Wanita Berpendidikan Menjamin Generasi Berwawasan

0
234
Wanita berpendidikan menjamin generasi berwawasan

Wanita Berpendidikan Menjamin Generasi Berwawasan | Memang tidak dapat dinafikan pendidikan merupakan sesuatu yang amat penting pada masa kini bukan sahaja kepada kaum lelaki bahkan juga kepada kaum wanita. 

Melalui pendidikan seseorang dapat mengetahui pelbagai ilmu pengetahuan yang boleh digunakan dan dipraktikkan dalam kehidupan seharian dan seseorang boleh memperoleh pendidikan mahupun secara formal atau tidak formal. 

Akan tetapi, terdapat masyarakat yang memandang rendah kepada para wanita yang berjaya melanjutkan pembelajaran ke peringkat yang lebih tinggi kerana bukan sahaja akan menghabiskan masa malahan wang simpanan mereka. 

Selain itu, wanita juga sering dikaitkan dengan dapur, setinggi mana pun pengajian mereka di universiti, di kemudian hari mereka akan tetap berada di dapur dan rumah untuk menguruskan hal rumah tangga.

Berkeluarga Bukan Alasan Untuk Wanita Tidak Meneruskan Pengajian Yang Lebih Tinggi

Bahkan berbagai juga alasan sering didengari sendiri daripada para wanita yang telah berumah tangga yang mana mereka sanggup untuk tidak meneruskan pengajian mereka kerana sibuk menguruskan anak dan suami. 

Walaupun begitu, para wanita juga haruslah berusaha untuk meningkatkan kualiti hidup mereka dengan sebaik mungkin demi masa depannya sendiri. Bahkan pendidikan turut akan mempengaruhi kehidupan keluarga mereka kelak. 

Untuk itu, dapat dilihat dengan jelas di sini bahawa pendidikan pada peringkat tinggi amat penting bagi kaum wanita, kerana hal ini akan mempengaruhi gaya hidup dan kualiti mereka pada masa akan datang.

Wanita Turut Menyumbang Kepada Pembangunan Modal Insan

Memetik kata-kata Prof Madya Dr Madeline Berma dalam di Utusan Malaysia, “laksana waktu kerja anjal kerana wanita berpendidikan yang tidak berkerja tetap, turut menyumbang kepada pembangunan dan pembentukan modal insan berkualiti”. 

Hal ini jelas membuktikan sama ada seseorang wanita itu berkerja atau tidak, sekiranya mereka mempunyai ilmu pengetahuan yang meluas dari pelbagai aspek, mereka akan melahirkan masyarakat dan generasi yang berwawasan dan insan yang berkualiti yang akan meningkatkan kemajuan negara di masa hadapan. 

Bagaikan satu perkara yang amat menggembirakan apabila jumlah pelajar wanita yang melanjutkan pengajian mereka ke peringkat universiti semakin meningkat saban hari. 

Kementerian Pengajian Tinggi telah menerima 58,668 permohonan lepasan Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM) dan setaraf melanjutkan pelajar di peringkat Ijazah Sarjana Muda bagi sesi akademik 2020/2021 di 20 universiti awam. Daripada jumlah itu, seramai 40,559 perempuan (69 peratus) dan 18,109 lelaki (31 peratus) ditawarkan tempat. 

Hal ini berlaku kerana ramai wanita telah mendapat kesedaran bahawa pendidikan merupakan satu keperluan bagi setiap orang bahkan penting untuk melahirkan generasi yang berdaya saing dan berkaliber demi kepentingan negara.

Tokoh-tokoh Yang Menginspirasikan Wanita di Malaysia

Malahan jika dilihat pada masa kini ramai di kalangan tokoh di Malaysia yang terdiri daripada kaum wanita seperti Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang merupakan wanita pertama yang dilantik sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (1 Mei 2000 – 28 April 2016) dan Tun Tan Sri (Dr.) Hajah Fatimah Hashim yang merupakan wanita pertama Malaysia yang dilantik sebagai Menteri Kabinet Malaysia. 

Tokoh- tokoh ini memang merupakan wanita-wanita yang hebat kerana telah berjaya mencipta sejarah dalam bidang yang mereka ceburi. Persoalannya, apakah faedah yang akan kaum wanita perolehi sekiranya mereka berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi seperti ke menara gading. 

