Senarai Ejaan Yang Betul Dalam Bahasa Melayu Yang Sering Kita Keliru

3
7743
Senarai Ejaan Yang Betul Dalam Bahasa Melayul Yang Sering Kita Keliru

Adakah selama ini kita menggunakan ejaan yang betul dalam Bahasa Melayu? 

Terdapat beberapa perkataan yang seringkali kita keliru ejaannya disebabkan ambilan  daripada perkataan bahasa Inggeris, kata majmuk ataupun disebabkan penggunaan ejaan lama. 

Penggunaan ejaan yang betul adalah penting agar perkataan yang digunakan tersebut tepat mengikut ejaan yang ditetapkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka melalui Kamus Dewan. 

Dalam pada itu juga, istilah yang tepat dapat memartabatkan Bahasa Melayu yang menjadi bahasa rasmi penggunaannya di negara kita. Jadi, biasakan yang betul dan betulkan yang biasa. 

Analisa atau analisis? 

Perkataan/ejaan yang betul ialah analisis. Analisa ialah ejaan lama.

Antara bangsa atau antarabangsa? 

Ejaan yang betul mengikut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat ialah antarabangsa. Dengan tidak dipisahkan kedua perkataan tersebut. 

Aturcara atau atur cara?

Istilah yang tepat ialah “atur cara“. Perkataan ini merupakan kata majmuk. Oleh yang demikian perkataan ini dieja sebagai dua perkataan, iaitu atur cara. 

Baru atau baharu? 

Kata “baru” dan “baharu” kedua-duanya betul, namun penggunaannya mengikut konteks ayat. Menurut Kamus Dewan, baharu atau baru bermaksud membaharui, memperbaharui, membaiki semula (melakukan sesuatu, mengubah, dll). 

Penggunaan istilah, “baru” kebiasaannya merujuk kepada masa, bagi membantu, dalam bahasa Inggeris, kata “just” digunakan untuk mempamerkan penggunaan kata ini. Contoh ayat; Dia baru tiba dari Kuala Lumpur. 

Kata “baharu” pula merujuk kepada sesuatu yang baru. Terjemahan dalam bahasa inggerisnya, “new” , termasuk digunakan untuk barang-barang. Contoh; Buku Tatabahasa Dewan Edisi Baharu.

Bandaraya atau bandar raya? 

Ejaan yang digunakan ialah bandar raya dengan dipisahkan perkataan tersebut.

Bagaimana dengan ejaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur DBKL? 

Jawapan : Ejaan yang betul ialah bandar raya kecuali Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang telah ditubuhkan dan diwartakan sebelum tahun 1972. Penamaan selepas tahun 1972 sepatutnya menggunakan ejaan yang baharu yang telah diselaraskan termasuklah ejaan bandar raya. Walau bagaimanapun penamaan dewan bandar raya atau majlis bandar raya selepas tahun tersebut masih mewartakan ejaan yang lama dan hal ini adalah di luar bidang kuasa DBP. Begitu juga dengan papan-papan tanda di mana-mana tempat awam adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan yang berkenaan. DBP memantau dan membuat teguran terhadap sebarang kesalahan bahasa dan papan tanda di tempat awam dan pihak berkuasa tempatan yang akan bertindak di bawah kuasa yang ada pada mereka.

Biadap atau biadab?

Ejaan yang diterima ialah biadab bukan biadap. 

Antara kata terbitannya ialah kebiadaban dan sebiadab. Biadab terbentuk daripada kata ‘bi’ (dari bahasa Parsi yang membawa makna ‘tiada’ ) dan ‘adab’ (Wilkinson, 1959).  

Berbahaya atau merbahaya? 

Perkataan yang betul ialah berbahaya. dalam bahasa Melayu tidak ada imbuhan ‘mer’, tetapi imbuhan ‘ber’. Contoh penggunaan: Jalan raya itu berbahaya kepada orang awam kerana banyak kenderaan berat menggunakan jalan ini.  

Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, memang ada merakamkan istilah merbahaya tetapi ditulis sebagai merbahaya -> marabahaya.Tanda  anak panah  (->) bererti lihat. Oleh itu perkataan yang betul ialah marabahaya.

Bumiputra atau bumiputera?

Ejaan yang betul ialah bumiputera yang bermaksud anak negeri atau peribumi

Chef atau cef? 

