5 Fakta Menarik Tentang Dr Luqman Abdullah Mufti Wilayah Yang Baru

0
665
5 Fakta Menarik tentang Dr Luqman Abdullah Mufti Wilayah Yang Baru
Photo Credit: Facebook Allahyarham Tuan Guru Hj Abdullah Hj Abdul Rahman Lubuk Tapah

Setinggi ucapan tahniah kepada Dr Luqman Abdullah yang dilantik menjadi Mufti Wilayah Persekutuan yang baru berkuat kuasa mulai 15 Mei 2020 hingga 14 Mei 2022.

Dr Luqman menggantikan kekosongan yang ditinggalkan oleh Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri yang telah  dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada 9 Mac 2020 yang lalu.

Sejak kekosongan yang ditinggalkan untuk jawatan tersebut Mac yang lalu, pelbagai desas-desus timbul siapa yang bakal dilantik menjadi Mufti Wilayah yang baru. Namun akhirnya Tuanku Yang di-Pertuan Agong telah berkenan memilih Dr Luqman Abdullah bagi mengisi kekosongan jawatan tersebut.

Jom kita tengok beberapa fakta menarik tentang Dr Luqman Abdullah selaku Mufti Wilayah Persekutuan yang baharu.

Berasal Dari Kelantan Darul Naim

Dr Luqman Abdullah dilahirkan pada pada 12 September 1969. Pada tahun ini beliau berumur 51 tahun. Beliau lahir  di Kampung Pondok Lubok Tapah, Pasir Mas, Kelantan dan merupakan anak kedua kepada Tuan Guru Haji Abdullah Lubuk Tapah.

Dr Luqman Abdullah bersama 2 orang tokoh ilmuwan Kelantan lain iaitu Profesor Dr Mahmood Zuhdi dan Dr Mohamad Kamil Hj Ab Majid. Photo oleh: Basri Husin

Mendapat PhD dari UK Dalam Bidang Undang-undang Harta Islam

Dari segi pendidikan, Dr Luqman mendapat asuhan dan didikan awal daripada ayahandanya sendiri sejak kecil di Pondok Lubuk Tapah.

Beliau juga mendapat pendidikan secara formal di Sekolah Kebangsaan Lemal, Pasir Mas pada 1976 hingga 1980. 

Selanjutnya menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Ugama (Arabiah) Pasir Mas dari 1981 hingga 1986. 

Pada tahun 1987, beliau kemudiannya melanjutkan Pengajian Asasi di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya Nilam Puri hinggalah tahun 1989 sebelum melanjutkan pengajian sarjana muda di Fakulti Syariah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya pada 1989 hingga 1993. 

Kesungguhan beliau dalam menuntut ilmu tidak terhad di peringkat sarjana (Master) sahaja, beliau kemudiannya berpeluang mengikuti pengajian di peringkat PhD di Universiti Edinburgh, Scotland dan memperolehi gelaran Doktor Falsafah  pada tahun 2005 dalam bidang undang-undang harta Islam.

Tajuk tesis beliau untuk PhD adalah “Classical Islamic Law of Waqf : A Comparative Approach”.

Cover Tesis Dr Luqman Abdullah - Mufti Wilayah Persekutuan Yang Baharu
Cover tesis beliau yang bertajuk Classical Islamic Law of Waqf : a Comparative Approach dari University of Edinburgh.

Anak kepada Allahyarham Tuan Guru Hj Abdullah Hj Abdul Rahman Lubuk Tapah

Dr Luqman merupakan anak kedua kepada tokoh ulama dan ilmuwan terkenal Kelantan iaitu Allahyarham Tuan Guru Hj Abdullah Hj Abdul Rahman Lubuk Tapah yang lebih dikenali sebagai Tok Guru Abdullah Lubuk Tapah yang meninggal dunia pada 19 Mac 2008. 

Selepas pemergian Almarhum ayahandanya, Dr Luqman bersama adinda beliau iaitu Ustaz Hamdan meneruskan legasi dan amanah yang ditinggalkan oleh Ayahandanya bagi memimpin pondok tersebut.

Melalui amanah tersebut juga Dr Luqman bersama ibundanya Hajjah Kamariah dan Ustaz Hamdan telah menubuhkan Akademi Tuan Guru Haji Abdullah Sdn Bhd, sebuah syarikat kebajikan bagi mencari dana untuk pondok agar kelangsungan pentadbiran dan pendidikan pondok tersebut berdiri dengan kukuhnya.

Penasihat Syariah dan Anggota Profesional Kepada Beberapa Institusi Dalam negara

Dr Luqman yang merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya juga pernah memegang jawatan Ketua Jabatan tersebut sejak 1 Ogos 2018. 

Selain itu beliau juga merupakan anggota profesional kepada beberapa institusi kewangan, JAKIM, Majlis Agama Islam Kelantan dan Organisasi Bukan Kerajaan (NGO).

Antara sumbangan dan penglibatan dalam bidang profesional ialah:

  1. Ahli lembaga Pusat Pembangunan Pengajian Pondok Kelantan.
  2. Ahli Jawatankuasa Persatuan Ulama Malaysia.
  3. Penasihat Pakar, Panel Pakar Syariah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM 2019-2020).
  4. Penilai Pakar Pengurusan dan Kurikulum Institusi Pondok di Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (2017-2018).
  5. Ahli Jemaah Ulama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) (2011).
  6. Ahli Jawatankuasa Penasihat Syariah MBSB Bank Berhad.
  7. Ahli Jawatankuasa Syariah Takaful Malaysia Berhad.
  8. Ahli Jawatankuasa Syariah Amanah Raya Berhad.
  9. Ahli Jawatankuasa Penasihat Syariah MAA Takaful.

Aktif Dalam Pembentangan dan Penulisan Ilmiah Dalam dan Luar Negara

Dr Luqman mempunyai kepakaran dalam bidang wakaf, zakat, “usul al-Fiqh”, “amwal” dan beberapa bidang Pengajian Islam yang lain.

Selain daripada mengajar dan menyelia pelajar Sarjana Muda, Master dan Phd di Jabatan fiqh dan Usul APIUM, Dr Luqman juga aktif dalam pembentangan seminar serta penulisan ilmiah dalam dan luar negara. 

Penulisan beliau termasuklah artikel jurnal, buku, chapter buku, prosiding dan sebagainya terutamanya dalam bidang  bidang wakaf, zakat usul fiqh, Pengajian Islam dan lain-lain.

Tulisan terkini beliau sebelum menyandang jawatan Mufti Wilayah yang baharu adalah mengenai “Sikap Orang Islam terhadap Virus Covid-19” yang di tulis dalam bahasa Arab dan diterbitkan dalam laman web Naseem al-Sham.

Selain itu Dr Luqman juga aktif melalui sumbangannya terhadap masyarakat dengan menjawat Timbalan Pengerusi Ahli Jawatankuasa Kariah Surau Jumaat Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya dan juga pernah menjadi Penasihat Surau al-Mujahidin Taman Desa Surada, selain  aktif berceramah agama di beberapa kawasan setempat.

Semoga Dr Luqman dapat berbakti sebagai Mufti Wilayah yang baru dengan cemerlang demi kebaikan ummah.

Rujukan:

  1. UM Expert “Luqman Abdullah
  2. Laman Facebook : Allahyarham Tuan Guru Hj Abdullah Hj Abdul Rahman Lubuk Tapah
  3. Edinburgh Research Archive

Baca juga 9 personaliti yang perlu kita contohi daripada Dr Noor Hisham Abdullah.

JANGAN LUPA LIKE PAGE THEINSPIRASI

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here