Antaranya ialah:

1.     Mampu menyokong kehidupan mereka sendiri dan juga orang lain

Kebiasaannya, wanita akan menjadi seorang ibu rumah tangga yang mempunyai pelbagai tanggungjawab di rumah. Sehingga ada segelintir masyarakat wanita percaya bahawa mereka tidak perlu mempunyai pendidikan tinggi untuk menguruskan rumah tangga mereka. 

Akan tetapi, tanggungjawab yang berat dan besar inilah yang menjadi punca utama mengapa mereka perlu memperolehi pendidikan yang tinggi. Justeru untuk menguruskan dan merancang masa depan anak-anak juga memerlukan pengalaman dan kemampuan berfikir yang baik. 

Hal ini kerana anak-anak akan diasuh dan dibesarkan oleh ibu dan amat pentingnya seseorang wanita (ibu) memiliki sejumlah pengetahuan yang luas dalam mengasuh anak-anak mereka. Dan hal ini akan memudahkan tugas mereka jika mereka mendapatkan pendidikan yang tinggi dan layak sebelum menikah.

2.     Mempunyai peluang untuk memiliki karier yang lebih cemerlang.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata di dalam  Berita Harian bahawa ketika ini lebih 700,000 wanita bekerja dalam pelbagai sektor sekali gus menyumbang 0.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). 

Hal ini menunjukkan bahawa masyarakat dunia kini telah mengiktiraf sumbangan wanita dalam pembangunan negara sama ada dalam ekonomi, politik mahupun sosial. Malahan pihak kerajaan juga turut memberikan sokongan dan galakan untuk memastikan wanita berdaya saing dalam pasaran pekerjaan terutama bagi memperoleh kedudukan sebagai pembuat keputusan di dalam sektor kerajaan mahupun swasta. 

Selain itu, bagi suri rumah yang mempunyai pelbagai ideal juga mampu menjana pendapatan harian mereka dengan melakukan pelbagai bisnes secara atas talian. Hal ini dapat memudahkan mereka kerana dengan adanya ilmu dan kemahiran untuk memulakan bisnes sendiri. 

3.     Wanita yang berpendidikan tinggi tidak mudah ditipu

Apabila seseorang itu sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuannya dari segala aspek, mereka dapat mengelakkan diri mereka dari ditipu oleh orang lain atau dari penipu yang menjual barangan. Terutamanya ketika mereka hendak membeli barang keperluan harian. 

Hal ini kerana, wanita selalu dianggap lemah dan mudah mempercayai orang lain tanpa usul periksa, oleh itu dengan adanya ilmu pengetahuan, mereka dapat mengelakkan diri daripada mudah ditipu.

4.     Mampu mengikuti perkembangan zaman dan teknologi

Sebagaimana telah diketahui, zaman kini merupakan zaman kemajuan teknologi dan teknologi merupakan perkara asas dan keperluan kerana dengan adanya peralatan teknologi, setiap pekerjaan dapat dilakukan dengan cepat dan mudah. 

Sebagai contoh, wanita sebagai suri rumah lebih memerlukan peralatan teknologi kerana dengan adanya peralatan teknologi dapat memudahkan kerja seperti mencuci pakaian menggunakan mesin basuh, menggunakan komputer dan juga berkomunikasi menggunakan telefon pintar. 

Walaupun mereka hanya menjadi seorang suri rumah, mereka tetap perlu mengetahui isu semasa dan perkembangan negara dari waktu ke waktu. 

Bagi wanita yang berpendidikan, mereka mempunyai pelbagai kemahiran dan pandai menguruskan atau mengendalikan peralatan teknologi yang ada. Malahan, mereka juga mudah mengetahui perkara yang berlaku di sekeliling mereka. Jika tidak, sudah pasti setiap ibu rumah tangga atau wanita akan mengalami kesukaran dalam menjalani aktiviti harian mereka.

Adab dan Nilai Murni Asas Kepada Pendidikan

Wanita yang berpendidikan juga dilihat mampu melahirkan dan menjamin lahirnya generasi yang berwawasan. Generasi yang berwawasan adalah golongan remaja yang mempunyai tingkah laku dan personaliti yang mulia dan terbaik. 

