Saturday, October 5, 2024
HomeArtikelNasihat Yang Membuatkan Khalifah Harun Ar-Rasyid Menangis

Nasihat Yang Membuatkan Khalifah Harun Ar-Rasyid Menangis

Harun ibn Muhammad ibnu Abi Ja’far al-Manshur adalah khalifah kelima daripada Kerajaan Islam Abbasiyah yang berpusat di Kota Bahgdad. Beliau mewarisi jawatan Khalifah Abbasiyah pada tahun 170 H/786 M dengan menggantikan saudaranya Khalifah al-Hadi.

Tatkala itu, beliau baru sahaja berusia 25 tahun di mana usia yang masih muda untuk mentadbir dan memerintah sebuah  dinasti yang sangat digeruni dengan wilayah kekuasaan yang luas.

Sayugialah bahawa usia yang muda ini menjadi salah satu elemen yang mendokong pemerintahan Harun Ar-Rasyid untuk terus melonjakkan pembangunan kerajaan Islam ketika itu. Sehingga waktu pemerintahannya dikenali sejarah sebagai zaman keemasan Islam (The Golden Age of Islam), dengan Kota Baghdad menjadi salah satu pusat pengembangan pelbagai ilmu dan intelektual dunia.

Kisah bermula dengan Fadhl bin al-Rabi meriwayatkan bahawa tatkala Khalifah Harun berangkat ke Tanah Suci untuk melakukan ibadah haji, lantas aku terdengar suara ketukan pintu.

Aku bertanya, “Siapa itu?”

“Amirul Mukminin”, jawabnya.

Fadhl bin al-Rabi terus bangun dan keluar seraya berkata, “Wahai Amirul Mukminin, jika engkau mengirim utusan untuk aku datang kepadamu nescaya aku akan mendatangimu.”

Lalu khalifah menjawab, “Ada sesuatu yang terdetik di dalam hatiku. Carilah seseorang untukku agar aku dapat bertanya kepadanya”.

Fadhl menjawab, “Cubalah tanya kepada Sufyan bin Uyainah”.

Secepatnya Fadhl keluar bersama Khalifah dan membawanya menuju ke rumah Sufyan lalu terus mengetuk pintu rumahnya. Sufyan bertanya siapakah yang mengetuk pintu. Lalu aku menjawab bahawa yang datang itu adalah Amirul Mukminin.

Sufyan segera keluar dan menemuinya dan berbicara dengan Khalifah buat beberapa ketika. Harun ar-Rasyid akhirnya berkata kepadanya, “Apakah engkau mempunyai tanggungan hutang?”

Lalu sufyan menjawab, “Ya, benar”.

Maka Khalifah mengarahkan kepada para pembantunya untuk melunaskan hutang Sufyan bin Uyainah. Kemudian mereka berlalu menuju ke  rumah Abdurrazaq bin Hammam lalu terjadi perkara yang sama di mana pada akhir pertemuan, Khalifah menyuruh para pembantunya melunaskan hutang Abdurrazaq.

Amirul Mukminin berkata kepada Fadhl, “Temanmu itu tidaklah membawa manfaat kepadaku. Carilah seseorang yang lain”.

Fadhl lantas berfikir lalu berkata, “Ya, Fudhail bin Iyadh”.

Fadhl bersama Khalifah Harun menuju ke rumahnya lalu mengetuk pintu rumahnya. Fudhail menyahut, “Siapa itu?”.

Fadhl menjawab, “Aku bersama dengan Amirul Mukminin”. Lalu Fudhail membalas, “Apa urusanku dengan Amirul Mukminin?”

Fadhl lantas menjawab, “Maha Suci Allah. Apakah engkau tidak mematuhinya?”

Segera Fudhail keluar dengan membuka pintu dan mematikan lampu biliknya sedangkan dia berada di suatu sudut biliknya. Maka Khalifah dan Fadhl memasuki rumahnya dalam keadaan meraba-raba sehinggalah tangan Khalifah Harun mengenai tangan Fudhail.

Fudhail lantas berkata, “Alangkah indahnya jika tangan ini esok akan bebas daripada azab Allah”.

Amirul Mukminin bertanya kepadanya, “Apakah engkau inginkan sesuatu daripada kedatangan kami ini?”

