Setiap kali tibanya ulang tahun Hari Kebangsaan, pasti ada dalam kalangan kita yang akan bersemangat untuk menyanyikan lagu patriotik Malaysia.
Sebagai rakyat yang citakan tanah air, kita akan berbangga apabila lagu-lagu patriotik ini diputarkan sama ada di televisyen, radio mahupun di media sosial dalam menyambut ulang tahun kemerdekaan negara.
Antara elemen penting yang diketengahkan dalam kebanyakan lagu patriotik Malaysia adalah melalui irama dan liriknya yang meresap ke dalam jiwa setiap rakyat Malaysia. Lagu-lagu ini juga boleh diikuti oleh setiap lapisan masyarakat tak kira tua mahupun muda. Bahkan ada yang menyanyikannya untuk pertandingan sempena menyambut hari kebangsaan Malaysia.
Bagi menyemarakkan semangat dan rasa cinta terhadap negara, kami senaraikan 10 lagu patriotik Malaysia yang sentiasa menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.
1. Tanggal 31 – Sudirman
Allahyarham Sudirman Haji Arshad merupakan antara penyanyi yang banyak menyanyikan lagu patriotik Malaysia.
Tanggal 31 merupakan lagu yang cukup sinonim dengan sambutan Hari Kebangsaan sejak dahulu lagi.
Lirik dan iramanya mudah difahami dan diikuti oleh pelbagai lapisan masyarakat bahkan turut diminati oleh pelbagai bangsa yang membangkitkan semangat patriotik pada tanah air.
2. Warisan (Sudirman)
Selain itu, Allahyarham Sudirman juga turut menyanyikan lagu kemerdekaan yang berjudul Warisan. Permulaan pada lirik lagu Warisan pernah menjadi menjadi tema Hari Kemerdekaan ke-57 “Malaysia… Di sini Lahirnya Sebuah Cinta.
Jika di hayati pada lirik lagu ini, ia mampu mencetuskan semangat patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia. Lagu ini berkisar tentang perjuangan seorang anak bangsa terhadap tanah air tercinta.
Jelaslah bahawa lagu warisan dapat menyuntik semangat kemerdekaan dalam mempertahankan kedaulatan tanah air tercinta. Maka tidak hairanlah lagu ini bersifat evergreen dan sentiasa dinyanyikan sehingga kini.
3. Bahtera Merdeka (Aishah)
Lagu Bahtera Merdeka mula dinyanyikan oleh Ahmad Jais. Namun diberi nafas baharu oleh Aishah dan diputarkan sehingga kini nyanyiannya.
Lagu yang dicipta oleh Kassim Masdor dan lirik oleh S Sudarmaji ini, sangat menyentuh jiwa dan menjadi pembakar semangat buat anggota keselamatan di medan perjuangan.
Pada korus lagu ini menyeru pendengarnya agar terus berbakti buat tanah air dengan sepenuh jiwa dan raga. “Jiwa dan raga, Buktikanlah pada nusa bangsa, Supaya negara maju jaya, Aman merdeka”
4. Saya Anak Malaysia – Dr Sam & Musafir
Lagu ini mula dinyanyikan oleh Dr Sam dan Kumpulan Musafir pada 1986 dan terus dinyanyikan hingga kini.
Lagu ini biasanya akan dikumandangkan di stesen TV mahupun radio setiap kali sambutan Ulangtahun Hari Kemerdekaan Negara . Lirik lagunya sangat segar dan mudah dihafal dengan rentak yang boleh diikuti oleh semua lapisan masyarakat.
Lirik Lagu Saya Anak Malaysia menggambarkan perpaduan kaum di Malaysia dan semangat cintakan tanah Air. Di dalam satu bait lirik lagu ini menyebut “Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri kita, walaupun cantik negeri orang, tentunya Malaysia cantik lagi. Ia menggambarkan indahnya pesanan penulis lirik ini terutama kepada Anak Malaysia yang berada diluar negara untuk sentiasa ingatkan tanah air tercinta. Pastinya mereka yang berada diluar negara merasa rindu apabila mendengar lagu ini terutamanya setiap kali sambutan Hari Kebangsaan Malaysia.
5. Sejahtera Malaysia
Lagu Sejahtera Malaysia merupakan lagu patriotik lama namun masih dikumandangkan sehingga kini setiap kali suasana sambutan bulan kemerdekaan Negara.