Menurut Kamus Dewan Edisi Empat, ejaan yang tepat ialah cef.

Cop nama atau cap nama? 

Perkataan yang betul ialah cap nama, bukan cop nama yang banyak digunakan dalam urusan pejabat. 

Contoh perkataan tersebut juga boleh digunakan untuk perkataan yang lain seperti cap mahkota/cap tajuk, cap tambahan, cap ubah suai, cap batal/cap hapus, cap buka dan cap ulang.

Daging cincang atau daging cencang? 

Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, cincang dan cencang mempunyai maksud yang sama. 

Dalam pangkalan data DBP juga terdapat kedua-dua istilah tersebut. Oleh itu, daging cincang dan daging cencang adalah betul.

Di mana atau dimana?

Ejaan yang betul ialah “di mana” dengan dijarakkan bagi dua perkataan tersebut. Ini kerana ia merujuk kepada tempat. 

Contoh-contoh lain perkataan yang perlu dijarakkan ialah di atas, di bawah, di situ, di sini, di Kedah, di hati dan lain-lain lagi. 

Efisen atau efisyen? 

Ejaan yang betul ialah efisen yang bermaksud  bermaksud cekap, (iaitu berkenaan individu, organisasi, mesin dan lain-lain yang boleh menjalankan tugas tanpa pembaziran waktu atau tenaga).

Ejen atau agen? 

Kedua-dua ejaan betul tetapi membawa maksud yang berlainan. 

Agen bermaksud  sesuatu yang menyebabkan berlakunya tindak balas dan ejen bermaksud  orang (syarikat dsb) yang menjalankan perniagaan untuk orang lain.

Namun, kesalahan yang selalu berlaku apabila  seseorang merujuk istilah  “agen” sebagai wakil penjual. Sepatutnya adalah “ejen” wakil penjual. 

InshaAllah atau Insya-Allah? 

Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, ejaan yang betul ialah “insya-Allah

Istirehat atau istirahat

Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu, ejaan yang diguna pakai ialah istirahat yang bermaksud “keadaan atau suasana tidak melakukan sesuatu”.

Beristirahat berhenti daripada melakukan sesuatu utk melepaskan lelah atau penat; berehat: Selepas tiga jam berlatih, mereka ~ setengah jam. mengistirahatkan membiarkan beristirahat: ~ diri melepaskan lelah. peristirahatan 1 rumah (tempat dan sebagainya) untuk beristirahat. 2 perbuatan atau hal beristirahat. 

Garfu atau garpu? 

Ejaan yang betul ialah garpu yang bermaksud alat untuk mengaut atau mencucuk makanan (memasukkan makanan ke dalam mulut) yang tangkainya seperti tangkai sudu tetapi hujungnya bercabang dua atau lebih. 

Kerinting atau keriting

Ejaan yang digunakan ialah keriting. 

Contoh ayat: Rambut Suraini lurus tetapi rambut adiknya keriting. 

Komersial atau komersil? 

Ejaan yang betul ialah komersial (tidak ada ejaan komersil dalam bahasa Melayu).

Maksud komersil menurut Kamus Dewan Edisi Keempat:

Berkaitan dengan atau bersifat perdagangan. 

Komisyen atau komisen

Ejaan yang digunakan ialah komisen

Maksud komisen :

Wang upah yang dibayarkan kepada wakil atau ejen kerana menjual barang-barang; dalal.

Kuetiaw atau kuey tiaw atau kuetiau?

Ejaan yang tepat ialah kuetiau. 

Ramai peniaga menggunakan perkataan yang salah pada iklan papan tanda dan menu di restoran atau warung. Maka ejaan yang tepat menurut DBP ialah kuetiau

Lagenda atau legenda?

Ejaan yang betul ialah legenda iaitu cerita dongeng yang bersangkutan dengan kisah-kisah yang bersejarah.

Lebuhraya atau lebuh raya

Ejaan yang tepat adalah lebuh raya dengan dipisahkan  perkataan tersebut.

Losyen atau losen? 

Ejaan yang betul ialah losen

Maksud losen menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah sejenis cecair yang disapukan pada kulit, dititikkan ke dlm mata, dan sebagainya; ~ bayi (badan, tangan, dsb) losen yang dicipta khas utk disapukan pada bayi (badan, tangan, dsb); berlosen mengandungi losen: syampu ~; melosen menyapukan losen pd: ~ bayi.