Remaja yang mempunyai tingkah laku yang baik mempunyai personaliti yang sopan, menghormati orang lain dan mengamalkan nilai murni yang lain. Sudah pasti sikap dan nilai-nilai murni ini perlu dididik dan diajar sejak dari kecil dan bukannya sikap semulajadi yang ada dalam diri seseorang. 

Wanita atau ibu merupakan insan paling penting dalam mendidik anak-anak. Ibu ibarat guru yang akan mendidik anak-anaknya supaya sentiasa berkeperibadian mulia dan cemerlang dalam pelbagai aspek. 

Bagi ibu atau wanita yang mempunyai banyak ilmu pengetahuan, sudah pasti mereka mengetahui pelbagai cara yang betul dalam mendidik anak agar tumbesaran mereka seimbang dari segi mental dan fizikal. 

Selain itu, bagi wanita berpendidikan yang menjadi ibu akan selalu mementingkan pendidikan dan menjadikan pendidikan dan pembelajaran adalah sesuatu keperluan, mereka akan berusaha sedaya upaya untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah sama ada sekolah agama atau sekolah menengah. 

Di sekolah, anak-anak juga akan memperoleh pelbagai ilmu pengetahuan yang luas dan tinggi. Ilmu pengetahuan merupakan faktor utama untuk menjanakan kecemerlangan tamadun bangsa. 

Bahkan akan melahirkan generasi yang berwawasan yang mempunyai ilmu pengetahuan yang mencakupi semua bidang serta dapat membuat penilaian dan keputusan yang bijak dalam menghadapi era globalisasi yang serba mencabar minda dan jiwa.

Wanita yang berpendidikan juga akan selalu menerapkan di dalam diri anak-anak mereka perasaan sayang akan negara. Hal ini kerana mereka sudah pasti telah mempelajari sejarah-sejarah yang berlaku di negara kita dan berusaha untuk mengekalkan keharmonian dan keamanan negara dengan turut mendidik anak-anak supaya mempunyai semangat patriotik yang tinggi. 

Dengan menanam sikap cinta akan negara dalam golongan generasi baru ini mampu membantu negara dari segi kemajuan dan potensi untuk bersaing dengan negara maju yang lain agar negara ini juga turut dikenali di seluruh pelosok dunia. 

Bahkan generasi yang berwawasan juga tidak mudah terpengaruh dengan anasir-anasir luar seperti dari negara barat dari segi budaya, hiburan dan intelektual yang boleh menjatuhkan nama baik negara. Jiwa patriotik yang menebal ini akan menjamin keharmonian negara sekali gus berupaya menjaga maruah negara di pentas global.

Kesimpulan

Akhir sekali, ibu dan wanita yang berpendidikan akan mengajar anak-anak mereka untuk sedar akan tanggungjawab mereka dan melaksanakannya dengan baik tanpa merungut atau secara sambil lewa. Contohnya, dengan menyuruh mereka menolong untuk membasuh pinggan mangkuk atau menyapu selepas makan. 

Hal ini akan meningkatkan rasa tanggungjawab dalam kalangan generasi baru untuk sanggup melaksanakan sebarang tugas tanpa suruhan atau arahan.  Malahan bukan sahaja mampu menerapkan sikap tanggungjawab, tapi juga supaya bersikap lebih matang terhadap sesuatu perkara apabila diamanahkan dengan tanggungjawab yang lebih berat pada masa akan datang. 

Kesimpulannya, jelas menunjukkan bahawa pentingnya bagi seseorang wanita untuk mendapatkan pendidikan agar mereka boleh mendidik anak-anak mereka dengan lebih baik dan antara peranan wanita yang berpendidikan tinggi adalah mampu melahirkan generasi yang berwawasan yang tidak mementingkan diri sendiri malahan akan selalu berusaha untuk meneruskan perjuangan dan melakukan paradigma untuk membina negara yang maju dari segi politik, sosial dan ekonomi. Hal ini kerana generasi baru adalah golongan yang penting dalam menentukan masa hadapan sesebuah masyarakat mahupun negara. 

Oleh : Siti Nur Salsabila Hashim, 
pelajar Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, 
Universiti Sains Islam Malaysia