Pada 25 Januari yang lalu, negara kita sekali lagi dilanda sebuah musibah yang besar selepas kekalutan politik apabila berlaku penyebaran penyakit pandemik yang membimbangkan iaitu Novel Corona Virus.
Sehingga kini angka kes jangkitan terus meningkat sehingga mencapai jumlah 3116 (ketika penulis menyiapkan artikel ini) dan mencapai kes kematian sebanyak 50 (setakat pengamatan penulis ketika itu).
Hal yang serius dan meruncing ini bukan sahaja melanda negara kita tetapi masyarakat dunia tanpa mengira sama ada daripada negara-negara Islam mahupun negara-negara bukan Islam.
Kesemua masyarakat dunia masing-masing telah melakukan pelbagai langkah alternatif yang berbeza mengikut kondisi dan pengkajian juga pengalaman masing-masing. Sebab itu, kita boleh saksikan pelbagai negara melakukan langkah yang berbeza dengan situasi yang berbeza serta natijah yang berbeza.
Namun penulis di sini ingin memberikan sedikit pandangan berdasarkan pengamatan penulis terhadap situasi dan reaksi masyarakat Malaysia terhadap penularan penyakit berjangkit yang berbahaya ini.
Pada mulanya pihak kerajaan melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia (Hal Ehwal Agama) iaitu Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah mengumumkan penangguhan sebarang aktiviti dan solat berjemaah di masjid setelah data pertama dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan antara pesakit-pesakit terawal yang terkena penyakit berjangkit Covid-19 ada yang telah menyertai ijtimak atau perhimpunan Tabligh dekat Masjid Sri Petaling pada 28 Februari 2020.
Kesemua mereka yang menyertai dikatakan datang dari serata dunia yang berjumlah 48 buah negara. Lalu Menteri Agama telah mengambil langkah inisiatif memaklumkan penutupan dan penangguhan sebarang aktiviti di masjid buat seluruh muslimin di Malaysia
Pada ketika inilah wujud pelbagai reaksi daripada kalangan umat Islam bahkan non-muslim di negara ini seperti stigma menyalahkan golongan tabligh sebagai faktor utama kepada penularan penyakit pandemik Covid-19.
Tidak kurang juga wujud perspektif negatif daripada segelintir nitizen yang beragama Islam yang telah menyifatkan penutupan atau penangguhan aktiviti masjid sebagai keterlaluan bahkan mengundang kemurkaan Allah.
Bahkan yang lebih menyedihkan apabila wujud persepsi bahawa Covid-19 ini agenda Yahudi dan matlamat penyebaran ini tentunya supaya masyarakat lebih takut kepada Covid-19 daripada Allah S.W.T.
Setiap persepsi yang wujud ini tidak dapat disangkal sudah pun bersarang dalam benak fikiran muslim sejak zaman berzaman pasca-modernisme. Inilah yang dinamakan sebagai krisis Ilmu dalam kalangan umat Islam.
Krisis ilmu terjadi apabila manusia mula meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Sungguhpun kini dapat kita lihat Kabinet Menteri mula menjalankan peranan masing-masing mengadakan sidang dalam menyampaikan maklumat-maklumat penting serta mencadang dan melaksanakan langkah-langkah yang efektif untuk membendung penularan penyakit in
Tidak lupa juga pasukan perubatan dan keselamatan menjadi “frontliners” untuk mengawal situasi dan kegiatan rakyat dari semasa ke semasa. Namun yang tidak dapat dibendung kini ialah sikap dan kedangkalan ilmu oleh sebahagian masyarakat Muslim yang tidak mengindahkan Perintah Kawalan Pergerakan oleh pihak kerajaan.
BACA JUGA: Bagaimana Kita Boleh Membantu Barisan Hadapan Negara Dalam Menghadapi Covid-19?
Sesungguhnya, epistemologi Ilmu adalah sesuatu yang diangkat tinggi dalam Islam. Ilmu memiliki kata akar daripada tiga huruf arab yang utama iaitu ain, lam dan mim yang bermaksud tahu. Lalu diguna pakai sebagai makna bagi pengetahuan. Ilmu pengetahuan daripada tradisi Islam yang sejati mengambil sumber utama daripada al-Quran dan Hadith Rasulullah S.A.W serta kata-kata para sahabat.
Allah S.W.T berfirman dalam al-Quran menerusi Surah al-Najm ayat ke 3 dan 4:
وما ينطق عن الهوى. ان هو إلا وحي يوحى
Maksudnya,: “Tidaklah (Nabi Muhammad S.A.W) memperkatakan dengan kemahuannya sendiri akan tetapi dia adalah wahyu yang diutuskan (sebagai wahyu)“.
