Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mula dilaksanakan pada 18hb Mac yang lepas dilihat memberi banyak implikasi kepada ramai orang. Antaranya ialah stress. Jika kita tidak tahu cara mengawal stress, ia akan memberikan kesan buruk pada diri sendiri.
Pada ketika ini samaada anda miskin atau kaya, muda atau sihat, tua atau muda, bujang atau berkahwin semuanya boleh mengalami keadaan stress.
Dalam tempoh ini juga, sekiranya stress tidak dikawal dengan baik akan membawa kepada kepada masalah lain seperti gangguan pada saluran pencernaan, sakit kepala, stroke, penyakit jantung, cepat marah, mengalami kemurungan dan sebagainya.
BACA JUGA: Apa Yang Perlu Dibeli Ketika Perintah Kawalan Pergerakan Berlaku?
Pentingnya agar kita dapat mengawal stress dalam saat yang genting di mana ramai orang tidak dapat keluar rumah untuk melakukan sebarang aktiviti.
Ada 10 langkah efektif yang boleh anda dilakukan bagi mengelakkan stress iaitu:
1) Bersenam
Bersenam adalah salah satu langkah efektif juga boleh membantu mengurangkan ketegangan otot dan stres.
Dengan melakukan beberapa jenis senaman ringan di rumah, ia dapat meningkatkan pengeluaran hormon dan dorfin. Kita juga akan berasa lega dan tenang.
Antara aktiviti senaman yang boleh anda lakukan ialah jenis senaman AB. Ia mudah dan ringkas serta tidak memerlukan peralatan. Senaman juga dapat meningkatkan kecergasan untuk tempoh yang lama berada di rumah.
2. Tidur Dengan Cukup
Masalah stress juga boleh berpunca daripada kekurangan tidur. Tidur yang tidak cukup akan menyebabkan pemikiran terganggu bahkan memberi kesan kepada tubuh badan.
Bahkan tidur yang tidak cukup pada waktu malam akan akan memberi kesan untuk keesokannya.
Oleh itu, waktu tidur yang disarankan adalah antara 6-8 jam setiap hari.
Namun sekiranya seseorang tidak tidur dengan secukupnya ialah boleh mengganggu pemikiran,emosi dan juga tingkah laku.
Selain itu juga ia akan menjejaskan aktiviti harian. Seseorang akan menjadi cepat marah, sukar memberi tumpuan dan sebagainya.
3) Sentiasa Berfikiran Positif
Bagi mengurangkan stress juga, kita disarankan untuk berfikiran positif dalam sebarang tindakan dan pemikiran.
Dalam keadaan PKP ini cubalah berfikir secara positif. Memang kita risau tak dapat menjalankan aktiviti harian seperti biasa, kehilangan pendapatan dan sebagainya. Namun bukan kita sahaja, bahkan seluruh rakyat Malaysia dapat merasakan tempiasnya.
Cuba elakkan berfikir yang bukan-bukan tentang diri. Memang kita risaukan keadaan diri dan keluarga. Namun berfikir secara negatif akan lebih membebankan diri sendiri.
Antara cara efektif berfikiran positif adalah dengan senyum.
4) Dapatkan Maklumat Berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan Daripada Sumber Berautoriti Sahaja
Dalam tempoh PKP ini juga, kita sering disogokkan dengan pelbagai berita dan petua. Lambakan maklumat ini boleh menyebabkan kita stress dalam menilai mana satu maklumat yang betul dan tepat.
Menerima berita-berita palsu ini akan menjadikan kita panik dan terus bertambah stress.
Oleh itu, pentingnya kita dapatkan maklumat terkini dan benar daripada sumber yang berautoriti sahaja.
Antara sumber berautoriti untuk mengetahui isu semasa wabak Covid19 ini ialah:
1 | Kementerian Kesihatan Malaysia | Facebook |
2 | Majlis Keselamatan Negara | Facebook Telegram Laman Web |
3 | Ketua Pengarah Kesihatan | Facebook |
4 | Laman Rasmi Kementerian Berkaitan | |
Walaupun anda menerima maklumat daripada sumber selain di atas, adalah disarankan Menyemak daripada sumber rasmi ini.
5) Kurangkan Group WhatsApp Yang Tidak Perlu
Bagi sesetengah orang, dia agak rimas apabila peningkatan aktiviti di group WhatsApp yang disertai.
Adakalanya group tersebut dijadikan limpahan dan tempat pembuangan “sampah” untuk mesej yang tidak perlu. Sudah pasti perkara ini menjadikan seseorang stress dengan maklumat yang berlebihan. Apatah lagi petua, berita dan maklumat palsu.
Apa kata keluar sahaja daripada group tersebut. Jika rasa bersalah. Tetapkan nada “mute” pada mana-mana group yang membebankan.