Mahsyur atau masyhur?

Ejaan yang digunakan ialah masyhur

Maksud masyhur ialah “diketahui orang ramai; terkenal; ternama”. 

Maksima atau maksimum? 

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan yang betul ialah maksimum

Maksimum bermaksud jumlah yang sebanyak-banyaknya, paras dan sebagainya yang setinggi-tingginya.

Mentua atau mertua? 

Ejaan yang betul ialah mentua, seperti yang terakam dalam Kamus Dewan, mertua ialah perkataan dalam bahasa Indonesia yang sama maksudnya dengan mentua.

Mithali atau misali?

Ejaan yang betul ialah misali iaitu berkaitan dengan seseorang yang boleh dijadikan contoh atau diteladani seperti ibu misali.

Motorsikal atau motosikal?

Ejaan yang betul ialah motosikal, dalam Jawi dieja موتوسيکل. 

Murtabak atau martabak? 

Ejaan yang betul ialah martabak

Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinisikan martabak sebagai  sejenis makanan seperti roti canai tetapi ber­lapis, dibubuh daging cencang, telur, rempah, bawang dan sebagainya. 

Peha atau paha? 

Paha merupakan ejaan yang betul manakala ejaan peha dianggap tidak baku dan tidak digunakan dalam konteks rasmi.

Pelan atau plan? 

Ejaan yang digunakan ialah pelan. Manakala plan merupakan istilah bahasa Inggeris. 

Maksud pelan menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah:

  1.  rajah yg menggambarkan bentuk (ukuran, letak) sesuatu bangunan (tanah dll); ~ bandar; ~ rumah;
  2. rancangan yg sudah diatur utk dilaksanakan; ~ induk rancangan menyeluruh yg merang­kumi seluruh dasar dan segala rancangan ke­giatan yg akan dilaksanakan (dlm pemba­ngunan, perekonomian, dsb): beberapa kajian yg terkandung dlm P~ Perindustrian Malaysia; ~ lantai (S.Bina) lukisan mengikut skala bagi susun atur bilik dsb pd satu lantai sesebuah bangunan; ~ tindakan langkah­langkah tindakan yg diambil utk mencapai sesuatu tujuan. 

Penjarakan atau penjarakkan? 

Jawapan yang tepat adalah ialah penjarakan. Iaitu dengan hanya menggunakan satu “k” sahaja. Contohnya penjarakan sosial. 

Pensil atau pensel? 

Ejaan yang betul ialah pensel. Contoh ayat, “saya meraut pensel sehingga tajam.” 

Profil atau profail 

Ejaan yang digunakan ialah profil. 

Ramadhan atau Ramadan? 

Ejaan yang digunakan mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah Ramadan yang bermaksud bulan kesembilan dalam tahun Hijrah, bulan puasa. 

Catatan: Penyesuaian ejaan “Ramadhan” kepada “Ramadan” telah dibuat mengikut Sistem Ejaan Rumi Bahasa Melayu yang diselaraskan dan diisytiharkan penggunaannya sejak tahun 1975. Penggunaan ejaan “Ramadan” dalam Kamus Melayu Dewan bermula dari Edisi Kedua pada tahun 1984 lagi. 

Entri “Ramadan” walaupun ditulis begitu, kita bebas menyebutnya dengan bunyi “dhod” tidak ada salahnya. Kamus hanya merakamkan penggunaan mana yang terbanyak.

Rebet atau rebat? 

Ejaan yang tepat mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah rebat

Maksud rebat:

(Rébat) potongan daripada sejumlah bayaran yang kena dibayar atau pemulangan sebahagian daripada amaun yang telah dibuat sebagai bayaran.

Rumahtangga atau rumah tangga?

Ejaan yang tepat adalah rumah tangga dengan dipisahkan  perkataan tersebut. 

Pasaraya atau pasar raya? 

Ejaan yang tepat adalah pasar raya dengan dipisahkan  perkataan tersebut. 

Prihatin atau perihatin? 

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ejaan yang digunakan ialah prihatin

Protin atau protein? 

Ejaan yang digunakan ialah protin. Manakala protein merupakan ejaan bahasa Inggeris. 