Jelas sekali Allah telah mendatangkan kata “nutq” dalam al-Quran. Al-nutq itu asalnya mengandung makna berfikir. Namun tidak setakat itu fikiran yang terhasil itu mestilah menatijahkan pertuturan melalui proses ketertiban yang dapat difahami sesuai dengan tahap pemikiran pihak yang mendengarkannya.
Dari sini dapat kita lihat bahawasanya proses berfikir merupakan elemen penting dalam mencerap wahyu Allah S.W.T. Manusia juga dikenali dalam martabat insan sebagai al-Hayawan al-Natiq sebagai haiwan yang mempunyai daya berfikir. Ia diterjemahkan oleh masyarakat Latin sebagai ratio atau rasional. Akan tetapi dalam menjadikan diri akal manusia itu, dia juga mempunyai sikap hayawan atau animalistik yang sering memerlukan kelunasan setiap bagi keinginannya. Inilah juga dinamakan sebagai nafsu al-hayawan.
Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas pernah menegaskan bahawa dalam diri seseorang insan itu, akal merupakan pemimpin bagi segala kerajaan diri insan dan diri al-Hayawan itulah rakyat juga tentera yang mesti mengikut aturan akal agar kerajaan diri insan berlansung aman dan tenteram.
Perkaitannya dengan situasi wabak ini, dapat kita saksikan dengan jelas sebahagian masyarakat kita tidak mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 18 Mac 2020.
Sebilangan rakyat mengambil mudah hal ini sehingga mula memenuhi kehendak diri “hayawan” mereka untuk keluar tanpa sebarang alasan yang munasabah. Mereka mula telah lupa fungsi “al-nutq” atau daya akal fikiran yang dipunyai mereka sehingga gagal menguasai diri “al-hayawan” sehingga tidak mampu dalam membuat sesuatu tindakan yang rasional untuk mencegah kemudaratan yang lebih besar pada saat ini.
Apabila suatu langkah pencegahan dan perintah yang dikeluarkan oleh para penguasa atau pemimpin bukankah wajib kita mengikutinya berdasarkan perintah Allah dalam al-Quran,: “Wa ulil amri minkum”. Bahkan lebih besar lagi apabila keputusan yang diambil kerajaan itu adalah dengan melakukan banyak pertimbangan dan nilaian mengikut situasi semasa.
Dalam kita “Risalah untuk Kaum Muslimin”, Prof al-Attas juga mengatakan bahawa konfrontasi kebudayaan Barat kepada dunia Islam itu telah mendualisasikan antara sains dan agama. Pembentukan kebudayaan Barat yang terhasil daripada pengalaman terhadap ajaran agama telah meletakkan ajaran yang diamalkan itu dekat sudut terjauh daripada pusat pengetahuan.
Sehingga abad ke-17 pelbagai resolusi dan revolusi epistemologi ilmu yang giat beransur tukar dalam membentuk sebuah makna ilmu yang baru untuk membentuk masyarakat dunia yang bebas nilai agama. Terlahir daripada itu dikotomi dalam istilah ilmu iaitu intelektual dan rasional.
Intelektual hanya merujuk kepada sains dan rasional hanya bertindak sebagai proses timbang moral. Di Barat, agama bukanlah termasuk dalam hal-hal yang disebutkan kerana tidak terpakai dalam proses Tajribi atau pembuktian emperikal. Secara tidak langsung konfrontasi yang berbahaya ini telah merasuk sebilangan golongan manusia yang beragama Islam di negara ini.
Sejurus pengumuman penangguhan sebarang aktiviti di masjid oleh Menteri Agama, terdapat sebilangan kaum Muslimin yang masih berdegil untuk melangsungkan ibadah solat berjemaah di masjid seperti yang pernah dilaporkan oleh Menteri Pertahanan pada sidang yang lalu.
Mereka menyangkal sebarang usaha atau langkah pencegahan yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Pada mereka langkah yang diambil oleh kerajaan menunjukkan bahawa mereka lebih takutkan makhluk berbanding Pencipta makhluk.
Daripada situasi inilah sebenarnya krisis ilmu dalam dunia Islam memperlihatkan sebilangan masyarakat Islam ini tidak faham tentang tempat letak sesuatu ilmu itu. Tanpa disedari mereka telah memisahkan intipati ajaran Islam dengan ilmu atau disebut sebagai dualisme.
Pada mereka ilmu pengetahuan sains yang melahirkan kaedah perubatan tidak ada kena mengena dengan Islam. Menurut mereka Islam adalah Islam dan Sains adalah ilmu pengetahuan. Inilah suatu yang boleh meruntuhkan nilai Islam dalam sesebuah negara.
Cukuplah dalam kitab “Misykatul Anwar”, Imam al-Ghazali menyatakan dengan jelas bahawa rasional dalam ajaran Islam merupakan proses penyuluhan bagi intelektual atau keilmuwan. Menurut. Prof al-Attas, pusat letak ilmu itulah hati atau al-qalb yang suci. Bahkan beliau pernah mengatakan antara punca utama kemunduran peradaban muslim kini ialah kehilangan adab.
