Tarikh Israk Mikraj pada tahun ini ialah pada 11 Mac 2021 (Khamis).
Ia merupakan salah satu daripada tarikh-tarikh penting dalam kalendar atau takwim Islam Hijri.
Pada tarikh ini juga, beberapa buah negeri di Malaysia mengisytiharkan cuti umum bersempena peristiwa Israk Mikraj ini.
Ia sebagai satu sambutan dalam meraikan peristiwa yang penting dalam sejarah Islam.
Tarikh Israk Mikraj
Peristiwa Israk dan Mikraj merupakan antara mukjizat terbesar Rasulullah s.a.w.
Ulama bersepakat bahawa tarikh berlakunya Israk Mikraj adalah pada malam 27 Rejab sebelum penghijrahan baginda dari Kota Mekah ke Kota Madinah.
Israk dan Mikraj juga merupakan salah satu hari kebesaran Islam yang disambut dengan penuh kemeriahan bagi kebanyakan negara-negara Islam di seluruh Dunia.
Negeri Yang Cuti Bersempena Israk Mikraj di Malaysia
Pada tahun ini Israk dan Mikraj jatuh pada hari Khamis.
Terdapat empat buah negeri yang menjadikan Israk Mikraj ini sebagai hari kelepasan am bagi negeri masing-masing untuk tahun 2021 / 1442H.
Negeri yang cuti bersempena Israk dan Mikraj ini ialah:
- Kedah
- Negeri Sembilan
- Perlis
- Terengganu
Oleh kerana cuti umum mingguan bagi negeri Kedah dan Terengganu jatuh pada hari Jumaat, kedua negeri ini akan bercuti selama 3 hari berturut-turut pada minggu tersebut, iaitu Khamis (Israk dan Mikraj, Jumaat (cuti mingguan) dan Sabtu (cuti mingguan).
Sementara itu bagi Negeri Sembilan dan Perlis pula tidak bercuti pada hari Jumaat. Melainkan mereka mengambil cuti tahunan pada minggu tersebut.
Sambutan Israk Mikraj di Malaysia
Bagi sambutan Israk dan Mikraj di Malaysia, tiada acara rasmi sebagaimana sambutan Maal Hijrah atau sambutan Maulidur Rasul.
Pun begitu, sambutan pada hari kebesaran ini akan diraikan dengan perbagai majlis ilmu dan keagamaan seperti ceramah agama dan forum perdana sebagai suatu penghayatan terhadap peristiwa bersejarah ini.
Di peringkat sekolah pula, kebanyakan guru-guru ada yang mengadakan sambutan rasmi seperti bacaan yasin, nasyid, ceramah agama, kuiz dan lain-lain.
Pada tahun 2020, JAKIM telah mengadakan Pertandingan Bercerita Video Pendek Israk dan Mikraj secara online. Ini disebabkan negara berhadapan dengan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
Johan pertandingan menerima RM500, naib johan RM300, ketiga RM 200 dan saguhati kepada 5 pemenang sebanyak RM100 setiap seorang.

Bagi tahun 2021, kemungkinan pihak JAKIM akan mengadakannya lagi pada tahun ini.
Sementara bagi Majlis Agama Islam negeri-negeri pula, kebanyakkan khutbah Jumaat akan menceritakan tentang hikmah dan ibrah pagi peristiwa ini.
Peristiwa Israk Mikraj Dalam Sejarah Islam
Israk dan Mikraj merupakan peristiwa bersejarah yang memperlihatkan keagungan dan mukjizat baginda Rasulullah s.a.w.
Ia adalah perjalanan (Israk) Nabi Muhammad SAW dari Masjidil Haram ke Masjidil ‘Aqsa seterusnya diangkat (Mikraj) pula ke Sidratul Muntaha.
Peristiwa Israk dan Mikraj ini merupakan penghibur hati kepada baginda Rasulullah SAW setelah kehilangan tunjang belakang dan kekuatan baginda dalam menyebarkan dakwah Islamiyyah iaitu bapa saudaranya Abu Talib dan isteri baginda yang tercinta iaitu Saidatina Khadijah Binti Khuwailid.
Peristiwa Israk Mikraj juga merupakan salah satu mukjizat Nabi Muhammad SAW dan bukti kesetiaan para sahabat yang mampu berdiri teguh di belakang nabi dan menguatkan keimanan dalam diri mereka.
Kisah ini dirakamkan oleh Allah S.WT dalam Surah al-Isra’ ayat pertama yang bermaksud:
Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
Semoga pada tahun ini kita terus menghayati peristiwa yang bersejarah ini.
Salam Israk Mikraj.
Raikan sambutan hari keagungan Israk dan Mikraj pada tahun ini dengan koleksi poster, pantun & ucapan yang sangat menarik.