Respons atau respon? 

Ejaan yang sebenarnya ialah respons. 

Contoh ayat: Penduduk Kampung Jawa menerima respons yang baik terhadap pameran kesihatan yang dibuat di kampung mereka.

Roti prata atau roti perata? 

Ejaan yang sebenar adalah roti perata yang bermaksud roti leper yang bentuknya bulat atau empat segi yang adunan tepungnya ditebar, dilipat lalu dimasak.

Roti perata juga dikenali sebagai roti canai. 

Sekaligus atau sekali gus? 

Ejaan yang tepat ialah sekali gus yang dieja secara terpisah.  

Serunding atau serondeng? 

Ejaan yang tepat ialah serondeng, bukan serunding kerana serunding boleh wujud daripada kata se + runding tetapi tidak ada kata tersebut dalam bahasa Melayu.  

Silaturahim atau silaturrahim? 

Ejaan yang sebenar ialah silaturahim dengan hanya satu sahaja huruf r serta tidak dipisahkan perkataan tersebut 

Spagheti atau spageti?

Ejaan yang digunakan adalah spageti yang bermaksud sejenis makanan seperti mi yang berasal dari Itali.

Spesis atau spesies?

Ejaan yang tepat ialah spesies.

Stoking atau stokin?

Dalam Kamus Dewan (Bahasa Melayu – Bahasa Melayu) padanan sock dalam bahasa Melayu ialah stoking. Oleh itu, ejaan stoking yang paling tepat.

Tandatangan atau tanda tangan? 

Jawapan yang betul ialah tandatangan. Dengan tidak dipisahkan kedua perkataan tersebut.

Tengahari atau tengah hari?

Ejaan yang betul ialah tengah hari. Tengah hari dieja terpisah. Contoh penulisan yang betul ialah ‘12.00 tengah hari’ dan ‘waktu tengah hari’.  

Tidak berbelah bagi atau tidak berbelah bahagi?

Kedua-duanya boleh digunakan, tidak berbelah bagi atau tidak berbelah bahagi


Carta Rujukan Penggunaan Ejaan Yang Betul Dalam Bahasa Melayu

Ejaan Yang BetulEjaan Yang Salah
AnalisisAnalisa
AntarabangsaAntara bangsa
Atur caraAturcara
Bandar rayaBandaraya
BiadabBiadap
BerbahayaMerbahaya
BumiputeraBumiputra
CefChef
Cap namaCop nama
Di manadimana
Efisen efisyen 
Insya-AllahInshaAllah
IstirahatIstirehat
Garpu Garfu
KeritingKerinting
KomersialKomersil
KomisenKomisyen
KuetiauKuetiaw
LegendaLagenda
Lebuh rayaLebuhraya
LosenLosyen
MasyhurMahsyur
MaksimumMaksima
MentuaMertua
MisaliMithali
MartabakMurtabak
PahaPeha
PelanPlan
PenjarakanPenjarakkan
PenselPensil
ProfilProfail
RamadanRamadhan
RebatRebet
Rumah tanggaRumahtangga
Pasar rayaPasaraya
PrihatinPerihatin
ProtinProtein
ResponsRespon
Roti perataRoti prata
Sekali gusSekaligus
SerondengSerunding
SilaturahimSilaturrahim
SpagetiSpagheti
SpesiesSpesis
StokingStokin
TandatanganTanda tangan
Tengah hariTengahari

Sumber: Pusat Rujukan Persuratan Melayu @ DBP dan Kamus Dewan Edisi Keempat

Untuk ejaan yang tidak terdapat dalam artikel ini, anda boleh merujuk terus laman web Pusat Rujukan Persuratan Melayu

Ataupun anda boleh komen pada ruangan komen di bawah untuk kami masukkan dalam entri artikel ini sebagai rujukan kita bersama. 


Baca juga senarai peribahasa tentang kerjasama dan perpaduan di Malaysia


Jom sertai Channel Telegram TheInspirasi untuk lebih banyak tips-tips, perkongsian dan artikel menarik

Channel Rasmi Telegram TheInspirasi https://t.me/theinspirasimy
Klik SINI untuk join

JANGAN LUPA LIKE PAGE THEINSPIRASI

3 COMMENTS

Comments are closed.