Tarikh Nuzul al-Quran (17 Ramadhan) pada tahun ini ialah pada 19 April 2022 (Selasa).
Ia merupakan salah satu daripada tarikh-tarikh penting dalam kalendar atau takwim Islam Hijri.
Pada tarikh ini juga, beberapa buah negeri di Malaysia mengisytiharkan cuti umum atau hari kelepasan am negeri bersempena sambutan Nuzul al-Quran ini.
Ia sebagai satu sambutan dalam meraikan peristiwa yang penting dalam sejarah Islam.
Tarikh dan Peristiwa Nuzul al-Quran
Nuzul al-Quran merupakan peristiwa turunnya ayat al-Qur’an yang pertama kepada baginda Nabi Muhammad s.a.w melalui perantaraan malaikat Jibrail a.s.
Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad s.a.w ketika baginda sedang beribadat di Gua Hira, bersamaan dengan tanggal 6 Ogos 610M.
Seterusnya al-Quran diturunkan kepada Rasulullah s.a.w beransur-ansur melalui perantaraan Malaikat Jibril Alaihissalam selama 23 tahun, iaitu 13 tahun diturunkan di Mekah dan 10 tahun di Madinah.
Ayat yang mula-mula sekali diturunkan adalah lima ayat daripada Surah Al-Alaq.
Perkataan “Nuzul” bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi Muhammad s.a.w maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.
Negeri Yang Cuti Bersempena Nuzul al-Quran di Malaysia
Pada tahun ini Nuzul al-Quran jatuh pada hari Selasa.
Terdapat 8 buah negeri yang menjadikan Nuzul al-Quran ini sebagai hari kelepasan am bagi negeri masing-masing untuk tahun 2022 / 1443H.
Negeri yang cuti bersempena Nuzul al-Quran ini ialah:
- Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya & Labuan
- Kelantan
- Pahang
- Perak
- Perlis
- Pulau Pinang
- Selangor
- Terengganu
Oleh kerana cuti ini jatuh pada hari Selasa, negeri seperti Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang dan Selangor boleh mengambil cuti pada hari Isnin jika ingin bercuti panjang selama 4 hari iaitu;
- Sabtu (cuti mingguan)
- Ahad (cuti mingguan)
- Isnin (ambil cuti)
- Selasa (Cuti Nuzul al-Quran)
Kenapa Tidak Semua Negeri Cuti Nuzul al-Quran?
Negeri-negeri lain yang tidak menjadikan Nuzul al-Quran sebagai cuti atau hari kelepasan Am bagi negeri masing-masing adalah kerana mereka memilih Awal Ramadhan sebagai Hari Kelepasan Am pada 3 April yang lalu sebagai pilihan.
Sebagai perbandingannya negeri yang cuti Awal ramadhan dan nuzul Quran adalah sebagaimana berikut;
Negeri | Cuti Awal Ramadhan | Cuti Nuzul Qur’an |
W.P Kuala Lumpur | ✘ | ✓ |
W.P Putrajaya | ✘ | ✓ |
W.P Labuan | ✘ | ✓ |
Johor | ✓ | ✘ |
Kedah | ✓ | ✘ |
Kelantan | ✘ | ✓ |
Melaka | ✓ | ✘ |
N. Sembilan | ✘ | ✘ |
Pahang | ✘ | ✓ |
Perak | ✘ | ✓ |
Perlis | ✘ | ✓ |
P. Pinang | ✘ | ✓ |
Sabah | ✘ | ✘ |
Sarawak | ✘ | ✘ |
Selangor | ✘ | ✓ |
Terengganu | ✘ | ✓ |
Sambutan Nuzul al-Quran di Malaysia
Bagi sambutan Nuzul al-Quran di Malaysia, tiada acara rasmi sebagaimana sambutan Maal Hijrah atau sambutan Maulidur Rasul.
Pun begitu, sambutan pada hari kebesaran ini akan diraikan dengan perbagai majlis ilmu dan keagamaan seperti ceramah agama dan forum perdana sebagai suatu penghayatan terhadap peristiwa penting ini.
Di peringkat sekolah pula, kebanyakan guru-guru ada yang mengadakan sambutan rasmi seperti tazkirah, ceramah agama, kuiz dan lain-lain.
Sementara bagi Majlis Agama Islam negeri-negeri pula, kebanyakkan khutbah Jumaat akan menceritakan tentang hikmah dan ibrah bagi peristiwa ini.
Menghayati Peristiwa Nuzul al-Quran

Nuzul al-Quran merupakan peristiwa penting yang memperlihatkan keagungan dan mukjizat baginda Rasulullah s.a.w.
Memperingati peristiwa Nuzul al-Quran bukanlah sekadar mengetahui sejarah dan tarikh penurunannya. Bahkan, apa yang lebih penting adalah menginsafi matlamat ia diturunkan dan melaksanakannya.
Al-Quran merupakan satu-satunya kita yang kekal terpelihara sehingga kini. Allah tidak menjadikan sebarang jaminan kepada kitab Taurat dan Injil, lalu ia diubahsuai oleh manusia. Tetapi Allah telah menjamin al-Quran ini terpelihara hingga hari kiamat.
Pun begitu, al-Quran bukan hanya untuk disimpan sebagai perhiasan dinding atau dalam almari serta bukan juga sebagai selingan ketika sunyi atau menghadapi gangguan makhluk halus.
Sebaliknya, al-Quran adalah panduan harian kita, yang membimbing kita dalam menghadapi masalah dan cabaran kehidupan kita. Bahkan sebagai panduan hidup bermasyarakat dan bernegara. Barulah kita benar-benar menghargai al-Quran dan memahami tujuan ia diturunkan oleh Allah SWT.
Semoga pada tahun ini kita terus menghayati peristiwa yang bersejarah ini.
Salam Nuzul al-Quran.
Raikan sambutan hari Nuzul al-Quran pada tahun ini dengan koleksi poster, pantun & ucapan yang sangat menarik.
Bersempena Nuzul al-Quran ini, jom kita lihat 36 fakta menarik tentang al-Quran