Lalu Fudhail dengan pantasnya menjawab, “Sesungguhnya Umar Abdul Aziz tatkala menjadi Khalifah, dia memanggil Salim bin Abdullah, Muhammad bin Ka’ab dan Raja bin Haiwah seraya berkata, Aku diuji dengan ujian ini. Maka bantulah aku.”

Fudhail berkata lagi, “Umar menganggap jawatan itu sebagai sebuah ujian yang besar, sedangkan engkau dan teman-temanmu menganggapnya sebagai sebuah nikmat”.

Dia melanjutkan lagi dengan bercerita, “Salim menasihati Umar Abdul Aziz dengan berkata, jika engkau mahu selamat daripada siksaan-Nya, tahanlah dirimu daripada kemewahan dunia dan jadikanlah kematian sebagai kebahagiaanmu”.

Sahabat Umar Abdul Aziz yang bernama Ka’ab pula berkata, “jika engkau mahu selamat daripada siksaan-Nya. Jadikanlah ulama sebagai ayahmu, orang biasa sebagai saudaramu dan anak kecil sebagai anakmu.”

Sementara itu, Raja bin Haiwah pula berpesan, “Jika mahu selamat daripada siksaan Allah, cintailah orang Islam sebagaimana engkau mencintai dirimu. Jauhilah bagi mereka apa yang kamu diri kamu juga turut benci.”

Fudhail berkata kepada Harun ar-Rasyid, “Sesungguhnya aku mengatakan hal ini kerana aku bimbang pada hari yang menyedihkan, apakah engkau, Amirul Mukminin dan orang di sekitarmu tidak memerintahkan dan menasihatimu seperti ini?”

Al-Maqdisi menukilkan bahawa, Harun ar-Rasyid tatkala itu menangis sehingga pengsan beberapa ketika sehingga dia terbangun lalu dia meminta untuk ditambahkan nasihat daripada Fudhail bagi dirinya.

Ini kerana nasihat tersebut sangat mendalam walaupun seseorang itu merupakan seorang pemerintah yang mempunyai kekuasaan tetapi di hadapan Tuhan hanyalah kosong. Bahkan jika dia dihumban ke dalam api neraka, tiada nilainya semua kelebihan-kelebihannya di dunia.

Fudhail membalas, “Wahai orang yang tampan, engkau nanti akan ditanya tentang ketampananmu ini. Jika kau mampu maka jagalah wajahmu daripada api neraka. Jauhilah di kala pagi dan petang sifat dengki dari rakyatmu”.

Sayugia Harun ar-Rasyid menangis mendengar nasihat Fudhail beberapa ketika. Sampai pada penghujung esakan tangisannya lalu dia berkata, “Apakah engkau mempunyai tanggunggan hutang dengan manusia?”

Fudhail membalasnya dengan berkata, “Sesungguhnya Tuhanku tidak menyuruhku berbuat demikian tetapi menyuruhku agar menjadi hamba-Nya yang beribadah”.

Lantas dia membaca surah Al-Dzariyat ayat 56 yang bermaksud:

“Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.”

Amirul Mukminin lalu memberinya 1000 dirham untuk Fudhail dan menyuruhnya untuk menggunakannya bagi menambah kekuatan dalam beribadah kepada Allah. Fudhail lantas menjawab,” Maha suci Allah. Aku telah menunjukkan jalan keselamatan bagimu lalu engkau membebani aku dengan sesuatu seperti ini?”

Fudhail kemudian mendoakan kepada Khalifah agar Allah menyelamatkan dan melindunginya. Lalu dia mendiamkan diri sehinggalah akhirnya Khalifah dan Fadhl mengundurkan diri dari rumahnya.

Dalam perjalanan pulang maka Khalifah Harun berkata kepada Fadhl, “Wahai Bani Abbas! Apabila engkau mencari seseorang untuk menasihati diri sendiri lalu kau mendapati seseorang seperti Fudhail. Maka dialah sebenarnya pemimpin kaum Muslimin pada hari ini.”

RUJUKAN:


Artikel ini ditulis oleh Annuar Ramadhan Bin Kasa (A.R Kasa)

Penulis merupakan Mahasiswa di Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur


HANTAR ARTIKEL

Sekiranya anda berminat untuk 
menjadi penulis di laman web 
ini, klik sini untuk maklumat 
selanjutnya.

RELATED ARTICLES

Most Popular