6) Luangkan Lebih Masa Bersama Keluarga
Bagi mengurangkan stress waktu PKP ini, eloklah luangkan lebih masa bersama keluarga.
Banyak aktiviti yang boleh dilakukan di rumah seperti membersihkan rumah bersama-sama, membantu anak ulangkaji dan sebagainya.
Bagi ibubapa yang berada di kampung, cubalah menelefon mereka setiap hari dan bertanyakan khabar. Boleh gunakan video call atau menelefon cara biasa sahaja.
Jika ada masalah, luahkan kepada mereka agar dapat meringankan sedikit rasa tekanan yang dialami.
Mungkin mereka dapat mencari penyelesaian atau memberi sedikit nasihat.
7) Hubungi Rakan-rakan Melalui Video Call
Bertanyakan khabar rakan-rakan karib atau sekerja antara perkara yang boleh mengurangkan stress ketika ini.
Apa kata buat satu video call secara berkumpulan dan bersembang sesuatu. Cubalah bercerita pengalaman masing-masing ketika tempoh PKP ini.
Ramai yang stress kerana tidak dapat berjumpa kawan. Namun masih lagi boleh berhubung melalui beberapa aplikasi seperti video call whatapps, FB Messenger, Skype, zoom dan sebagainya.
8) Amalkan Langkah Berjimat Cermat
Dalam tempoh PKP ini penting buat kita semua melakukan langkah penjimatan dalam semua perkara termasuk air, elektrik dan makanan.
Dengan faktor kewangan yang nipis, langkah berjimat cermat sedikit sebanyak mengurangkan stress anda.
Sekiranya anda fikir perlu mencatu makanan buat keluarga, lakukanlah kerana tiada lagi jaminan pada 14 April ini semua perkara akan berakhir. Mungkin akan berlaku pertambahan tempoh seandainya wabak tidak dapat dikawal.
Tindakan berjimat cermat juga dapat mengurangkan risiko terdedah kepada covid-19 bagi ketua keluarga kerap keluar membeli barang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu.
Dalam waktu ini juga, bukanlah masa yang sesuai untuk pesta masakan dan suka-suka masak untuk raya.
Jimatlah stok makanan selagi mampu yang boleh. .
Hikmah terhadap ujian ini adalah untuk kita kembali bermuhasabah dalam perbelanjaan.
9) Hubungi Kaunselor Melalui Talian Khas Kaunseling Covid-19
Sekiranya anda sukar juga untuk mengawal stress dan memerlukan bantuan, hubungilah talian kasih 15999 yang diwujudkan bersempena covid-19.Â
Ia merupakan inisiatif Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi memberi sokongan psikologi kepada semua masyarakat yang terkesan daripada penularan wabak COVID-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan.
Talian Khas Kaunseling Covid-19 diwujudkan melalui Talian Kasih 15999 dan Whatsapp Talian Kasih 019 26 15999.
Pemanggil yang memerlukan perkhidmatan tele-kaunseling akan dipanjangkan kepada pegawai kaunselor yang berdekatan bagi membincangkan masalah yang dihadapi berkaitan COVID-19 dan kesan Perintah Kawalan Pergerakan.
Mereka adalah kaunselor bertauliah dan berpengalaman di bawah Lembaga Kaunselor Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara.
Perkongsian masalah dan khidmat tele-kaunseling diharapkan dapat membantu semua lapisan masyarakat kanak-kanak, wanita, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) .
10) Lebihkan Amal Ibadat
Dalam tempoh Perintah Pergerakan Kawalan ini adalah waktu terbaik kita luangkan lebih masa dengan amal ibadat.
Walaupun masjid dan surau ditutup, tapi kita masih boleh solat berjemaah bersama keluarga.
Selain itu berilah tumpuan dengan membaca al-Qur’an.
Bacaan al-Quran sambil memahami maknanya adalah digalakkan. Boleh sahaja kita gunakan tafsir al-Quran untuk menyemak maksud ayat.
Ini kerana Al-Quran adalah syifa’ (penyembuhan) termasuklah juga penyakit hati seperti Stress.
Bolehlah selang seli membaca dan mendengar bacaan al-Quran melalui mp3, youtube dan sebagainya. Hidupkan rumah kita dengan bacaan AlQuran. Moga dengan bacaan al-Quran dapwt menghilangkan stress.
Semoga tips dan cara mengurangkan stress di waktu PKP ini dapat membantu meringankan kerunsingan anda. Percayalah bukan kita sahaja yang menghadapi masalah ini, tetapi seluruh dunia berdepan dengan masalah yang sama.
Semoga wabak ini akan berakhir dengan segera untuk kita kembali melakukan aktiviti seperti biasa.