Tuesday, November 26, 2024
HomeTokohKisah Inspirasi Imam Tirmidzi Yang Boleh Dijadikan Tauladan Buat Penuntut Ilmu Masa...

Kisah Inspirasi Imam Tirmidzi Yang Boleh Dijadikan Tauladan Buat Penuntut Ilmu Masa Kini

Imam al-Tirmidzi merupakan ilmuan agung dalam bidang ilmu hadith. Beliau merupakan penyusun kitab Jami’ yang terkenal iaitu salah satu daripada 6 kitab hadis utama (Kutub Sittah).

Nama lengkap beliau ialah Abu Isa Muhammad bin Isa bin Sarwah bin Musa bin Dahak al-Sulami al-Tirmidzi. Beliau lahir pada pada tahun 209 hijrah. Ketokohan beliau dalam bidang hadis adalah sesuatu yang tidak dapat disangkal lagi.

Penisbahan namanya kepada al-Sulami merupakan nisbah kabilah yang dijadikan gabungan beliau dan merupakan nisbah kearabannya. Sementara itu, penisbahan namanya kepada Tirmidzi adalah kerana beliau lahir dan membesar di Kota Tirmidz iaitu sebuah kota yang terletak di bahagian utara Iran .

Al-Sulami mengikut pendapat popular dinisbahkan kepada Bani Sulaim iaitu salah satu kabilah yang terkenal daripada puak Qais Bin Ailan seperti dinyatakan dengan jelas oleh Syeikh Salman Husaini an-Nadwi. Pendapat ini disokong oleh Dr. Muhammad Abu Syuhbah kerana menurutnya al-Sulami merupakan nisbah kepada Bani Sulaim iaitu salah satu kabilah yang terkenal manakala al-Tirmidzi merupakan nisbah kepada sebuah kota yang terletak di hujung. 

Mendengar namanya sahaja sudah pasti ramai yang terbayang akan ketokohannya dalam bidang Hadis. Tambahan pula, kitab Hadis hasil karangan beliau iaitu Jami’ al-Tirmidzi masih menjadi rujukan sehingga kini.

Kitab ini juga dikenali dengan nama Al-Sunan Al-Tirmidzi atau Sunan al-Tirmidzi dan dinamakan Al-Sunan kerana mengandungi hadis-hadis hukum dan susunan hadis tersebut berdasarkan kepada bab fiqh.

Kitab Sunan Al-Tirmidzi merupakan salah sebuah kitab daripada 6 kitab hadis yang masyhur (disebut sebagai Kutub Al-Sittah) iaitu Sahih Al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Al-Tirmidzi, Sunan Abi Daud, Sunan Al-Nasa’i dan Sunan Ibn Majah.

Kesungguhan Imam Tirmizi Menuntut Ilmu

Kota Tirmidz menjadi saksi permulaan legasi bagi seorang lagenda yang terkenal ketokohannya dalam bidang Hadis. Syeikh Sulayman al-Nadwi menukilkan bahawa bermulanya pencarian ilmu dan pendidikan Imam al-Tirmidzi adalah di kota kelahirannya serta daerah yang didiaminya. Beliau juga turut mempelajari ilmu daripada pelbagai guru di Khurasan yang kemudiannya meneruskan perjalanan keintelektualannya ke Iraq dan Hijaz.

Menurut Ahmad Sutarmadi, Imam al-Tirmidzi tidak melakukan perjalanan keilmiahannya ke Mesir dan Syam kerana keadaan pada waktu tersebut tidak mengizinkannya. Hal ini memaksa beliau untuk menghafal dan meriwayatkan hadis daripada Ulama bagi kedua-dua negeri tersebut dengan perantaraan ulama-ulama yang lain. 

Imam Tirmidzi juga pernah mendatangi Kota Baghdad. Namun atas sebab-sebab tertentu  tidak mengizinkannya menuntut ilmu Hadis secara langsung dengan tokoh ulama besar ketika itu iaitu Imam Ahmad bin Hanbal. Tambahan pula Imam Tirmizi seorang yang sangat teliti serta selalu mencatat hadis daripada ulama yang ditemuinya.  

Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam kitabnya Tahzib al-Tahzib menyatakan bahawa Imam Tirmidzi pernah berkata;

Pada saat aku dalam perjalanan menuju ke Mekah, ketika itu aku telah menulis dua jilid hadis-hadis yang berasal dari seorang Syeikh dan kebetulan Syeikh tersebut berlalu di antara kami. 