Adab menurut beliau adalah suatu tindakan benar yang terhasil bersesuaian dengan daya ilmu pengetahuan. Adab bukanlah berkisarkan sopan santun seperti yang mudah kita fahami. Tetapi garis adab itu terlahir daripada keselarasan tindakan berdasarkan ilmu pengetahuan. Hadis antara sumber utama bagi ilmu pengetahuan selepas al-Quran. Daripada dua sumber yang besar dan utama ini terbitlah pengistilahan ilmu fardu ain dan fardu kifayah.
Kedua-dua ilmu ini sudah tentulah wajib dipelajari oleh setiap muslim bersandarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah melalui Anas bin Malik daripada Rasulullah S.A.W:
طلب العلم فريضة على كل مسلم
Maksudnya: “(proses) menuntut ilmu itu merupakan kewajipan bagi setiap muslim“.
Daripada ilmu Fardh Ain ini lahirlah ilmu-ilmu utama yang perlu dipelajari seperti ilmu Akidah, Syariah dan Akhlak atau Tasawwuf. Daripada ilmu Fardu Kifayah pula lahirlah ilmu-ilmu ijtima’i atau ilmu yang dapat meneruskan kelansungan masyarakat seperti ilmu perubatan, kejuruteraan, pembinaan dan sebagainya.
Sebagai solusi kepada krisis ilmu juga, Prof al-Attas mengajak kaum muslimin supaya mengubah kembali sikap kepada ilmu pengetahuan. Sedarilah kembali bahawa ilmu itu terbahagi kepada dua iaitu ilmu Fardu ain dan Fardu Kifayah. Tuntutan Fardu ain itu adalah kewajipan individual sedangkan fardu kifayah pula merupakan tuntutan yang bersifat kemasyarakatan yakni apabila telah ada sebahagian golongan yang memenuhi tuntutan tersebut maka gugurlah kewajipan buat sebahagian yang lainnya.
Renungkan apabila seorang doktor perubatan itu seorang yang mahir dalam fardu ain maka dalam kesibukan mengubati pesakit itu dia juga faham dan tahu bagaimana melaksanakan ibadah saat darurat. Begitu pula kekalutan yang terjadi apabila segelintir ilmuwan dalam hal agama yang tidak mahir soal perubatan bahkan merasakan diri lebih faham daripada doktor perubatan mula memperkenalkan kaedah pengubatan di luar keahlian mereka bahkan menjaja iman dengan meneruskan ibadah di masjid saat perintah kawalan.
Sikap sebahagian Muslimin yang meremehkan PKP atau keengganan memberikan kerjasama kepada pasukan perubatan dan keselamatan ini tidak lain dan tidak bukan lahir daripada sikap kejahilan atau kesombongan. al-Ghazali menyebutkan ia sebagai al-Hamaqah iaitu sikap membelakangi nasihat dan saranan ilmu.
Apabila Rasulullah S.A.W bersabda,: “Tidak mudharat (bahaya) dan tidak memudaratkan”. Maka jelas sekali Rasulullah menggariskan panduan bagaimana sikap Muslim dalam membendung sebarang kemudharatan.
Tidak berhenti di situ, umat Islam perlu mengikut nasihat oleh mereka yang pakar dalam bidang keilmuwan masing-masing sebagai meneruskan kelangsungan sebuah negara yang sejahtera dan adil iaitu setiap manusia melakukan sesuatu sesuai dengan aturan atau peranannya.
Justeru umat Islam perlulah berdaya saing dalam melahirkan sebuah komuniti ilmuwan yang beradab dan universal. Sebab itu lahirnya Jamiah atau universiti yang bertujuan melahirkan seorang ilmuwan yang bukan sahaja mahir dalam hal-hal kemahiran untuk memenuhi keperluan masyarakat (fardu kifayah) tetapi mestilah sarat kefahaman dalam soal perlaksanaan ibadah atau ajaran-ajaran agama yang disebutkan sebagai ilmu fardu ain seperti Imam al-Ghazali, al-Biruni, al-Khawarizmi, Ibn Sina dan sebagainya.
Mudahan pasca krisis Covid-19 dapat membentuk sikap kaum muslimin menjadi lebih prihatian terhadap soal ilmu pengetahuan selain membentuk keperibadian yang sejati dalam setiap lapisan masyarakat daripada rakyat bawahan sehinggalah para pemimpin atasan.
Artikel ini ditulis oleh Muhammad Husaam Arsalan Bin Pahrol.
Penulis merupakan Mahasiswa di Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur
HANTAR ARTIKEL
Sekiranya anda berminat untuk
menjadi penulis di laman web
ini, klik sini untuk maklumat
selanjutnya.
JANGAN LUPA LIKE PAGE THE INSPIRASI