Kerajaan telah mengumumkan tarikh dan cara pendaftaran bagi rakyat Malaysia untuk menerima Vaksin Covid-19.
Vaksin COVID-19 adalah antara sinar harapan kita yang paling utama untuk kita menang dalam perang melawan COVID-19.
Ia melibatkan 3 fasa iaitu fasa pertama yang melibatkan petugas barisan hadapan negara. Fasa kedua pula melibatkan golongan yang berisiko tinggi sementara untuk fasa ketiga adalah untuk penduduk berumur 18 tahun ke atas (warganegara & bukan warganegara).
Oleh yang demikian, sebelum anda membuat pendaftaran untuk menerima vaksin Covid-19 ini, beberapa perkara berikut perlu anda ketahui.
Apa itu Vaksin Covid-19?
Vaksin COVID-19 merangsang sistem imun supaya jika kita terdedah kepada koronavirus SARS-CoV-2, badan kita boleh bertindak balas terhadap jangkitan COVID-19.
Pelbagai platform seperti jujukan genetik RNA, viral vektor, virus nyahaktif dan sub-unit protein telah digunakan untuk menyediakan vaksin koronavirus yang selamat dan berkesan.
Ia memberikan anda perlindungan terbaik terhadap COVID-19. (Sumber KKM)
Hukum Pengambilan Vaksin Covid-19
Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam telah mengambil ketetapan bahawa Hukum Penggunaan Vaksin COVID-19 adalah Harus dan ia Wajib diambil oleh golongan ditetapkan Kerajaan Malaysia.
Penggunaan vaksin adalah bagi melindungi manusia daripada penyakit berbahaya bukanlah perkara asing dalam perspektif syarak malah hukum penggunaannya telah bermula sejak tahun 1988 lagi.
(Sumber JAKIM)
Tarikh Program Vaksinasi Covid-19 Di Malaysia
Tarikh program vaksinasi ini dijangka berjalan secara berperingkat sehinggalah tempoh keseluruhannya selama 12 bulan.
Fasa Pertama Vaksin Covid-19
Untuk fasa yang pertama, pemberian vaksin dijangka bermula pada akhir bulan Februari sehingga bulan April 2021 yang melibatkan petugas barisan hadapan.
Fasa Kedua Vaksin Covid-19
Bagi fasa kedua pula dijangka bermula pada bulan April sehingga bulan Ogos 2021 yang melibatkan kumpulan masyarakat berisiko tinggi.
Fasa Ketiga Vaksin Covid-19
Manakala fasa ketiga dijangka bermula pada bulan Mei 2021 sehingga bulan Februari 2022 yang melibatkan golongan dewasa. Tempoh pelaksanaan program ini ialah selama setahun.
Harus diingat bahawa suntikan vaksin ini hanya diberikan kepada individu yang berumur 18 tahun dan ke atas sahaja. Ia menjadi fasa yang paling penting bagi membentukperlindungan kelompok dalam komuniti masyarakat.
Berapakah Bayaran Untuk Menerima Suntikan Vaksin Covid-19?
Vaksin ini akan diberikan secara percuma kepada semua warganegara dan bukan warganegara Malaysia.
Strategi Kerajaan adalah untuk memastikan sebanyak yang mungkin penduduk di Malaysia menerima vaksin bagi menyelamatkan nyawa semua dalam tempoh secepat yang mungkin.
Selepas usaha vaksinasi ini selesai, diharapkan ekonomi negara kita akan dapat kembali pulih dan kehidupan rakyat menjadi lebih baik walaupun kita masih perlu mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan pandemik ini berulang.
Cara Pendaftaran dan Temujanji Vaksinasi Covid-19
Pemberian vaksin COVID-19 adalah secara sukarela tetapi sangat digalakkan bagi memboleh sasaran pembentukan imuniti kelompok dapat dicapai.
Pendaftaran bagi mendapatkan vaksin akan dilaksanakan menerusi kaedah berikut:
- Menerusi aplikasi MySejahtera (Rujuk Cara Daftar Vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera)
- Talian hotline – 1800-88-828
- Program bantuan (outreach) bagi kawasan luar bandar & pedalaman
- Menerusi laman sesawang www.vaksincovid.gov.my
- Pendaftaran di fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta
Pendaftaran untuk penerimaan vaksin sudah dibuka di MySejahtera. Pendaftaran di http://vaksincovid.gov.my & talian hotline akan dibuka 5 Mac.
Pendaftaran tanggungan melalui MySejahtera dibuka Mac.
Maklumat temujanji seperti tarikh dan tempat vaksinasi akan dimaklumkan menerusi aplikasi MySejahtera, panggilan telefon atau SMS.
Adakah Covid-19 Mempunyai Kesan Sampingan?
Kesan sampingan vaksin COVID-19 yang telah dilaporkan adalah ringan dan bersifat sementara.
Kesan sampingan yang kerap dilaporkan adalah:
– sakit/bengkak/kemerahan di tempat suntikan | – demam |
– penat | – loya |
– sakit kepala | – rasa tidak sihat |
– menggigil | – bengkak kelenjar limfa |
– sakit sendi | – kesan sampingan yang mungkin dilapor dari semasa ke semasa |
Sumber: Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan
Untuk maklumat lanjut, sila muat turun buku panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang disediakan oleh kerajaan Malaysia:
https://www.vaksincovid.gov.my/pdf/Program_Imunisasi_COVID-19_Kebangsaan.pdf
Sekiranya anda memilih untuk daftar melalui aplikasi MySejahtera, berikut adalah panduan dan cara untuk mendaftar diri bagi program vaksinasi Covid-19.
Sementara itu, bagi memudahkan urusan KKM untuk menjejaki kes Covid-19, pemilik premis, gerai, restoran dan sebagainya digalakkan menggunakan QR Code MySejahtera bagi menyimpan rekod kehadiran pengunjung.