malaysia dengan mengeratkan lagi hubungan silaturahim kita tanpa mengira bangsa dan agama. 

Kita juga haruslah berikan contoh yang baik agar nama baik negara dan Bumi Kenyalang ini terkenal sehingga ke peringkat antarabangsa. Sebagai anak Sarawak, anda seharusnya berbangga menjadi anak Sarawak dan anda harus berterima kasih kepada pemimpin-pemimpin yang banyak berjuang demi negeri tercinta ini.

Penulis adalah Wendy Woon yang berasal dari Sarawak.

Nama Facebook: Wendy Woon


Baca juga kisah inspirasi Yang diPertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ini


HANTAR ARTIKEL

Sekiranya anda berminat untuk 
menjadi penulis di laman web 
ini, klik sini untuk maklumat 
selanjutnya.

Jangan Lupa Like Page TheInspirasi