Tuesday, September 24, 2024
HomeTokohBiografi Imam al-Ghazali: Tokoh Yang Disegani Dunia Islam dan Barat

Biografi Imam al-Ghazali: Tokoh Yang Disegani Dunia Islam dan Barat

Imam Al-Ghazali merupakan seorang tokoh ilmuwan Islam yang terkenal bukan sahaja di kalangan umat Islam bahkan juga dari kalangan bukan Islam. Ketokohan beliau telah memberikan kesan yang amat mendalam kepada jiwa kaum Muslimin dari segi pemikiran dan juga budi pekerti.

Keilmuwannya yang sangat meluas dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan khususnya dalam bidang falsafah, usul al-fiqh, ilmu kalam, tasawuf, kemasyarakatan, pendidikan, akhlak, politik dan sebagainya tidak dapat dinafikan lagi sehingga beliau diingati sepanjang zaman sama ada di Timur mahupun Barat.

Kelahiran dan Kehidupan awal

Al-Ghazāli dilahirkan pada tahun 450H./950M. di sebuah kampung bernama Ghazalah iaitu sebuah kampung di pinggir Kota Tūs sebuah daerah dalam wilayah Khurasan. Nama sebenar beliau ialah Abū Hāmid Muhammad Ibn Muhammad Ibn Muhammad Ibn Ahmad al-Ghazāli al-Tūsi. Gelaran Abū Hāmid di permulaan namanya adalah dinisbahkan kepada anak lelaki beliau yang meninggal dunia ketika masih bayi. Namun begitu terdapat di kalangan sarjana yang mengatakan bahawa gelaran tersebut (Abu Hāmid) adalah panggilan semata-mata kerana beliau tidak mempunyai anak lelaki.

Beliau telah diberikan dengan beberapa gelaran selepas kewafatannya seperti Hujjat al-Islām (The Proof of Islam ) dan Zayn al-Din (The Ornament of Religion). Selain itu terdapat juga di kalangan sarjana yang menggelarkannya sebagai “the Greatest Muslim” selepas Nabi Muhammad s.a.w. Gelaran yang diberikan kepada beliau melambangkan penghormatan yang tinggi terhadap sumbangannya dalam bidang keilmuwan dan pemikiran Islam.

Al-Ghazāli dibesarkan dalam lingkungan keluarga yang serba sederhana. Akan tetapi kedudukan tersebut tidak menghalang keluarganya untuk menghayati ajaran Islam dalam kehidupan seharian mereka. Bapanya bekerja sebagai pemintal benang daripada bulu binatang untuk dijadikan pakaian yang didagangkan di Kota Tūs, Khurasan. Bapanya merupakan seorang yang alim, ahli tasawuf dan tidak makan makanan selain daripada usahanya sendiri. Selain itu juga, bapanya mempunyai kecintaan yang mendalam terhadap ilmu pengetahuan dan menghormati orang-orang yang berilmu.

Mengikut catatan sejarah, al-Ghazāli adalah berbangsa Parsi walaupun sebahagian besar daripada karyanya ditulis dalam bahasa Arab. Beliau juga mempunyai saudara lelaki yang lain yang bernama Ahmad dan beberapa saudara perempuan. Al-Ghazāli telah berkahwin sebelum umurnya mencecah 20 tahun, namun catatan sejarah tidak menjelaskan nama isterinya. Hasil perkahwinan tersebut beliau dikurniakan empat orang anak, seorang lelaki dan tiga perempuan.

Pendidikan

Dari segi pendidikan, al-Ghazāli dan adiknya Ahmad mendapat didikan awal daripada seorang tokoh sufi yang menerima wasiat ayahnya sebelum bapanya meninggal dunia ketika al-Ghazāli masih lagi kecil. Melalui tokoh sufi inilah al-Ghazāli dan Ahmad mula didedahkan dengan asas-asas menulis dan membaca serta asas-asas dalam pengajian al-Qur’an dan Hadith.

Al-Ghazāli mendapat pendidikan secara formal ketika beliau memulakan pengajian di sebuah madrasah di dalam Kota Tūs. Al-Ghazāli dimasukkan ke dalam institusi berkenaan kerana penjaganya tidak lagi mampu menyara kos perbelanjaan al-Ghazāli dan saudaranya atas faktor kemiskinan. Di samping itu juga, institusi tersebut menawarkan biasiswa kepada setiap penuntutnya. Keadaan ini memberi peluang kepada al-Ghazāli untuk mendapat pendidikan yang sempurna sebagaimana kanak-kanak lain yang sezaman dengannya.