Versi asal lagu ini dinyanyikan pada sekitar 1980-an oleh Fauziah Ahmad Daud (Ogy), Azlina Aziz, Rohana Jalil, Elaine Kang dan Desree. Kemudian ia turut dinyanyikan oleh penyanyi lagu patriotik negara iaitu Roy. Suatu ketika dahulu, lagu ini sering dikumandangkan sebelum slot berita jam 8 RTM 1dan sebelum tamat siaran TV di RTM.
Sejahtera Malaysia menggambarkan tentang anak Malaysia yang berbilang kaum yang setia dan bersedia untuk berkorban demi negara tercinta. Sudah pasti irama dan liriknya yang meresap ke dalam jiwa ini merupakan antara sebab utama lagu ini masih dikumandangkan sehingga kini walaupun dalam pelbagai versi baharu.
6. Setia – Francissca Peter
Lagu setia merupakan nyanyian asal Francissca Peter sekitar tahun 1980-an. Lagu ini dicipta oleh Datuk Ahmad Dasilah dan Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat.
Ia dinyanyikan sehingga kini oleh pelbagai artis tempatan.
Bait-bait dalam senikata lagu ini menggambarkan tentang kesetiaan rakyat Malaysia demi Tanah Air yang dicintai.
7.Gemuruh – Faizal Tahir
Lagu Gemuruh nyanyian Faizal Tahir boleh juga dikategorikan sebagai lagu patriotik Malaysia. Ini kerana rentak dan lirik lagunya yang yang membangkitkan semangat mereka yang mendengarnya.
Lagu ini tidak terhad dinyanyikan ketika sambutan bulan kemerdekaan sahaja. Bahkan ia terus di putarkan untuk majlis-majlis keraian, orientasi pelajar mahupun mahasiswa universiti.
Sudah pasti lirik lagu ini membangkitkan semangat dan jati diri rakyat Malaysia dengan rentaknya yang begitu bersemangat sekali.
8. Jalur Gemilang
Lagu Jalur Gemilang dicipta khas untuk bendera Malaysia yang mengandungi nilai patriotik yang tinggi. Lirik lagu ini mengandungi identiti bendera negara yang menyeru masyarakat untuk menghayati dan mengibarkan bendera Malaysia dengan penuh kemegahan dan cintakan negara.
Lagu Jalur Gemilang ini telah di lancarkan secara rasminya pada 9 Ogos 2003 untuk sambutan Hari Kemerdekaan negara yang ke-46. Sejak daripada itu, ia terus dinyanyikan sebagai satu indentiti dan kemegahan negara yang menyeru rakyat agar berbangga dengan lagu patriotik negara ini.
Lagu ini juga berkisarkan tentang gambaran dan maksud bendera Malaysia yang boleh difahami melalui nyanyian. Ini secara tidak langsung dapat membangkitkan semangat kecintaan negara dalam kalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa di Malaysia.
9. Standing in the Eyes of the World – Ella (1998)
Lagu ini merupakan Lagu tema Sukan Komanwel 1998 apabila Malaysia menjadi tuan rumah untuk sukan yang berprestij itu. Ia turut dinyanyikan ketika upacara penutup Sukan SEA yang berlangsung di Kuala Lumpur pada tahun 2017.
Lagu yang dinyanyikan Ella ini pasti membuatkan kita akan turut sama menyanyikan sama-sama sebagai lagu keramat yang menggambarkan tentang kejayaan Malaysia di mata dunia.
Lirik lagu ini mengandungi unsur-unsur semangat cintakan tanah air dan rasa bangga dengan kemampuan yang kita miliki.
10. Inilah Barisan Kita
Lagu ‘Inilah Barisan Kita” merupakan lagu yang mampu menaikkan bulu roma apabila dinyanyikan beramai-ramai.
Lirik lagu ini Ia berbentuk perjuangan yang menceritakan pengorbanan para perajurit negara yang ikhlas berjuang di medan peperangan untuk mempertahankan negara.
Pun begitu, lagu ini tidak terhad kepada nyanyian anggota tentera sahaja, bahkan ia turut dinyanyikan terutamanya apabila pasukan Harimau Malaya beraksi untuk pasukan negara kita sebagai satu semangat buat mereka.
Ayuh kita semarakkan sambutan hari kebangsaan kita pada tahun ini dengan pantun dan ucapan terbaik Hari Kemerdekaan Malaysia.
Jom sertai Channel Telegram TheInspirasi untuk lebih banyak tips-tips, perkongsian dan artikel menarik

JANGAN LUPA LIKE PAGE THEINSPIRASI