Maka aku bertanya kepadanya, dan ketika itu aku mengira bahawa “dua jilid kitab” yang aku tulis itu bersamaku tetapi yang aku bawa bukanlah dua jilid tersebut, melainkan dua jilid lain yang masih putih bersih belum ada tulisannya.

Kemudian aku memohon kepadanya untuk memperdengarkan hadis kepadaku, dan dia mengabulkan permohonanku itu. Guruku membacakan hadis dari lafaznya kepadaku dan tatkala itu dia melihat kepadaku dan melihat bahawa kertas yang ku pegang putih bersih. 

Maka dia menegurku: ‘Tidakkah engkau malu kepadaku?’ maka aku pun memberitahukan kepadanya masalahku itu. Lalu aku berkata; ‘aku telah menghafal semuanya.’ 

Maka guruku tersebut berkata; ‘bacalah!’. Maka aku pun membacakan kepadanya seluruhnya, tetapi dia tidak mempercayaiku, Kemudian guruku lantas bertanya: ‘Apakah telah engkau hafalkan sebelum datang kepadaku? 

 ‘Tidak,’ jawabku. 

Aku seterusnya meminta lagi agar dia meriwayatkan hadis yang lain dan kemudian dia membacakan kepadaku empat puluh buah hadis, lalu berkata: ‘Cuba ulangi apa yang aku bacakan tadi,’ 

Lalu aku membacakannya dari pertama sampai selesai tanpa tertinggal satu huruf. Mendapati kemampuan Imam Tirmizi, maka Syeikh tersebut pun berkata ‘aku tidak pernah menemukan penuntut sepertimu’. 

Daripada kisah ini jelaslah bahawa Imam al-Tirmidzi merupakan seorang tokoh yang mempunyai kekuatan intelektual dan kesungguhan beliau dalam menuntut Ilmu. Mahasiswa pada hari ini boleh mengambil kisah inspirasi Imam al-Tirmidzi sebagai salah satu motivasi dalam menuntut ilmu.

Kesungguhan, kekuatan hafalan, kebijaksanaan fizikal dan mental yang ada pada Imam Tirmidzi boleh kita garap bagaimana kesungguhan ulama-ulama dahulu yang begitu tekun dalam perjuangan menuntut ilmu.

Penuntut ilmu hari ini perlulah menghayati dan mengadaptasikan kesungguhan imam-imam dan cendiakawan-cendiakawan seperti Imam Tirmidzi serta menjadikannya sebagai seorang idola dalam proses pembelajaran jika mahu berdiri sama tinggi duduk sama rendah, setanding dengan tokoh ilmuwan sepanjang zaman walaupun hakikatnya sukar untuk di gapai.

Rujukan

  • Ahmad Sutarmadi, Imam Tirmizi:Peranannya dalam Perkembangan  Hadis dan Fiqh. Jakarta:Perpustakaan Nasional, 1998.
  • Huda Muhsin, Pengenalan Hadis Sunan Sittah. Kuala Lumpur,Dewan Bahasa dan Pustaka, 1985.
  • Muhammad Abu Syuhbah, Al-Taarif bi Kitabul HadisI Sittah. Kaherah: Maktabah al-`Alam, 1988.
  • Sa’ad Abdillah Hamid. Manahij Al-Muhaddisin. Riyadh:Dar Ulum as-Sunnah, 1999.
  • Sulayman Husaini An-Nadwi. Madkhal Ila Dirasah Jami’ Tirmizi al-Maaruf bi Ilal as-Soghir. Damsyik:Dar Ibnu Kathir.
  • Syihabuddin Ahmad Ibnu Ali Ibnu Hajar, Tahzib al-Tahzib. Beirut:Darul al-Fikr.
  • Teguh Pramono. 100 Muslim Paling Berpengaruh dan Terhebat Sepanjang Zaman. Jakarta:  DIVA Press, 2015.

Artikel ini ditulis oleh Annuar Ramadhan Bin Kasa (A.R Kasa)

Penulis merupakan Mahasiswa di Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur

Facebook: Melankolia Philosophia

HANTAR ARTIKEL

Sekiranya anda berminat untuk
menjadi penulis di laman web
ini, klik sini untuk maklumat
selanjutnya.

BACA JUGA: Ibnu Firnas : Manusia Pertama Yang Terbang Diinspirasikan Daripada Burung

BACA JUGA: Sumbangan Penting Umar Abdul Aziz Dalam Bidang Ilmu Hadis


Jangan Lupa Like dan Follow Page The Inspirasi

RELATED ARTICLES

Most Popular