Ketika al-Ghazāli masih lagi dalam usia remaja, beliau telah mengembara ke Jurjan bagi menyambung pengajiannya dalam bidang Fiqh di bawah bimbingan al-Imam Abi Nasr al-Ismā‘ili. Selepas itu, beliau berhijrah pula ke Naysabur iaitu ketika umurnya hampir mencecah 20 tahun. Ketika di sinilah beliau berjumpa dan menjadi anak murid kepada Abū al-Ma‘ali al-Juwayni (m. 478H./1047M.) yang juga dikenali sebagai al-Imam al-Haramayn. Al-Ghazāli berguru dengan al-Imam al-Haramayn sehinggalah gurunya itu meninggal dunia pada tahun 478H./1085M. *( Gelaran Haramayn (dua Tanah Haram) adalah kerana beliau pernah menetap dan mengajar di dua tanah suci iaitu Makkah al-Mukarramah dan Madinah al-Munawwarah)

Kerjaya

Selepas kewafatan gurunya, al-Ghazāli mengembara pula ke al-‘Askar, Baghdad dan bertemu dengan menteri yang bernama Nizam al-Mulk iaitu seorang pembesar keturunan Bani Saljuk yang amat mengambil berat tentang kegiatan intelektual. Kehebatannya dalam bidang ilmu pengetahuan menyebabkan menteri Nizam al-Mulk melantiknya sebagai profesor di Universiti Nizamiyyah pada tahun 484H. Tugas sebagai profesor telah melibatkan beliau secara langsung dalam bidang pengajaran. Menurut Ibn al-‘Arabi (m. 543 H./1148M.), kuliah yang disampaikan oleh beliau dihadiri sehingga 400 orang pelajar termasuklah dari kalangan pembesar-pembesar kerajaan pada ketika itu.

Selepas empat tahun memegang jawatan sebagai profesor di Universiti Nizamiyyah, beliau kemudiannya meninggalkan Kota Baghdad untuk mengasingkan diri dan beruzlah di Damshiq, Syria. Selepas mengasingkan diri dengan begitu lama, beliau kemudiannya kembali mengajar di Universiti Nizamiyyah pada tahun 490H. di atas permintaan Sultan. Setelah beberapa tahun kembali mengajar di sana, al-Ghazāli mengambil keputusan untuk kembali ke kampung halamannya di Tūs dengan mendirikan sebuah madrasah untuk mengajar dan mendidik serta mengamalkan cara hidup sufi sehingga ke akhir hidupnya pada hari Jumaat 14 Jamadilakhir 505H./19 Disember 1111M. ketika umurnya 55 tahun. Jenazah beliau di kebumikan bersebelahan dengan makam syair besar yang terkenal iaitu Firdausi.

Perjalanan Hidup

Perjalanan hidup al-Ghazāli bolehlah dibahagikan kepada dua peringkat di mana pada peringkat awalnya beliau lebih cenderung melibatkan diri dalam semua disiplin ilmu yang berbentuk teoretikal seperti ilmu kalam, ilmu fiqh dan falsafah.

Manakala peringkat kedua kehidupannya lebih bersifatkan kerohanian iaitu selepas beliau mengasingkan diri di Damshiq, Syria yang bermula pada tahun 488 H. sehinggalah ke akhir hayat beliau 505H selama 17 tahun.

Karya-karya

Sepanjang hidupnya, beliau telah menghasilkan banyak penulisan dalam pelbagai bidang khususnya falsafah, ilmu kalam, tasawuf, usul al-fiqh dan sebagainya. Terdapat di kalangan sarjana yang mengatakan bahawa karya al-Ghazāli mencecah sehingga 400 buah. Namun begitu, Sulayman Dunya mencatatkan sehingga 56 buah sahaja di dalam “Muqadimah Fadhilah”, kata pengantar tentang kitab Faysal al-Tafriqat. Manakala Dr. Badawi Tabādanah dalam kata pengantarnya tentang Ih Ulūm al-Din mencatatkan sehingga 62 buah. Selebihnya mungkin hilang atau dibuang ke dalam sungai Tikrit ketika serangan Monggol ke atas dunia Islam pada abad ke-13 Masihi.

Abdul Salam Yusuf dalam bukunya Imam al-Ghazāli: Pendidikan Berkesan menyatakan gaya dan struktur penulisan al-Ghazāli terbahagi kepada dua bentuk iaitu yang bercorak ilmiah dan bercorak umum. Karya yang bercorak umum ini menggunakan gaya bahasa dan huraian yang agak mudah dan sesuai ditujukan kepada masyarakat yang tidak sempat untuk mengikuti pengajian di peringkat tertinggi. Karya-karya tersebut lebih tertumpu kepada dalam asas-asas keagamaan dan akhlak seperti Bidayah al-Hidayah dan Minhaj al-Abidin.

Manakala karya-karya yang berbentuk ilmiah, al-Ghazāli menggunakan gaya bahasa yang agak rumit bersesuian dengan kemampuan individu yang mempunyai daya keintelektualan yang tinggi dalam memahami sesuatu perkara yang dibincangkan. Karya-karya yang bersifat ilmiah ini seperti dalam bidang falsafah, ilmu kalam, usul al-fiqh dan tasawuf contohnya Miyār al-Ilm, Mustasfa Min Ilm al-Usul, Tahafut al-Falasifah, Mishkat al-Anwar dan al-Risalah al-Ladunniyah.

Sebagai kesimpulannya, ketokohan al-Ghazali dalam pelbagai bidang ilmu sangat dikagumi dalam dunia Islam mahupun Barat. Pengaruh pemikiran beliau amat meluas sehingga dikaji lagi pada masa kini dalam pelbagai lapangan. Bahkan karya-karya beliau diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa untuk diteliti dan dijadikan rujukan. Walaupun ada sesetengah ilmuan yang mengkritik dan mempunyai perbezaan terhadap beliau, ini membuktikan betapa luasnya pengaruh dan pemikiran beliau dalam pelbagai lapangan ilmu.

Rujukan

  • Abd al-Rahman al-Badawi (1977), Muallāfat al-Ghazāli, c. 2. Kuwait: Wa Kalah al-Matbu‘at.
  • al-Ghazāli (1997), Penyelamat Dari Kesesatan. Abdulfatah Haron Ibrahim (terj.), c. 2. Kuala Lumpur
  • Encyclopedia Britannica, j. 10. USA: RR, Donelly & Sons Co., Entri “al-Ghazali”.
  • Ibn al-‘Arabi, Abu Bakr ibn al-‘Arabi (1951), ‘Awasim min al-Qawasim. Muhibb al-Din al-Khatib (ed.). Kaherah: al-Matba‘ah al-Salafiyyah.
  • Margaret Smith (1983), The Mystic, A Study of Life and Personality of Abu Hamid Muhammad al-Tusi al-Ghazāli, Together With an Accunt of His Mystical Teaching and an Estimate of His Place in The History of Islamic Mysticism. Lahore: Hijra Publisher International.
  • Mohd Fauzi Hamat (2005), Ketokohan al-Ghazzali Dalam Bidang Logik. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
  • Mustafa Abu-Sway (1996), al-Ghazzāliy: A Study in Islamic Epistemology. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  • Osman Bakar (1992), The Classification of Knowledge in Islam. Kuala Lumpur: Institute for Policy Research.
  • Sidik Hj Baba (1988), “Riwayat Hidup Imam al-Ghazāli”, dalam Seminar Imam Al-Ghazali Dan Sumbangannya. Anjuran Akademi Islam, Universiti Malaya dan Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri Pada 23-25 September 1988M./12-14 Safar 1409H..
  • Sulayman Dunya (Dr.) (1965), al-Haqiqah fi Nazr al-Ghazali. Kaherah: Dar al-Ma‘arif
  • Tāj al-Din Abi Nasr ‘Abd al-Wahhāb bin ‘Ali bin ‘Abd al-Kafi al-Subki (1968M./1388H.), Tabaqāt al-Shāfi‘iyyāh al-Kubrā, j. 6, Kaherah: ‘Isā al-Bābi al-Halabi Wa Syirkāh.
  • Taqi al-Din Abi Bakr bin Ahmad Ibn. Qadi Shuhbah al-Asadi al-Dimashqi Ibn Qadi Shuhbah (t.t), Tabaqāt al-Fuqahā’ al-Shāfi‘iyyāh. ‘Ali Muhammad ‘Umar (Dr.) (tahqiq), j. 1. Kaherah: Maktabah al-Thaqafah al-Diniyyah
  • W. Montgomery Watt (1963), Muslim Intellectual: A Study of al-Ghazāli. Edinburgh: University Press.

Artikel ini ditulis oleh Basri bin Husin.

Penulis merupakan graduan Sarjana (2008) dan Doktor Falsafah (2018) dari Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Artikel ini adalah sebahagian daripada Disertasi Sarjana Penulis yang bertajuk “Ilham Sebagai Sumber Epistemologi Islam: Analisis Terhadap al-Risālah al-Ladunniyah Karya al-Ghazāli”. (2008)

HANTAR ARTIKEL

Sekiranya anda berminat untuk
menjadi penulis di laman web
ini, klik sini untuk maklumat
selanjutnya.

BACA JUGA: 5 Ajaran Sesat Yang Menyalahgunakan Konsep Ilham di Alam Melayu

BACA JUGA: Ibnu Firnas : Manusia Pertama Yang Terbang Diinspirasikan Daripada Burung

RELATED ARTICLES

Most Popular